Kedunguan Maguire Punca Liverpool Berjaya Jaringkan Dua Gol Mudah

Harry Maguire boleh dikatakan akan membuat sekurang-kurangnya satu kesilapan dari kesemua aksi beliau sepanjang musim ini bersama setan merah.

Hari ini tidak ada bezanya dengan semalam, kemarin, minggu lepas, bulan lepas mahupun tahun lepas dengan Harry Maguire tetap menjadi dirinya sendiri.

Beliau kali ini memilih Anfield sebagai gelanggang untuk beliau menunjukkan kebodohan dan kedunguan beliau sebagai pertahanan termahal dalam dunia bola sepak.

Liverpool berjaya memintas Manchester City untuk berada di puncak saingan Premier League selepas kejayaan membelasah setan merah dengan keputusan 4-0.

Setidak-tidaknya mereka akan ada tempoh 24 jam untuk menikmati suasana di puncak liga sebelum Man City berpotensi untuk kembali memintas andai mereka mampu tewaskan Brighton.

Gol jaringan Luis Diaz, Sadio Mane dan dua gol jaringan Mohamed Salah sudah cukup untuk mengesahkan kenduri gol Liverpool membelasah musuh tradisi mereka itu.

Dua pertemuan mereka dalam saingan Premier League musim ini, Manchester United bolos sembilan gol dan langsung tak mampu membalas walau satu gol sekalipun.

Hal itu jelas menunjukkan yang barisan pertahanan setan merah terlalu lembik untuk menghalang jentera serangan Liverpool yang luar biasa padu.

Liverpool hanya memerlukan lima minit sahaja untuk membuka tirai jaringan mereka menerusi Luis Diaz hasil umpanan cantik dari Mohamed Salah.

Jaringan minit kelima itu langsung tak ada kaitan dengan jersi Maguire kerana ada peminat yang percaya ia tanda menghormati ketua pasukan setan merah itu.

Gol itu juga menyebabkan Maguire teruk kena tibai dengan para peminat kerana beliau berada di kedudukan yang tak sepatutnya ketika build up serangan tersebut.

Pemain kebangsaan England itu merupakan satu-satunya pemain pertahanan yang bermain high line dengan beliau dilihat keliru sama ada mahu masuk mengejar Mane atau mahu track back.

Walau bagaimanapun, beliau sebenarnya berdiri terlalu jauh dari Mane dan langsung tidak meletakkan sebarang tekanan pada pemain penyerang Liverpool itu.

Sebaliknya beliau memberi ruang kepada Liverpool untuk memanfaatkan ruang yang ada dan terus melakukan serangan pantas.

Mane segera menolak bola ke hadapan dan bola itu dimenangi oleh Mohamed Salah dengan Maguire pada ketika itu sudah berada jauh di belakang.

Salah kemudiannya membawa bola masuk ke kotak penalti sebelum melorongkan bola cantik mencari Luis Diaz yang bijak menolak masuk bola ke dalam gawang gol United menewaskan De Gea.

Maguire turut bersalah untuk gol keempat Liverpool kerana beliau menghantar bola melalut dan turut berada di kedudukan yang tak sepatutnya.

Selepas memenangi bola dari Hannibal Mejbri, yang menerima bola mengarut dari Maguire, Liverpool segera melancarkan serangan pantas menerusi Diogo Jota.

Bintang Portugal itu sempat mengesan ada ruang untuk rakan sepasukannya itu masuk dengan beliau kemudiannya melorongkan bola cantik ke dalam kotak penalti mencari Salah.

Maguire pula pada ketika itu berada di hadapan kerana beliau kononnya mahu membuat perangkap offside.

Namun dek kerana jangkaan yang tak tepat, beliau sebaliknya memberi ruang kepada Mo Salah untuk memenangi bola dan menewaskan De Gea dengan satu sungkitan mudah.

Para penyokong setan merah jelas sekali tak gembira dengan kedunguan Maguire dan menganggap beliau punca Liverpool berjaya menjaringkan kedua-dua gol itu.

Kedunguan beliau dalam membuat keputusan merupakan sebab mengapa Liverpool boleh menjaringkan dua gol penting itu.

“Maguire suka naik terlalu atas tapi dia tak pandang rakan sepasukan dia yang lain, ketua apa macam tu? Agak mengejutkan untuk melihat dia boleh bermain dalam saingan Premier League walau beliau langsung tak tahu apa-apa tentang positioning.”

“Positioning Maguire memang terlalu teruk. Untuk pemain yang tak ada kelebihan dalam membuat larian pantas, kamu sepatutnya boleh membaca permainan dengan lebih baik.”

“Kenapa dia suka buat keputusan sendiri? Waktu dia buat perangkap offside rakan sepasukan dia tak tahu, dan dia nampak yakin naik ke atas seorang diri.”

“Apa masalah dia sebenarnya? Saya makin tak faham betul ke dia pemain bola sepak profesional? Positioning dia terlalu teruk.”

“Maguire kena faham dia perlu menyusahkan pemain penyerang lawan bukan rakan sepasukan sendiri. Tolonglah jual dia. Kami dah penat.”

Bercakap menjelang aksi perlawanan bertemu Liverpool, Maguire mempertahankan dirinya sendiri dari kritikan peminat dengan menyatakan:

Dah tentu ada sebab mengapa Maguire masih tetap diturunkan oleh Ralf Rangnick walau ramai peminat menghentam beliau tanpa belas.

Ketua pasukan Manchester United itu tampil menjelaskan sebab utama mengapa beliau masih kekal berada dalam kesebelasan utama United dengan menyatakan:

“Saya tidak akan bermain dalam setiap perlawanan untuk Manchester United sebagai pemain utama jika saya bermain dengan teruk setiap perlawanan atau tak bermain dengan cukup bagus.”

Jelas Maguire kepada Sky Sports.

“Mesti ada sebab mengapa semua pengurus meletakkan saya dalam kesebelasan utama mereka dalam setiap perlawanan.”

“Tapi saya juga faham yang saya ketua pasukan kelab ini, saya menyebabkan kelab mengeluarkan dana yang besar dan ketika semuanya tidak berjalan dengan baik dan kami kerap bolos, maka saya yang akan dikritik.”

BACA:  Aksi Kelakar Pertahanan Manchester United dan Harry Maguire Hadiahkan Liverpool Empat Gol