Imbas Semula Aksi Datuk Azizulhasni Daripada Awal Sehingga Menggenggam Pingat Perak Dalam Keirin

Jaguh lumba basikal trek Malaysia, Datuk Azizulhasni Awang telah membawa pulang pingat perak dalam acara keirin di Sukan Olimpik Tokyo 2020, selepas memotong pada saat akhir pesaing dari Belanda, Harrie Lavreysen.

Dalam perlumbaan tersebut, Azizulhasni berdepan cabaran daripada Jason Kenny dari Great Britain, Jair En Fa dari Suriname, Matthew Glaetzer dari Australia dan juga Maximilian Levy dari Jerman.

Sebaik perlumbaan dimulakan, Azizulhasni menempatkan diri di posisi yang kelima, dengan Kenny mengekori rapat di belakang derny. Sebaik derny keluar dari litar perlumbaan, Kenny terus melakukan henjutan pemisahan, begitu juga dengan Azizulhasni, di mana dia cuba untuk meloloskan diri daripada kelompok pelumba dan mengejar pelumba Great Britain tersebut.

Akan tetapi, tindakan pelumba Australia, Glaetzer yang dilihat tidak mampu menambah kelajuannya dan menghalang pelumba negara dan Lavreysen daripada mengejar Kenny.

Sebaik loceng aiskrim dibunyikan menandakan perlumbaan memasuki pusingan terakhir, Lavreysen menghenjut laju sambil dikejar oleh Azizulhasni. Dalam lima meter terakhir, jaguh negara tersebut berjaya memotong pelumba Belanda tersebut untuk membawa pulang pingat perak ke bumi Malaysia, naik setapak daripada pingat gangsa yang dimenanginya di Rio lima tahun dulu.

Apapun, kita selami kembali aksi lagenda berbasikal negara ini bersama-sama rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, di sepanjang temasya sukan Olimpik ini, di mana mereka menyertai acara sprint dan keirin.

Shah Firdaus turun beraksi terlebih dahulu dalam saringan 2 acara keirin di Velodrome Izu, dengan dicabar oleh pelumba Great Britain Jack Carlin, Matthew Richardson dari Australia, Matthijs Buchli dari Belanda, Hugo Barette dari Kanada dan Sergey Ponomaryov dari Kazakhstan.

Sebaik perlumbaan dimulakan, Shah Firdaus dengan tenang mengatur gerak langkah di belakang pelumba Kanada. Selepas derny beransur keluar dari gelanggang, pelumba negara ini terus memecut lebih laju dan mencabar pelumba di hadapannya.

Ketika perlumbaan hampir memasuki pusingan terakhir dengan isyarat loceng aiskrim daripada penjaga loceng, Shah Firdaus yang mula menghenjut untuk melakukan pecutan mengejar pelumba Belanda dan Kanada di depannya telah bergesel dengan Carlin yang sedang cuba melakukan kayuhan ke bahagian luar.

Malang buat Shah Firdaus, apabila basikalnya terbalik dan dia terjatuh bergesel di atas velodrome, lantas menyoyakkan skinsuitnya dan menyebabkan kesan calar di bahagian badannya.

Selepas Shah terjatuh, basikalnya pula dilanggar oleh pelumba Kazakhstan Sergey Ponomaryov, yang kemudiannya turut terjatuh.

Commissaire terus menghentikan perlumbaan sebaik sahaja kedua-dua pelumba ini berguling di atas velodrome.

Ketika para commisaire sedang berbincang, acara keirin diteruskan dengan saringan ketiga di mana bekas juara dunia keirin, Datuk Azizulhasni turun beraksi menentang pelumba dari Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul, Patryk Rajkowski dari Poland, Stefan Boetticher dari Jerman, Jean Spies dari Republik Afrika Selatan dan Sebastien Vigier dari Perancis.

Turun sebagai pelumba pilihan, Azizulhasni kelihatan tenang dari awal perlumbaan dan sebaik perlumbaan dimulakan, dia dengan begitu fokus mengekori Spies yang berada di belakang derny.

Seperti biasa, sebaik loceng aiskrim dibunyikan, Aizulhasni tidak membuang masa dan terus memecut laju sehingga ke garisan penamat, meninggalkan Paul di tempat kedua dan Rajkowski di tempat ketiga.

Pelumba Jerman yang pancit di hujung perlumbaan pula berada di tangga keempat. Dengan keputusan ini, Azizulhasni dan Paul secara automatiknya layak ke peringkat suku akhir yang dilangsungkan pada hari terakhir sukan Olimpik Tokyo ini.

Sebaik kesemua saringan dilangsungkan, saringan 2 pula dilangsungkan semula dengan tiada pengelibatan daripada pelumba negara, Shah Firdaus, yang sedang menerima rawatan ketika itu, sekaligus menyaksikannya terpaksa melalui pusingan repechage untuk kelayakan ke peringkat berikutnya.

Dalam pusingan tersebut, Shah Firdaus berdepan carabaran daripada Kwesi Browne dari Trinidad dan Tobago, Sebastien Vigier dari Perancis, Tomas Babek dari Republik Czech dan juga Chao Xu dari China.

Sebaik perlumbaan dimulakan, Shah Firdaus menggunakan taktik mengekori di belakang derny dari awal, dan sebaik derny keluar dari trek, para pelumba lain mula memecut memotong pelumba negara tersebut.

Namun selepas loceng dibunyikan, Shah Firdaus mula memecut dari belakang dan menyelit sambil memecut laju dari sebelah luar untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang Browne.

Selepas perlumbaan tamat, Shah Firdaus dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit di bahagian rusuk, dikhuatiri mengalami keretakan tulang ruruk, walaubagaimanapun dia disahkan mengalami kecederaan ringan dan mampu beraksi dalam pusingan suku akhir keirin.

Dalam saringan kedua, Shah Firdaus berdepan cabaran daripada Nicholas Paul (Trinidad Tobago), Jack Carlin (Great Britain), Jair En Fa (Suriname), Maximilian Levy (Jerman) dan Callum Saunders (New Zealand).

Mungkin tersilap memilih taktik dan dibelenggu kecederaan, Shah Firdaus terus memecut mendahului pelumba lain sebaik sahaja derny meninggalkan litar dan sebaik perlumbaan memasuki pusingan terakhir, dia kelihatan tidak mampu mengekalkan rentak kayuhan sehingga terperosok ke kedudukan paling belakang.

Walaubagaimanapun, kekecewaan Shah Firdaus ini ditebus oleh Azizulhasni yang dengan bersahaja menempatkan diri ke pusingan separuh akhir selepas dia menamatkan perlumbaan suku akhir saringan 3 di tempat kedua, di belakang pelumba Jepun, Yuta Wakimoto. Lagi pula, dia tidak perlu menggunakan sepenuh tenaga kerana empat pelumba teratas akan layak ke peringkat berikutnya.

Dalam saringan dua separuh akhir, Azizulhasni sekali lagi kelihatan bersahaja memenangi perlumbaan di tempat pertama, meninggalkan Levy dan Lavreysen, masing-masing di tangga kedua dan ketiga.

BACA:  Kenali Skinsuit Berteknologi Tinggi Yang Dicipta Daripada 40,000 Bahan Yang Akan Dipakai Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus