Kenali Secara Ringkas 30 Atlet Negara Di Sukan Olimpik Tokyo

Acara pembukaan sukan Olimpik Tokyo secara rasminya telah dibuka kemarin dengan 206 negara terlibat dalam acara tersebut.

Kontijen Malaysia yang diwakili oleh 30 orang atlet dan 13 orang pegawai telah muncul sebagai negara ke-177 yang diperkenalkan di acara pembukaan sukan terbesar di dunia itu.

Atlet Badminton negara, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying tampil sebagai pembawa jalur gemilang dengan kesemua atlet memperagakan busana yang cukup indah dengan menggabungkan elemen nostalgia dan segar.

Menteri Belia dan Sukan, YB Dato Sri Reezal Merican telah mengumumkan yang kontijen negara di kejohanan Olimpik kali ini menyasarkan 3 pingat dan salah satu darinya adalah pingat emas.

Sasaran tersebut tertumpu di acara berbasikal, badminton dan akuatik dan sepertinya sasaran tersebut masuk akal dengan kemampuan yang ada pada atlet negara.

30 atlet Malaysia di kejohanan Olimpik kali ini adalah dari acara memanah, olahraga, akuatik, badminton, berbasikal, golf, gimnastik, sukan layar dan menembak.

Mungkin masih ramai yang tak kenal dengan para atlet negara yang bertanding di kejohanan Olimpik Tokyo ini, dan berikut merupakan profil ringkas kesemua atlet yang terlibat.

Profil Ringkas Atlet Malaysia Ke Sukan Olimpik Tokyo

1) Farah Ann Abdul Hadi

Farah Ann jelas merupakan atlet paling terkenal dalam kontijen negara, kerana kecantikkannya yang sungguh menakjubkan dan kehandalannya di pentas dunia gimnastik.

Benarlah bidadari itu wujud.

Atlet jelita negara itu berusia 27 tahun dan akan beraksi dalam acara All-around wanita.

Pencapaian terbaik beliau untuk kontijen negara adalah dengan memenangi tujuh pingat emas Sukan Sea dari tahun 2015-2019.

2) Jeremiah Loo Phay Xing

Jeremiah Loo Phay Xing merupakan seorang lagi wakil di acara gimnastik untuk kategori lelaki di kejohanan Olimpik Tokyo ini.

Beliau ketika ini sudah berusia 23 tahun dan mewakili negara dalam acara All-around lelaki.

Pencapaian terbaik beliau untuk kontijen negara adalah memenangi pingat emas kekuda berpelana di kejohanan Sukan Sea Kuala Lumpur pada tahun 2017.

3) Gavin Green

Gavin Green merupakan atlet dalam sukan Golf dengan beliau pada ketika ini sudah berusia 27 tahun.

Beliau akan turun beraksi dalam acara golf kategori lelaki dan pencapaian terbaiknya untuk negara adalah menjuarai kejohanan golf jelajah- Asia Mercuries Taiwan Master 2017.

4) Kelly Tan

Kelly Tan merupakan seorang lagi atlet yang beraksi dalam sukan golf dengan beliau juga berusia 27 tahun pada ketika ini.

Kelly mewakili negara di kejohanan Olimpik Tokyo ini dalam acara golf wanita dengan pencapaian terbaiknya untuk negara adalah menjuarai kejohanan golf Florida Natural Charity Classic 2019.

5) Khairul Anuar Mohamad

Khairul Anuar merupakan atlet memanah negara dengan beliau beraksi dalam dua acara di kejohanan Olimpik kali ini.

Atlet berusia 29 tahun itu beraksi dalam acara recurve individu lelaki dan campuran bersama Syaqiera Mashayikh.

Pencapaian terbaik beliau untuk negara adalah memenangi pingat perak di kejohanan memanah dunia 2019 di Hortogenbosch, Belanda.

6) Syaqiera Mashayikh

Syaqiera Mashayikh merupakan seorang lagi atlet memanah yang turut beraksi dalam dua acara di kejohanan Olimpik Tokyo.

Atlet berusia 21 tahun itu akan beraksi dalam acara recurve individu wanita dan campuran bersama Khairul Anuar Mohamad.

Pencapaian terbaik Syaqiera untuk negara adalah melayakan diri ke peringkat kedua dalam kelayakan Sukan Olimpik 2020 di Paris.

7) Nur Suryani Mohamed Taibi

Nur Suryani merupakan atlet berpengalaman negara yang akan beraksi dalam acara menembak di kejohanan Olimpik Tokyo ini.

Atlet berusia 38 tahun itu akan turun beraksi dalam acara 50 meter riffle 3 position individu wanita.

Pencapaian terbaik beliau untuk negara adalah memenangi pingat perak acara 50m riffle prone di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

8) Lee Hup Wei

Lee Hup Wei merupakan atlet olahraga negara yang akan beraksi dalam acara lompat tinggi di kejohanan Olimpik Tokyo ini.

Pencapaian terbaik atlet berusia 34 tahun itu untuk skuad negara adalah memenangi pingat emas kejuaraan Asia 2007 di Jordan.

Beliau juga merupakan atlet Malaysia pertama yang berjaya untuk mara ke pusingan akhir di kejohanan dunia.

9) Azreen Nabila Alias

Azreen Nabila merupakan atlet muda berusia 21 tahun yang akan beraksi dalam acara olahraga di kejohanan Olimpik kali ini.

Beliau akan beraksi dalam acara pecut 100 meter wanita dan pencapaian terbaiknya adalah memenangi pingat emas acara 100 meter dan 200 meter di kejohanan SUKMA 2018.

10) Khairul Nizam Mohd Afendy

Khairul Nizam merupakan atlet dari acara pelayaran dan beliau akan beraksi dalam acara laser lelaki di kejohanan Olimpik Tokyo ini.

Pencapaian terbaik atlet berusia 28 tahun itu adalah memenangi pingat perak acara laser di Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan.

11) Soniia Cheah

Soniia Cheah merupakan salah seorang atlet dari sukan badminton dan turut menjadi salah seorang harapan untuk membawa pulang pingat.

Atlet berusia 28 tahun itu akan turun beraksi dalam acara perseorangan wanita di kejohanan Olimpik Tokyo ini.

Pencapaian terbaiknya untuk negara adalah menjuarai kejohanan terbuka Belgium pada tahun 2016.

12) Chow Mei Kuan

Chow Mei Kuan juga merupakan salah seorang atlet dari sukan badminton dengan beliau akan beraksi dalam kategori regu wanita bersama Lee Meng Yean di kejohanan Olimpik kali ini.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 26 tahun itu untuk negara adalah menjuarai kejohanan badminton antarabangsa, Syed Modi pada tahun 2018.

13) Lee Meng Yean

Lee Meng Yean merupakan regu untuk Chow Mei Kuan dengan kedua-dua mereka akan beraksi dalam acara regu wanita di kejohanan Olimpik Tokyo kali ini.

Pencapaian terbaik untuk atlet berusia 27 tahun ini adalah menjuarai kejohanan badminton antarabangsa Syed Modi bersama Mei Kuan pada tahun 2018.

14) Goh Liu Ying

Goh Liu Ying yang juga merupakan pembawa jalur gemilang ketika acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo ini akan beraksi dalam acara beregu campuran bersama Chan Peng Soon.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 32 tahun itu adalah memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio pada tahun 2016 yang lalu.

Beliau jelas merupakan salah seorang atlet yang diharapkan akan membawa pulang pingat untuk kontijen negara bersama rakan regunya, Peng Soon.

15) Chan Peng Soon

Chan Peng Soon merupakan rakan regu kepada Goh Liu Ying dengan mereka menjadi wakil negara untuk acara beregu campuran di kejohanan Olimpik kali ini.

Pencapaian terbaik atlet berusia 31 tahun itu adalah memenangi pingat perak bersama Goh Liu Ying di kejohanan Olimpik, Rio pada tahun 2016 yang lalu.

16) Aaron Chia

Aaron Chia merupakan wakil untuk acara beregu lelaki di kejohanan Olimpik kali ini bersama Soh Wooi Yik.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 24 tahun itu adalah memenangi pingat emas di Sukan Sea 2019, di Manila bersama Wooi Yik.

17) Soh Wooi Yik

Soh Wooi Yik tentunya akan beraksi dalam acara regu di kejohanan Olimpik kali ini bersama rakan regunya Aaron Chia.

Pencapaian terbaik untuk atlet berusia 23 tahun ini adalah memenangi pingat emas bersama Aaron Chia di temasya Sukan Sea, 2019 di Manila.

18) Lee Zii Jia

Pembawa jalur gemilang ketika acara pembukaan Sukan Olimpik Tokyo ini akan turun beraksi dalam acara perseorangan lelaki.

Beliau merupakan harapan untuk membawa pulang pingat selepas melihat kepada pencapaiannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pencapaian terbaik atlet berusia 23 tahun itu untuk negara adalah menjuarai kejohanan All England dan memenangi pingat emas di temasya Sukan Sea Manila pada tahun 2019.

19) Datuk Mohd Azizulhasni Awang

Azizulhasni Awang merupakan atlet berbasikal negara dan beliau juga merupakan atlet harapan yang akan membawa pulang pingat emas untuk negara di kejohanan Olimpik kali ini.

Atlet berusia 33 tahun itu akan beraksi dalam dua acara di kejohanan ini dengan beliau akan bertanding di acara pecut dan keirin.

Antara pencapaian terbaiknya untuk negara adalah memenangi pingat gangsa dalam acara keirin di Sukan Olimpik Rio 2016, memenangi pingat emas keirin di kejohanan trek dunia 2017 dan pingat emas acara pecut Sukan Asia Jakarta pada tahun 2018.

20) Muhammad Shah Firdaus Sahrom

Muhammad Shah akan turut beraksi dalam acara keirin dan pecut di kejohanan Olimpik Tokyo kali ini bersama Azizulhasni Awang.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 25 tahun itu untuk negara adalah memenangi pingat perak dalam acara keirin dan pingat gangsa dalam acara pecut di kejuaraan Asia 2019.

21) Nur Shazrin Mohd Latif

Nur Shazrin akan mewakili kontijen negara dalam acara pelayaran di kejohanan Olimpik Tokyo kali ini dengan beliau akan bertanding dalam acara laser radial wanita.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 23 tahun itu untuk negara adalah memenangi pingat gangga acara laser radial di Sukan Asia Jakarta pada tahun 2018.

22) Nuraisyah Jamil

Nuraisyah merupakan salah seorang lagi wakil dari sukan pelayaran untuk kontijen negara, dengan beliau akan mewakili Malaysia untuk acara international 470 wanita.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 25 tahun itu untuk negara adalah, memenangi pingat gangsa dalam acara international 470 wanita di Sukan Asia Jakarta pada tahun 2018 yang lalu.

23) Juni Karimah Noor Jamali

Juni Karimah juga merupakan salah seorang lagi atlet pelayaran untuk kontijen negara dan beliau akan beraksi dalam acara international 470 wanita di kejohanan Olimpik kali ini.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 18 tahun itu adalah menduduki tempat kelima dalam acara international 470 di kejohanan Asia 2019.

24) Welson Sim Wee Sheng

Sim Wee Sheng merupakan atlet dari sukan renang dengan beliau mewakili Malaysia untuk dua acara di kejohanan Olimpik Tokyo ini.

Atlet berusia 24 tahun itu mewakili Malaysia dalam acara 200meter dan 400meter gaya bebas lelaki.

Antara pencapaian terbaiknya untuk negara adalah memenangi pingat emas 200m dan 400m gaya bebas lelaki di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

25) Phee Jinq En

Phee Jinq En merupakan atlet wanita negara yang beraksi dalam acara renang dengan beliau turut bertanding dalam dua acara di kejohanan Olimpik Tokyo.

Atlet berusia 23 tahun itu mewakili negara untuk acara 100meter dan 200meter kuak dada wanita.

Antara pencapaian terbaik beliau untuk negara adalah memenangi pingat emas acara 50meter dan 100meter kuak dada di Sukan Sea Manila 2019.

26) Pandelela Rinong Pamg

Pandelela sememangnya terkenal kerana kejayaan beliau yang sering mengharumkan nama negara dalam acara akuatik.

Ratu terjun negara yang kini berusia 28 tahun itu akan mewakili negara dalam acara 10 meter platform individu dan seirama wanita.

Antara pencapaian terbaik beliau untuk negara adalah memenangi pingat gangsa terjun 10meter platform individu di Sukan Olimpik London 2012 dan pingat perak terjun 10meter platform seirama di Olimpik Rio 2016.

27) Cheong Jun Hoong

Cheong Jun Hoong juga merupakan wakil dari sukan terjun yang turut menjadi sasaran pingat untuk kontijen negara di Sukan Olimpik Tokyo ini.

Atlet berusia 31 tahun itu akan mewakili negara dalam acara 10meter platform individu wanita.

Antara pencapaian terbaik beliau untuk negara adalah memenangi pingat perak dalam acara 10meter platform seirama di kejohanan Olimpik Rio 2016 dan pingat emas 10meter platform individu di kejohanan akuatik dunia 2017.

28) Leong Mun Yee

Leong Mun Yee merupakan atlet terjun negara yang sangat berpengalaman dengan beliau akan mewakili negara dalam acara 10meter platform seirama.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 36 tahun itu adalah memenangi pingat perak acara 10meter platform seirama di kejohanan dunia 2019 dan pingat perak 10meter platform seirama di Sukan Asia 2010.

29) Nur Dhabitah Sabri

Dhabitah juga merupakan salah seorang lagi atlet dari dunia akuatik yang akan mewakili negara dalam acara terjun 3meter papan anjal individu di kejohanan Olimpik Tokyo ini.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 22 tahun itu untuk negara adalah memenangi pingat perak dalam acara 3meter papan anjal seirama di Sukan Asia Jakarta 2018.

30) Wendy Ng Yan Yee

Atlet ke-30 negara merupakan wakil dari dunia akuatik yang akan mewakili negara dalam acara terjun 3meter papan anjal individu wanita.

Antara pencapaian terbaik atlet berusia 28 tahun itu adalah memenangi pingat perak di acara terjun 3meter papan anjal seirama wanita di Sukan Asia Jakarta 2018.

Begitulah profil ringkas 30 atlet Malaysia yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo pada tahun ini, mampukah mereka mencapai sasaran tiga pingat yang ditetapkan oleh KBS? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: AstroArena

BACA:Β  Mengapa Atlet Terjun Cari Shower Selepas Keluar Kolam?