Jesse Lingard Cipta Fenomena Di Seoul Dan Bantu K League Cipta Rekod Baharu

Penampilan pertama Jesse Lingard di tempat sendiri bersama FC Seoul telah membantu K League mencipta rekod baharu kehadiran apabila puluhan ribu penyokong turut berbaris panjang untuk mendapatkan cenderahati kelab sebelum sepak mula perlawanan.

Bekas pemain tengah England itu menjadi ejen bebas selepas meninggalkan Nottingham Forest pada penghujung musim lalu sebelum menandatangani kontrak dua tahun bersama kelab Korea Selatan itu pada bulan lalu.

Pada minggu sebelumnya Lingard melakukan penampilan sulung bersama kelab baharunya itu menentang Gwangju yang berkesudahan dengan kekalahan 2-0. Perlawanan menentang Incheon United pada hujung minggu ini adalah aksi pertama Lingard bersama FC Seoul di tempat sendiri.

Dalam perlawanan tersebut Lingard dibawa masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-77 perlawanan.

Ia adalah perlawanan yang sukar dilupakan oleh penyokong di Stadium Piala Dunia Seoul yang berkapasiti 66,000 tempat duduk. Pihak kelab turut mendirikan khemah di perkarangan stadium untuk menjual cenderahati Lingard sebelum perlawanan yang laku keras.

Dan pada waktu rehat perlawanan, pihak pengurusan stadium mengesahkan penampilan Lingard telah mencipta rekod baharu kehadiran dengan 51,670 penonton.

Rekod terbaru K League sebelum ini turut direkodkan oleh FC Seoul pada 2018 dalam perlawanan menentang Daegu dengan 45,007 kehadiran.

Sudah tentu penyokong yang hadir sedikit kecewa apabila mendapati Lingard berada di bangku pemain simpanan pada permulaan perlawanan, sebelum pengurus pasukan Kim Gi-dong memutuskan untuk menurunkan bekas pemain Manchester United itu pada pertengahan babak kedua.

Mengulas penampilannya selepas perlawanan tamat dan berakhir tanpa sebarang jaringan itu, bekas pemain Manchester United itu berkata: “Kami sepatutnya menang perlawanan ini. Saya sendiri memiliki beberapa peluang terhidang.

“Ia bukan peluang terbuka, tetapi saya berpendapat kami harus membina sesuatu bermula daripada perlawanan ini.

“Beraksi di hadapan penyokong yang ramai, perlawanan pertama di tempat sendiri – sokongan padu sepanjang perlawanan – kami sepatutnya mampu menghasilkan jaringan kemenangan.”

Menurut laporan JoonAng Daily, Lingard kini adalah pemain yang menerima gaji tertinggi di K League.

Sumber tersebut mendedahkan Lingard menerima bayaran sekitar 1.55 billion setahun, atau bersamaan dengan RM5.39 juta setahun.

BACA:  Tiada Dalam Skuad England, Man Utd Tetap Naikkan Gaji Lingard Supaya Tidak Dikebas