Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard memberitahu pemain Rangers supaya melupakan sahaja niat mereka untuk merampas kejuaraan liga dari Celtic musim ini selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang St. Johnstone semalam.
Gerrard dilantik menjadi pengurus Rangers pada awal musim ini dan cepat untuk menyesuaikan diri dengan tugasan tersebut.
Rangers berpeluang untuk memberi tekanan kepada Celtic yang hanya akan turun bermain malam ini menentang Kilmarnock, namun gagal mengambil kesempatan tersebut apabila sekadar berkongsi mata dengan St. Johnstone di halaman sendiri.
Sebelum perlawanan, Rangers dipisahkan 6 mata dengan pasukan pendahulu yang dibimbing oleh Brendan Rodgers. Dengan keputusan ini, Celtic berpeluang untuk terus melebarkan jurang ke atas Rangers menjadi 8 mata jika mereka mampu mencatat kemenangan malam ini.
Gerrard yang tidak pernah memenangi sebarang kejuaraan liga sepanjang karier permainannya mengakui kekurangan ‘pemimpin’ di atas padang menjadi punca mengapa Rangers gagal bermain baik dalam perlawanan malam tadi.
Gerrard juga seperti sudah mengalah dalam usahanya mengejar Celtic dalam merebut kejuaraan Scottish Premiership musim ini.
“Buat masa sekarang, lupakan sahaja liga dan merapatkan jurang. Realitinya jika kami bermain seperti tadi di hadapan 50,000 penyokong…. Anda tidak perlukan saya untuk memberitahu semua perkara.”
“Saya mempunyai sekumpulan pemain tetapi mereka hanya bermain seperti itu sahaja walaupun berpeluang untuk merapatkan jurang menjadi 3 mata. Ditambah pula pasukan seperti Aberdeen, Kilmarnock menunggu peluang untuk memintas anda.”
“Kita tidak mahu persembahan seperti itu di Rangers terutamanya apabila kami mempunyai peluang untuk merapatkan jurang. Kami sangat jauh dari persembahan yang dikehendaki.”
Tambah memburukkan lagi keadaan, Rangers kini sedang beraksi tanpa kelibat penjaring terbanyak mereka, Alfredo Morelos yang menjalani penggantungan.
Rangers hampir memenangi perlawanan pada saat permainan apabila bola terkena tangan pemain St. Johnstone dalam kotak penalti tetapi pengadil tidak mengendahkan permintaan pemain Rangers.
Walau bagaimanapun Gerrard enggan menyalahkan pengadil perlawanan, Steven McLean sebagai punca mengapa mereka gagal mengutip 3 mata penuh.
“Saya kasihan dengan Jermain Defoe. Beliau menerima bola di udara, di dada, semuanya melambung-lambung.”
“Tiada sebarang servis untuk Defoe. Saya tidak pernah melihat sebarang hantaran yang baik untuk Defoe.”
“Mungkin orang akan berkata kami bermain tanpa kelibat Morelos, Scott Arfield atau Ryan Jack, tetapi saya percaya saya telah memilih pasukan yang cukup kuat untuk menewaskan St. Johnstone sekiranya kami bermain pada tahap yang memuaskan. Tetapi persembahan kami tadi tidak dapat diterima sama sekali.”
“Kami tidak boleh bergantung pada keputusan pengadil semata-mata. Kami perlu lebih baik sebagai sebuah pasukan supaya kami tidak sentiasa bercakap mengenai persembahan pengadil.”
“Kami perlu melihat pada diri sendiri dan mengakui yang kami tidak cukup bagus untuk menang.”