Kenali Pak Cik Yang Jadi Pacer Dalam Perlumbaan Akhir Acara Keirin Olimpik Tokyo

Datuk Azizulhasni Awang berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau berjaya membawa pulang pingat perak selepas memotong pesaing dari Belanda, Harrie Lavreysen betul-betul di hadapan garisan penamat, namun sedikit jauh dibelakang pemenang pingat emas Jason Kenny.

Kenny sejak awal perlumbaan beliau mengikuti rapat pacer dan sebaik pacer keluar dari trek, beliau terus memecut laju meninggalkan pelumba lain jauh di belakang.

Datuk Azizulhasni Awang tetap jadi kebanggaan Malaysia

Pelumba dari Australia, Glaetzer telah mencetuskan kontroversi dan mengundang kecaman dari para peminat selepas beliau membiarkan saja Jason Kenny maju tanpa dicabar.

Tindakan dungu Glaetzer menyebabkan Datuk Azizulhasni Awang, Harrie Lavreysen dan pelumba lain di belakang sukar untuk mengejar Jason Kenny yang semakin selesa di hadapan.

Walau Datuk Azizulhasni sendiri seakan tidak berpuas hati dengan pingat perak kerana beliau mahukan emas, namun bagi seluruh rakyat Malaysia beliau sudah memenangi emas.

Selain isu Glaetzer, ramai peminat yang tertanya-tanya tentang pacer ketika aksi perlumbaan semalam, dengan ramai yang curiga tentang siapa pak cik tua tersebut.

Bahkan ada yang menganggap, pacer hanya akan diberikan kepada orang tua dan ramai yang tertanya-tanya mengapa tidak menggunakan orang muda.

Mungkin ramai tidak tahu siapa pacer ketika aksi perlumbaan peringkat akhir acara keirin semalam.

Beliau adalah Sakamoto Tsutomu dan beliau merupakan legenda lumba basikal Jepun yang turut pernah memenangi pingat di temasya Sukan Olimpik.

Beliau pernah memenangi pingat gangsa dalam acara sprint individu lelaki di temasya Sukan Olimpik Los Angeles 1984.

Di usia 59 tahun, Sakamoto Tsutomu telah diberi penghormatan untuk menjadi pacer dalam aksi perlumbaan peringkat akhir acara keirin di temasya Olimpik Tokyo 2020 semalam.

Beliau bukan pak cik tua yang di upah untuk jadi pacer ya, tapi beliau diberi ‘penghormatan’ untuk menggalas tugas sebagai pacer atas kejayaan yang pernah beliau capai sebelum ini.

Mungkin masih ada yang belum faham apa itu keirin dan mengapa adanya pacer dalam perlumbaan, maka sebagai tanggungjawab sosial, mari Min jelaskan.

Pengenalan

Keirin berasal dari Jepun, dan ia bermaksud ‘perlumbaan beroda’, dan mula dimainkan pada tahun 1948.  Asalnya, sukan ini hanyalah satu acara untuk perjudian, sama seperti lumba kuda tetapi lama kelamaan sukan ini dilihat berpotensi untuk pergi lebih jauh, tambahan pula dengan golongan barat mula mempromosi acara ini di negara masing-masing, maka akhirnya diiktiraf sebagai acara rasmi Union Cycliste Internationale (UCI) – Kesatuan Basikal Antarabangsa.

Pada tahun 1996, acara Keirin ini dimasukkan ke dalam mesyuarat jawatankuasa olimpik, untuk diundi sama ada perlu dijadikan sebagai satu acara olimpik atau tidak, dan pada Olimpik Sydney 2000, keirin menjadi acara rasmi dan dimenangi pengayuh dari Perancis, Florian Rousseau.

Sir Chris Hoy, pengayuh dari Britain, boleh dikatakan antara pengayuh yang paling hebat dalam sejarah perbasikalan di atas trek, di mana dia  telah memenangi dua pingat emas dalam acara keirin – pada 2008 di Beijing dan pada 2012 di London.

Syarat sah keirin

Antara syarat sah acara keirin menurut jumhur pengayuh adalah pertama sekali perlulah mempunyai sebuah basikal, topi keledar keselamatan yang diiktiraf dan juga cermin mata serta kasut.

Basikal yang digunakan pula mestilah basikal yang boleh dibeli oleh orang awam dan terdapat di dalam pasaran. Tujuan UCI meletakkan peraturan ini adalah untuk mengelakkan mana-mana pasukan menggunakan basikal yang terlalu canggih umpama kereta yang boleh pergi ke angkasa lepas dalam cerita Fast Furious 9.

Perlumbaan keirin dimainkan dalam jarak 2km, atau 8 pusingan trek velodrome 250m, atau 6 pusingan trek velodrome 333m. Dari pusingan pertama, pelumba akan mengikut seorang manusia yang menaiki motosikal atau basikal eletkrik yang dipanggil pacer atau The Derny. Kelajuan pelumba perlahan-lahan dinaikkan dari 25km/j ke 50km/j.

Ketika di belakang The Derny, pelumba tidak dibenarkan memotong The Derny dan tatkala kelajuan mencecah 50km/j, dan jarak garisan penamat sekitar 600m, The Derny akan bergerak ke tepi dan memberikan laluan kepada pelumba untuk memecut sepenuh hati sehingga ke garisan penamat.

Derny tak semestinya seseorang lelaki yang berbadan gempal atau tua, sebaliknya sesiapa sahaja boleh menjadi Derny dengan syarat dia faham apa tugasnya.

Carta pertandingan

Pusingan pertama

Senarai pelumba yang layak ke olimpik akan ditapis sehingga 24 orang dan mereka akan dibahagikan kepada empat saringan pusingan pertama, dan setiap saringan mengandungi enam pelumba. Pemenang tempat pertama dan kedua akan layak secara automatik ke pusingan kedua, yang akan dijalankan sebanyak dua saringan manakala yang lain akan bersaing di pusingan repechage.

Repechage

Repechage ialah pusingan khas untuk menentukan kelayakan pelumba ke pusingan kedua. Repechage akan dijalankan dalam empat saringan, dengan penyertaan lima pelumba setiap saringan.

Dari empat saringan, hanya pemenang di tempat pertama akan layak ke pusingan kedua.

Pusingan kedua

Pusingan kedua dibahagikan kepada dua saringan, dengan enam pelumba setiap saringan. Pelumba yang berjaya mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga dari setiap saringan  akan layak ke pusingan akhir, manakala pelumba di tempat keempat, kelima dan keenam akan berlumba di pusingan penentuan tempat ke-7 sehingga 12.

Pusingan akhir

Pusingan akhir terdiri daripada enam pelumba dan pelumba yang mendapat tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing dianugerahkan pingat emas, perak dan gangsa.

Sumber: Olympedia

BACA:  Ketika Bolt Tinggal Kenangan De Grasse Muncul Merajai Lapangan