Jesse Lingard Semakin Hampir Beraksi Di K-League

Bekas bintang Manchester United dan England, Jesse Lingard semakin hampir menyertai kelab Korea Selatan FC Seoul.

Masih ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan untuk melengkapkan perjanjian di antara kedua-dua pihak. Walaupun demikian, Lingard dijangka akan mengikat kontrak panjang bersama kelab baharunya itu sebaik segalanya selesai.

Lingard bergelar ejen bebas sejak Jun lalu sebaik sahaja kontrak beliau bersama Nottingham Forest tamat.

Pemain tengah berusia 31 tahun itu sebelum ini menjalani latihan bersama West Ham, iaitu salah sebuah kelab yang pernah disertainya, untuk beberapa minggu sepanjang 6 bulan pertama musim ini.

Walaupun demikian ia tidak cukup untuk meyakinkan David Moyes untuk menawarkan kontrak kepada Lingard.

Lingard kemudian terbang ke Arab Saudi untuk menjalani latihan dan pemilihan bersama Al Ettifaq yang dilatih oleh Steven Gerrard.

Lingard dan Ettifaq bagaimanapun dilaporkan gagal mencapai kata sepakat perkara berkaitan gaji pemain itu.

Pada musim 2022-23 Lingard hanya melakukan 20 penampulan untuk Forest, tetapi hanya beraksi satu perlawanan di Premier League pada separuh kedua musim.

Lingard pernah melakukan 232 penampilan untuk Manchester United, menjaringkan 35 gol sepanjang tempoh itu.

Pemain itu sebelum ini turut melalui tempoh pinjaman yang dianggap satu kejayaan apabila menjaringkan 9 gol daripada 16 perlawanan untuk West Ham pada musim 2020-21.

Pemain tengah itu turut memiliki 32 kaps bersama England selepas melakukan penampilan antarabangsa pertamanya pada 2016.

BACA:  Bukan Tribute Kepada Treble Man City, Scholes Bengang Old Trafford Dibanjiri Bendera Biru Dan Putih