Jesse Lingard Tarik Perhatian West Ham Dan David Moyes

Pemain berstatus ejen bebas Jesse Lingard akan menyarung jersi West Ham dalam perlawanan persahabatan menentang Ipswich Town yang akan diadakan secara tertutup.

Lingard kini tidak terikat dengan mana-mana kelab setelah meninggalkan Nottingham Forest pada hujung musim lalu.

Sejak daripada itu bekas pemain antarabangsa England itu menjalani latihan bersama skuad utama The Hammers untuk memastikan diri sentiasa berada di tahap terbaik.

West Ham kini sedang mempertimbangkan untuk memberi kontrak jangka pendek untuk bekas bintang Manchester United itu setelah David Moyes tertarik dengan prestasinya ketika latihan.

Sehubungan dengan itu Lingard dijangka akan turun beraksi untuk membuktikan kemampuannya dalam perlawanan menentang Ipswich.

Mail Sport mendedahkan perlawanan itu tidak akan dirakam. Pihak kelab turut tidak akan mengeluarkan sebarang gambar berkaitan perlawanan tersebut.

Lingard sebelum ini pernah menampilkan aksi cemerlang bersama West Ham kendalian David Moyes ketika dipinjamkan ke pasukan itu dari Manchester United.

Sepanjang tempoh itu Lingard menjaringkan sembilan gol dan menghasilkan lima bantuan gol daripada 16 perlawanan pada musim 2020-21.

Moyes terlepas peluang mendapatkan seorang pemain penyerang pada jendela perpindahan musim panas lalu setelah turut melepaskan Giancula Scamacca dan Manuel Lanzini.

Jendela perpindahan di Eropah sudah pun ditutup tetapi kelab masih dibenarkan untuk mendaftar mana-mana pemain yang tidak terikat dengan mana-mana kelab.

Selain West Ham, khidmat Lingard turut ditagih oleh Wolves. West Ham dilihat mempunyai kelebihan kerana hubungan baik pemain itu dengan David Moyes.

BACA:  Dua Gergasi Eropah Berebut Mahu Dapatkan Khidmat Jesse Lingard