Harry Maguire Cipta Sejarah Baru Dalam Dunia Bola Sepak Inggeris

Harry Maguire berjaya mencipta sejarah baru dalam dunia bola sepak Inggeris selepas kejayaan beliau menjaringkan gol bertemu San Marino awal pagi tadi.

Gol jaringan beliau itu merupakan gol ketujuh Maguire untuk skuad kebangsaan England, seterusnya menjadikan beliau sebagai pemain pertahanan paling banyak menjaringkan gol untuk The Three Liones.

Maguire memintas John Terry yang sebelum ini memegang rekod sebagai pertahanan paling banyak menjaringkan gol dengan rekod enam gol sepanjang kariernya bersama skuad England.

Harry Maguire turut mencipta satu lagi rekod peribadi dalam perlawanan bertemu San Marino, selepas beliau buat pertama kalinya berjaya menjaringkan gol dalam dua perlawanan berturut-turut untuk skuad England.

John Terry sendiri yang sebelum ini memegang rekod sebagai pertahanan paling banyak menjaringkan gol turut mengucapkan tahniah kepada Maguire atas kejayaan beliau itu.

“@HarryMaguire93 tahniah kawan pertahanan yang menjaringkan gol terbanyak untuk @England ⚽️⚽️⚽️⚽️⚽️⚽️⚽️ mari lihat apa lagi pundit itu semua mahu katakan.”

Terry jelas sekali memaksudkan kenyataan itu kepada Roy Keane yang sebelum ini menghentam Harry Maguire kerana meraikan gol dengan gaya keraian seret lutut sambil menutup telinga.

Legenda Chelsea itu memberi sepenuh sokongan kepada Maguire dan menganggap gaya keraian itu tiada masalah kerana ketua pasukan United itu berhak untuk meraikan gol jaringannya.

Selain Terry, Agbonlahor juga tidak bersetuju dengan kenyataan dari Roy Keane, dan menganggap legenda Manchester United itu sebagai pembuli besar.

Agbonlahor anggap Keane pembuli besar

Keane tidak pernah jemu dalam membantai Harry Maguire, terutama sekali selepas melihat bintang England itu mempamerkan aksi persembahan yang mengecewakan sepanjang musim ini.

Beberapa minggu lalu, Roy Keane menganjing cara Harry Maguire meminta maaf atas persembahan buruk United, bahkan turut menganggap ketua pasukan setan merah itu seperti robot.

Baru-baru ini, beliau sekali lagi menghentam bekas bintang Leicester City itu dengan menganggap gaya keraiannya ketika meraikan gol bertemu Albania merupakan satu hal yang memalukan.

Pemain berusia 28 tahun itu membuka tirai jaringan untuk skuad England ketika menewaskan Albania 5-0 di Wembley kemarin.

Beliau kemudiannya meraikan gol jaringannya dengan keraian seret lutut sambil menutup telinganya dengan menggunakan jari beliau sendiri.

Keane yang bertugas sebagai pundit untuk ITV kemudiannya membantai Maguire kerana meraikan gol jaringannya dengan gaya keraian yang memalukan.

Keane sememangnya seorang yang sangat lantang dan bukan hanya Maguire seorang sahaja yang menjadi mangsa makian, hinaan dan cacian beliau sepanjang musim ini.

Namun begitu, bekas penyerang Aston Villa, Gabby Agbonlahor merasakan yang Roy Keane sebenarnya terlebih mengkritik Maguire dan ia seolah-olah melibatkan masalah peribadi.

“Saya nampak berita dan video tentang itu dari Roy Keane dan saya rasa Roy Keane cuba menjadi pembuli besar di sana.”

Jelas Agbonlahor kepada talkSPORT.

“Saya rasa dia buli Harry kerana Harry Maguire berada di bawah tekanan yang sangat tinggal selepas mempamerkan aksi tidak begitu bagus bersama Manchester United.”

“Ini merupakan antara perlawanan yang ada untuk dia buktikan yang dia seorang pemain centre-half yang sangat bagus.”

“Ya, ia Albania, tapi masih lagi dia ada tugas yang perlu dilakukan.”

“Dia jaringkan gol, keterujaan menjaringkan gol sudah tentu kamu akan raikannya.”

“Jika saya melalui tempoh yang sukar, dan ketika saya menjaringkan gol selepas itu, saya juga akan lakukan keraian yang sama. Tangan di telinga untuk pengkritik kamu, ‘Saya akan terus berusaha dan pamerkan persembahan yang bagus’. Dan dia memang lakukan itu.”

“Saya fikir gaya pertahanan dia sangat bagus dan dia juga menjaringkan gol. Setiap kali dia lakukan sesuatu sekarang, sepertinya semua orang sedang menentang dia.”

“Dia orang Inggeris, dia ketua pasukan Manchester United. Ya, ada tekanan untuk itu, tapi dia berkemungkinan memang antara centre-half terbaik yang kita ada.”

“Mari duduk dibelakang dia dan tidak terus berusaha untuk kritik dia.”

“Bagi saya, Roy Keane membuli dia, semua orang ikut teruja setiap kali Keane katakan sesuatu.”

Maguire walau bagaimanapun tampil mempertahankan keraian beliau dengan menyatakan yang beliau tidak menujukan kepada sesiapa berkait keraian tersebut.

“Keraian itu merupakan keraian seret lutut, ia datang secara semula jadi.”

Jelas Maguire kepada Sky Sports.

“Ia merupakan perasaan yang menakjubkan kerana menjaringkan gol untuk negara saya. Ia tidak ditujukan kepada sesiapa, ia hadir secara semula jadi kerana membuka tirai jaringan England dan membantu mengutip tiga mata berharga.”

BACA:  Maguire Tak Sabar Nak Terajang Liverpool Sebagai Balas Dendam Kalah 0-(*Ehem, tak sanggup nak tulis)