Jurulatih Bola Sepak Meninggal Dunia di Tepi Padang Ketika Meraikan Gol Kemenangan Minit Akhir Pasukannya

Bola sepak Mesir dikejutkan dengan satu tragedi pada hari Khamis lalu, apabila seorang jurulatih, Adham El-Selhadar telah meninggal dunia selepas meraikan jaringan pasukannya pada minit ke-92 perlawanan.

Adham yang berusia 53 tahun telah mengalami serangan jantung ketika sedang bersorak meraikan gol kemenangan pada penghujung perlawanan ketika pasukannya, El Majd menewaskan El Zarqa, dalam perlawanan Kumpulan C liga divisyen dua bola sepak Mesir.

Gol tersebut pada awalnya telah menghadirkan suasana yang gegak gempita di mana para pemain simpanan dan pembantu jurulatih telah berlari masuk ke padang sambil bersorak, manakala Adham berpelukan dengan pegawai pasukan yang lain di depan bangku simpanan.

Secara tiba-tiba Adham terjatuh dan tidak sedarkan diri, dan ambulans terus masuk ke tepi padang dan membawanya ke hospital namun tidak berjaya diselamatkan.

Kematiannya telah mendapat perhatian dua antara kelab terbesar di Mesir, Al Ahly SC dan Ismaily SC – kelab yang pernah dilatih oleh Adham – dan mereka telah memuatnaik kenyataan di laman media sosial pasukan, tribute kepada Adham.

Kenyataan Al Ahly berbunyi;

“Kapten Mahmoud Al-Khatib, presiden kelab, dan juga ahli lembaga pengarah, berkabung dengan penuh kesedihan.

“Jurulatih, Adham El-Selhadar, bekas pemain Ismailly, telah meninggal dunia pada hari Khamis.

“Kami doakan kepada Yang Maha Berkuasa agar arwah diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di taman syurga.”

Seteru utama Al Ahly, Ismaily, turut memuat naik kenyataan ucapan takziah kepada arwah;

“Lembaga pengarah Ismaily, diketuai oleh Jurutera Yahya El Komy, berkabung di atas kematian Adham El Selhadar, seorang bintang dan bekas jurulatih pasukan, yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung yang berlaku secara tiba-tiba, ketika perlawanan pasukannya, El Majd Alexandria, di pertandingan divisyen kedua.

“Ahli lembaga pengarah turut mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari bagi menghormati pemergian arwah.”

Kelab Adham, El Majd, turut mengumumkan bahawa mereka akan berkabung selama enam hari dan difahamkan telah menunda perlawanan berikutnya dalam liga, menentang pasukan Pioneers FC.

Adham boleh dikatakan antara individu yang dihormati dalam arena bola sepak Mesir bukan setakat sebagai seorang jurulatih, malah dia juga mempunyai karier yang gemilang sebagai seorang pemain di mana dia telah berjaya merangkul banyak kejuaraan.

Ketika bermain bersama Ismaily, Adham telah memenangi Liga Perdana Mesir pada tahun 1990-an, dan juga berjaya merangkul piala domestik pada tempoh yang sama.

Selepas kariernya sebagai pemain tamat, dia kembali ke Ismaliy sebagai jurulatih. Mesikupun tidak berjaya membawa pasukan ke tahap seperti mana ketika dia bergelar pemain, Adham tetap dipandang tinggi dan mempunyai reputasi yang cukup berbisa di negara Afrika tersebut.

Pada musim ini bersama El Majd, Adham berjaya membawa anak buahnya naik ke tangga ketujuh liga pada hari Khamis lalu, dan mengumpul 14 mata daripada sembilan perlawanan.

Pemergian ketua jurulatih mereka secara tiba-tiba begini pasti akan memberikan impak yang mendalam di kalangan para pemain dan juga pegawai pasukan yang lain.

Meskipun ini adalah kali pertama serangan jantung berlaku terhadap jurulatih pasukan bola sepak, serangan serupa di kalangan pemain bola sepak professional sebenarnya berada di tahap yang membimbangkan.

Menurut laporan Pusat Informasi Bioteknologi Kebangsaan, yang berpusat di Amerka Syarikat, serangan jantung secara tiba-tiba pada hari ini bagaikan sudah menjadi satu perkara biasa di kalangan atlet, dengan kadar insiden sebanyak 1 daripada 40,000 atlet telah mengalaminya dalam tempoh setahun.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa sifat atlet yang berpotensi tinggi untuk menghidap serangan jantung ini adalah atlet lelaki, berkulit gelap dan aktif dalam sukan bola keranjang.

Serangan jantung di kalangan atlet muda – bawah 35 tahun – selalunya berpunca daripada genetik, manakala di kalangan atlet yang berusia lebih 35 tahun pula berpunca daripada penutupan saluran darah di bahagian jantung.

Pada musim panas lalu, pemain Denmark, Christian Eriksen, terpaksa bersara daripada bola sepak professional selepas dia mengalami serangan jantung dan terjatuh di dalam padang ketika perlawanan antara pasukannya menentang Finland, manakal bekas penyerang Manchester City, Sergio Aguero yang kini bermain untuk Barcelona, turut terpaksa menamatkan karier bola sepaknya selepas dia disahkan mengalami degupan jantung yang tidak stabil.

Sumber berita : Mirror

BACA:  Perlawanan Di Mesir Terpaksa Harungi 34 Sepakan Penalti Untuk Tentukan Pasukan Ke Final