Pemain La Galaxy, Zlatan Ibrahimovic memilih Fabio Capello sebagai pengurus terbaik yang pernah beliau bekerjasama, walaupun pernah bermain di bawah pengurus hebat yang lain seperti Jose Mourinho dan Pep Guardiola.
Ibrahimovic yang pernah bermain di bawah Mourinho ketika beraksi untuk Inter Milan dan Manchester United, memiliki hubungan yang akrab dengan pengurus berasal dari Portugal itu. Sepanjang bersama, gandingan ini berjaya menghadirkan pelbagai trofi untuk kelab yang diwakili mereka pada ketika itu.
Walaupun demikian, Ibrahimovic tidak menganggap Mourinho sebagai pengurus terbaik yang pernah beliau bekerjasama. Sebaliknya, beliau memilih Fabio Capello, pengendali dari Itali yang mana beliau bekerjasama selama 3 tahun di Juventus suatu ketika dahulu.
“Saya boleh menggambarkan setiap jurulatih yang pernah melatih saya, tetapi yang paling menonjol adalah Fabio Capello. Capello pernah berkata kepada saya, ‘Jaringkan untuk gol. Jika kamu gagal menjaringkan gol, kamu akan berada di tempat duduk penonton’.”
“Saya suka macam tu. Saya suka pengurus yang berterus-terang. Saya tidak mahu pengurus yang bercakap seperti, ‘Wow, anda adalah yang terbaik. Anda pemain yang sangat menakjubkan’.”
“Saya tidak perlu mendengar perkara yang saya sudah tahu. Saya mahu seseorang yang boleh meletakkan api di kulit saya.”
Walaupun Zlatan memilih Capello, bekas pemain antarabangsa Sweden itu sebenarnya lebih prolifik ketika bermain untuk Mourinho. Ketika bersama di Inter Milan pada musim 2008/2009, Zlatan muncul penjaring terbanyak Serie A dengan menjaringkan 25 gol.
Selepas itu, ketika mereka kembali bekerjasama di Old Trafford, Zlatan meneruskan rekod baik beliau dengan menjaringkan 29 gol dari 53 perlawanan untuk Red Devils.
Perkara berbeza berlaku ketika beliau bermain untuk Capello di Juventus dimana beliau hanya mampu menjaringkan 26 gol dari 92 perlawanan sepanjang 3 tahun bersama.
Zlatan juga mengimbau kembali pergeseran pendapat yang berlaku di bilik persalinan di antara beliau dan Mourinho ketika bermain untuk Inter Milan.
“Jika ada yang berkata Mourinho terlalu terbuka dengan pihak media, dan jika beliau bercakap terlalu terbuka di sidang media mengenai anda, Mourinho sebenarnya sudah bercakap secara terus dengan anda mengenai perkara tersebut.”
“Saya melalui satu situasi ketika di Inter dimana kami baru sahaja melalui separuh masa pertama yang buruk. Di hadapan pemain-pemain lain dalam bilik persalinan, beliau mengkritik saya.”
“Saya dijadualkan akan mengambil satu anugerah untuk Pemain Terbaik di Itali dan Mourinh berkata kepada saya, ‘Apabila anda naik ke pentas untuk menerima anugerah, anda patut berasa malu. Berdasarkan cara anda bermain tadi, anda tidak layak untuk menerima anugerah tersebut’.”
“Mourinho mengkritik pemainnya bukanlah perkara yang baru. Paling penting adalah bagaimana anda menerimanya.”
“Dalam kes saya, saya berkata kepada diri sendiri yang saya mampu bermain dengan lebih baik.”