LONDON: Kelab Reading mengumumkan pelantikan Jaap Stam sebagai pengurus baharu untuk pasukan berkenaan, sebentar tadi.
Bekas pertahanan Manchester United itu menggantikan Brian McDermott yang dipecat pada Mei lalu selepas hanya enam bulan memegang kerusi panas berkenaan.
Pengendali dari Belanda itu muncul sebagai pengurus Reading pertama bukan dari British dan mengikat kontrak selama dua tahun bersama kelab berkenaan, selain diberikan pilihan untuk melanjutkan perkhidmatan sekiranya membuahkan hasil memberangsangkan.
Stam dalam pada itu mendedahkan dirinya tertarik dengan Reading kerana impian besar pengarah kelab bola sepak berkenaan yang juga rakan senegaranya, Brian Tevreden.
“Saya mahu berada bersama sebuah pasukan yang mahu mencapai sesuatu,” kata Stam dalam laman Youtube rasmi Reading.
“Ketika saya menerima tawaran untuk berbincang bersama kelab dan juga pengarah teknikal Brian Tevreden, pertemuan itu berlangsung dengan sangat baik.
“Kamu harus mempunyai impian. Sebagai seorang pemain, saya mahu mencapai kejayaan dan menjuarai sebanyak mana trofi yang termampu.”
Ketua Pegawai Eksekutif Reading, Nigel Howe dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman web rasmi kelab turut memuji pelantikan Stam.
“Saya sangat gembira dengan pelantikan Jaap. Dia adalah pilihan utama di antara beberapa lagi calon yang berminat dengan posisi itu.
“Dia mempunyai rekod yang baik selaku pemain dan juga jurulatih di England, Itali dan Belanda selain turut mempunyai nama di peringkat antarabangsa,” kata Howe. – AGENSI