West Ham Alami Kerugian Ribuan Pound Kerana Percayakan Lingard

West Ham akhirnya membuat keputusan untuk tidak menawarkan kontrak kepada bekas pemain Manchester United dan Nottingham Forest, Jesse Lingard.

Sebelum ini West Ham dikatakan begitu hampir untuk menawarkan kontrak jangka masa pendek kepada ejen bebas, Jesse Lingard yang terdesak untuk membuktikan dirinya masih mampu beraksi di tahap tertinggi kepada David Moyes.

Sebaliknya penampilan pemain itu dalam beberapa perlawanan persahabatan bersama The Hammers tidak cukup meyakinkan barisan kejurulatihan kelab itu untuk menawarkan tempat buat Lingard.

Sebaliknya West Ham menanggung kerugian ribuan pound untuk kos penginapan dan perbelanjaan perjalanan sepanjang pemain itu menjalani latihan bersama skuad utama West Ham.

Selain daripada menginap di sebuah hotel di London selama 6 minggu, West Ham turut terpaksa membayar kos perjalanan bekas pemain England itu kerana lesen memandu Lingard digantung selama enam bulan setelah didapati bersalah memandu melebihi had laju sebelum ini.

Menjelaskan keputusan untuk tidak mengikat kontrak, Moyes berkata:

“Saya tetap selesa dan tenang dengan situasi ini. Kami sukakan Jesse tetapi tidak pasti sama ada ia adalah satu keperluan untuk mengikat seorang lagi pemain di posisi tersebut pada masa ini.”

Lingard menghabiskan tempoh selama 6 bulan berlatih bersama West Ham dalam usaha meyakinkan Moyes dan West Ham.

Pemain itu kemudiannya terbang ke Arab Saudi pada minggu lalu dan mulai menjalani latihan bersama Al Ettifaq yang dibimbing oleh legenda Liverpool, Steven Gerrard.

Perkhabaran dari Arab Saudi melaporkan Gerrard berminat untuk mendapatkan khidmat Lingard, namun jumlah gaji yang melampau dituntut oleh pemain itu kini menjadi penghalang utama.

Menurut talkSPORT, Lingard dikatakan menuntut bayaran sebanyak £7 juta setahun. Jumlah tersebut jauh lebih tinggi daripada kemampuan Al Ettifaq yang hanya bersedia menawarkan £4.35 juta setahun untuk khidmat beliau.

BACA:  Bintang Manchester United Bengang Urusan Perpindahan Beliau Dihalang Pihak Kelab