Perlawanan Di Mesir Terpaksa Harungi 34 Sepakan Penalti Untuk Tentukan Pasukan Ke Final

Modern Future FC memerlukan 34 sepakan penalti untuk meneaskan Pyramids 14-13 sebelum berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Super Mesir baru-baru ini.

Ini bermakna setiap pasukan mengambil 17 sepakan kesemuanya.

Pemenang perlawanan tersebut terpaksa ditentukan melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan menamatkan saingan terikat 0-0 walaupun selepas masa tambahan diberikan.

Kejayaan melalui sepakan penalti itu bermakna Modern Future akan berhadapan dengan Al Ahly atau Ceramica Cleopatra di perlawanan akhir nanti.

Ketika sepakan diambil, Modern Future gagal menyempurnakan tiga sepakan manakala Pyramid terpaka menerima kekalahan setelah gagal menyempurnakan empat sepakan.

Ironinya pemain pertahanan Pyramids, Osama Galal gagal menyempurnakan sepakan sebanyak dua kali dan yang terakhir memberikan kemenangan kepada Modern Future.

Pada satu ketika sepakan penalti di antara kedua-dua pasukan tampak seperti tidak akan berahir.

Jumlah sepakan oleh kedua-dua pasukan bagaimanapun masih jauh berbanding rekod dunia 54 sepakan penalti yang terpaksa dilalui oleh Washington FC untuk menewaskan Bedlington Terriers 25-24 di dalam satu pertandingan domestik di England pada 2022.

Satu lagi perlawanan pada 2005 di pertandingan Piala Namibia di antara KK Palace dan Civics pula membabitkan 48 sepakan penalti.

Penentuan sepakan penalti sememangnya menjadi kaedah untuk menentukan pemenang di dalam bola sepak. Selepas lima pemain pertama daripada kedua-dua pasukan selesai mengambil sepakan, penentuan sepakan penalti akan menuju ke sepakan kalah mati.

Tidak ada had untuk sepakan kalah mati. Sekiranya kesemua 11 pemain sudah mengambil sepakan masing-masing maka proses tersebut akan terus berulang sehingga salah satu pasukan gagal menyempurnakan sepakan untuk memberikan kelebihan kepada lawan menjadi pemenang.

BACA:  Salah Berang Dan Terpaksa Dileraikan Selepas Dikasari Pemain Djibouti