Italy: Serie A Dan Semua Acara Sukan Digantung

Liga bola sepak Italy, Serie A dan semua acara sukan yang akan berlangsung di Italy akan digantung kerana penularan dan kematian akibat wabak Coronavirus.

Semua acara sukan termasuklah sukan kegemaran ramai Serie A, B, C dan D dibatalkan sehingga 3 April 2020.

Setakat ini belum jelas adakah perlawanan Champions League dan Europa League akan turut digantung?

Keputusan ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri Italy, Giuseppe Conte dalam satu sidang media kecemasan.

“Masa semakin suntuk, statistik memberitahu kita bahawa penularan ini meningkat secara mendadak, ramai dalam unit rawatan rapi dan kematian juga meningkat.”

“Kita mesti korbankan sesuatu untuk kebaikan Italy. Kerana itulah langkah pencegahan lebih ketat akan diambil.”

Perdana Menteri Italy menyarankan kepada seluruh rakyat Italy supaya tidak keluar daripada rumah kecuali ada urusan yang terlalu penting.

“Kita mestilah mengelakkan sebarang perjalanan kecuali mempunyai urusan yang penting, atas sebab kesihatan atau alasan lain yang munasabah.”

“Kami juga telah mengambil langkah ketat untuk acara sukan. Serie A dan semua acara sukan digantung. Semua perhimpunan awam telah diharamkan.”

“Semua peminat harus menerimanya. Tiada sebab untuk pertandingan ini diteruskan”

Sebelum ini Lombardy dan kawasan utara Italy telah diwartakan sebagai ‘zon merah’.

Setakar berita ini ditulis, seramai 9,172 telah disahkan postitif Coronavirus dan angka ini naik secara mendadak.

Dalam tempoh 24 jam terakhir ini, 97 kematian dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan 463 kematian.

Seramai 733 orang lain kini berada di unit rawatan rapi.

Sebelum ini, Menteri Sukan Italy, Vincenzo Spadafora telah menempelak Serie A kerana tidak menggangtung perlawanan ketika diancam wabak Coronavirus.

Vincenzo Spadafora telah melabel Serie sebagai tidak bertanggungjawab walaupun perlawanan diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton.

BACA:  Arsenal Sahkan Mikel Arteta Positif Covid-19