Islam Makhachev Cabar Tony Ferguson Untuk Bertarung Dengannya

Bintang lightweight UFC yang sedang meningkat naik ketika ini, Islam Makhachev mahu bertarung dengan Tony Ferguson untuk membuktikan yang petarung Amerika itu tidak berada di tahap yang sama dengan Khabib.

Islam Makhachev merupakan sahabat, rakan sepasukan, teman sparring ketika latihan dan kini menjadi anak murid kepada legenda UFC, Khabib Nurmagomedov.

Petarung dari Rusia itu memiliki rekod 20-1 dalam MMA dan 9-1 bersama UFC, dan beliau ketika ini sedang dalam usahanya untuk mencabar bekas Juara interim lightweight UFC, Tony Ferguson.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas kejayaannya menewaskan Thiago Moises di pusingan keempat dalam perlawanan mereka di Las Vegas hari ini.

Petarung yang kini berusia 29 tahun itu telah merekodkan lapan kemenangan secara berturut-turut dan beliau ketika ini mahu mencabar nama-nama besar dalam kategori 155-pound di UFC.

Selain mempunyai minat yang mendalam untuk bertarung dengan Michael Chandler dan Rafael Dos Anjos, Makhachev turut menegaskan yang beliau sangat mahu bertarung dengan Tony Ferguson.

“Jika mereka semua mahu beri saya kesempatan untuk memilih, mari kita teruskan dengan Tony kerana kami ada sejarah yang menarik dengan dia.”

Jelas Islam Makhachev kepada media ketika temu bual selepas tamat perlawanan bersama ESPN.

“Khabib sepatutnya bertarung dengan dia lima ke enam kali sebelum ini. Mari selesaikan semua ini, kamu tahu. Saya akan habiskan semua ini. Saya akan tunjukkan yang Tony tidak berada di tahap yang sama seperti Khabib. Orang tak akan faham bagaimana tekanan Khabib rasa. Saya sendiri tak boleh jelaskan, tapi saya yakin kamu tahu semuanya.”

Rekod anak-anak buah Khabib sepanjang tahun 2021

Ferguson merupakan salah seorang petarung senior dan antara yang terbaik dalam kategori 155 pound di UFC dan ramai yang percaya beliau calon terbaik untuk menewaskan Khabib Nurmagomedov pada ketika itu.

Kedua-dua petarung sudah pernah dijadualkan untuk bertarung sebanyak lima kali, namun dek kerana masalah kecederaan dan beberapa isu lain, pertarungan antara mereka tak pernah jadi kenyataan.

Khabib Nurmagomedov bersara pada Oktober tahun lalu selepas kejayaan beliau mempertahankan kejuaraan dunia miliknya bertemu Justin Gaethje.

Sementara Tony Ferguson pula masih aktif bertarung sehingga kini, namun aksi beliau sudah tidak sehebat seperti dahulu lagi.

Beliau telah mencatatkan rekod yang sangat teruk dengan mencatatkan tiga kekalahan secara berturut-turut dalam kesemua tiga perlawanan terakhirnya.

Petarung dari Dagestan itu sering dianggap sebagai calon pengganti Khabib Nurmagomedov dalam kategori Lightweight dan ia sememangnya sesuatu hal yang dirancang oleh arwah AbdulManap Nurmagomedov.

Makhachev sendiri tidak kisah dirinya disamakan dengan Khabib, bahkan beliau berbangga kerana dirinya dianggap bakal menjadi the next Khabib.

“Jika ada seseorang yang kata saya hampir sama seperti Khabib, saya terima semua itu.”

Jelas Makhachev.

“Saya memang mahu jadi seperti Khabib, kamu tahu. Dia seorang lelaki yang hebat, dia Juara, dia ada duit yang banyak dan dia ada segalanya, tapi dia masih tetap seorang yang merendah diri.”

“Dia datang ke U.S tanpa keluarganya. Dia duduk sini seketika, dua bulan dia bantu kami. Dia tak ambil duit, langsung tak ambil. Dia hanya datang dan buat segala-galanya.”

“Ketika kami datang ke U.S, dia sewakan sebuah rumah besar untuk kami dan sediakan beberapa biji kereta untuk kami, dan tiada sesiapa antara kami bayar semua itu. Dia akan bayar semuanya. Saya tak boleh jelaskan tentang dia. Dia dah lakukan banyak perkara, tapi bukan semua orang tahu tentang itu.”

Makhachev berjaya mendominasi sepenuhnya pertarungan bertemu Thiago Moises di acara UFC Fight Night di Las Vegas sebentar tadi.

Moises boleh dikatakan benar-benar lumat kena lunyai dengan Makhachev sebelum petarung dari Rusia itu menghabiskan lawannya dengan gerakkan submission (rear-naked choke) pada minit ke 2:38 pusingan keempat perlawanan.

Perlawanan ini merupakan aksi main event pertama Makhachev di UFC dan ia juga pertama kali beliau beraksi sehingga lebih dari tiga pusingan dalam satu perlawanan.

Apa yang lebih menariknya lagi adalah ini merupakan kekalahan pertama Thiago Moises menerusi submission sepanjang kariernya.

ESPN telah meletakkan Islam Makhachev dikedudukan kelapan dunia dalam kategori Lightweight, namun sepertinya sukar untuk petarung dari Rusia itu mencari lawan yang sanggup untuk bertarung dengan beliau selepas ini.

Hal ini kerana Makhachev mempunyai kemampuan dan kelebihan yang begitu dominan ketika bertarung dengan kehandalannya bergusti, grappling, kickboxing dan pelbagai seni bela diri campuran yang lain.

Islam Makhachev selepas tamat perlawanan bertemu Thiago Moises, beliau telah mencabar Juara lightweight dunia UFC, Rafael dos Anjos untuk bertarung dengannya.

“Mengapa mereka semua ini melarikan diri?”

Jelas Makhachev ketika temu bual selepas tamat perlawanan beliau bertemu Thiago Moises.

“Tidak ada sesiapa yang mahu sahut cabaran saya. Tolong sesiapa sahut cabaran dari saya.”

Makhachev sememangnya sahabat karib dan juga rakan sepasukan Khabib Nurmagomedov dengan mereka berdua telah lama menjalani sesi latihan bersama-sama.

Makhachev sememangnya diharapkan oleh pasukannya di American Kickboxing Academy untuk menjadi pelapis kepada Nurmagomedov dalam kategori 155-pound.

Ia jelas merupakan perancangan asal arwah ayah Khabib, Abdul Manap Nurmagomedov yang meninggal dunia tahun lalu kerana kompilasi dari virus C0V-19.

Ketika aksi pusingan pertama, Makhachev berjaya mengajak Moises untuk bertarung stand up dengan beliau jelas mendominasi pertarungan tersebut.

Beliau kemudiannya berjaya merebahkan Moises lalu melepaskan beberapa das pukulan tepat ke muka lawannya itu.

Moises hampir untuk dikalahkan ketika di pusingan kedua perlawanan mereka, namun Makhachev mengubah serangan dengan beliau melakukan gerakan armbar sebelum loceng dibunyikan.

Makhachev sekali lagi berjaya menumbangkan Moises pada pusingan ketiga dengan beliau memanjat belakang lawannya itu dan mendominasi pertarungan dengan begitu dominan.

Pada pusingan keempat, beliau merebahkan Moises dengan pukulan yang kuat, sebelum mengunci lawannya itu untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Kamu boleh berlari, tapi kamu tak boleh bersembunyi.”

Jelas Makhachev seolah menujukan kepada Dos Anjos.

“Saya ada di sini.”

Makhachev (20-1) telah memenangi lapan perlawanan terakhirnya secara berturut-turut dan beliau langsung tidak pernah kalah sejak 2015, dengan kekalahan terakhirnya adalah tewas secara KO di tangan Adriano Martins.

Rekod kemenangan berturut-turut itu merupakan rekod keempat terhebat dalam sejarah lightweight UFC. Petarung dari Dagestan itu kini mempunyai rekod 9-1 di UFC.

Menurut kajian dan statistik dari ESPN, Satu-satunya petarung yang ada rekod lebih baik berbanding beliau dalam kategori Lightweight adalah Nurmagomedov.

Sumber: ESPN

MMA Junkie

BACA:  Ayah Khabib Dakwa Anaknya Berminat Untuk Bertinju Dengan McGregor