Permintaan Melampau Man Utd Punca Bidaan Minit Akhir Al Ettifaq Untuk Sancho Tidak Jadi Kenyataan

Al Ettifaq dilaporkan cuba untuk mendapatkan pemain sayap Manchester United Jadon Sancho pada minit akhir jendela perpindahan Saudi Pro League.

Laporan media di UK mendedahkan Al Ettifaq membuka perbincangan minit akhir dengan United dan Sancho dan kedua-duanya turut terbuka dengan idea perpindahan tersebut.

Pemain itu dirancang beraksi di Arab Saudi secara pinjaman. Namun demikian ia tidak menjadi kenyataan setelah United dan Al Ettifaq gagal mencapai persetujuan.

United dikhabarkan meminta bayaran agak melampau dan mahukan £50 juta untuk pemain itu walaupun perjanjian tersebut hanya berdasarkan pinjaman. Ia jelas di luar kemampuan Al Ettifaq.

Wartawan bola sepak Fabrizio Romano bagaimanapun berkata United menafikan telah berhubung dengan Al Ettifaq setelah perpindahan tersebut tidak menjadi kenyataan.

Sebelum ini kelab Arab Saudi itu yang dikendalikan oleh Steven Gerrard mahukan seorang lagi pemain bintang untuk memperkuatkan skuad sedia ada.

Perpindahan secara pinjaman itu kemudiannya gagal direalisasikan kerana Al Ettifaq tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk meneruskan rundingan bersama United.

Situasi pasti berbeza sekiranya tawaran tersebut datangnya daripada 4 kelab utama Arab Saudi – Al Hilal, Al Nassr, Al Ittihad atau Al Ahli – yang memiliki kekuatan kewangan daripada pemilikan PIF.

Sancho dikhabarkan turut menarik minat daripada kelab Turki, namun pakej yang dimahukan oleh United jelas sukar dipenuhi.

Masa depan Sancho terus menjadi persoalan di Old Trafford setelah pemain itu mengeluarkan kenyataan Erik ten Hag yang mempersoalkan komitmen dan kesungguhan pemain itu ketika latihan menjelang perlawanan menentang Arsenal baru-baru ini.

“Tolong jangan percaya apa yang anda baca,” tulis Sancho secara terbuka di media sosial.

“Saya tidak benarkan sesiapa untuk bercakap perkara tidak benar. Sepanjang minggu ini saya sentiasa memastikan diri berada di tahap terbaik ketika sesi latihan.

“Saya percaya ada sebab lain untuk perkara ini tetapi saya enggan mendedahkannya. Saya telah menjadi kambing hitam untuk tempoh yang lama dan ini tidak adil!

Ten Hag mendedahkan Sancho tidak berada di dalam skuad ke Emirates untuk perlawanan tersebut kerana tidak menampilkan prestasi diharapkan ketika latihan.

Sancho kemudiannya mendakwa dirinya sudah lama menjadi kambing hitam di kelab itu. Tindak balas Sancho mendapat reaksi daripada pengurusan kelab.

Kini sukar untuk membayangkan bagaimana Sancho boleh kembali ke dalam skuad utama United, dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan.

Pemain sayap berusia 23 tahun itu berhijrah ke Old Trafford dari Borussia Dortmund dengan nilai £73 juta pada 2021.

Sejak daripada itu Sancho sentiasa bergelut dengan konsistensi dan prestasi dan sehingga kini hanya berjaya menghasilkan sembilan gol dan enam bantuan gol di Premier League daripada 58 penampilan.

BACA:  Klopp Beri Amaran Manchester City Mampu Bawa 'Ribut Petir' Kepada Liverpool