Kenali Skinsuit Berteknologi Tinggi Yang Dicipta Daripada 40,000 Bahan Yang Akan Dipakai Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus

Sejak mula beraksi dalam Sukan Olimpik di Beijing pada tahun 2008, Datuk Azizulhasni Awang tidak pernah putus semangat dalam percubaannya membawa pulang pingat, sekaligus membawa nama Malaysia ke puncak dunia.

Dalam edisi sukan paling berprestij di dunia tersebut pada tahun 2016 di Brazil, Datuk Azizulhasni yang juga lebih dikenali sebagai Jijoe berjaya membawa pingat pertama dalam acara berbasikal trek, selepas dia memenangi pingat gangsa dalam acara keirin, selepas pulang tangan kosong dari Beijing dan London pada tahun 2012.

Lima tahun sudah berlalu, dan sasaran atlet yang berasal dari Dungun, Terengganu ini masih sama – pingat emas pertama negara dalam sukan Olimpik.

Dalam Olimpik Tokyo 2020, Jijoe tidak lagi berseorangan apabila kini dia turut disertai oleh Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang berjaya melayakkan diri ke Olimpik buat pertama kali.

Persiapan rapi pada kali ini bukan sahaja dari sudut fizikal, malah jentera dan juga suit yang akan digunakan nanti. Dengan kajian dan pembangunan (R&D) yang menelan belanja sebanyak RM13 juta, jentera dan baju ataupun suit direka khas untuk dua atlet berbasikal negara ini beraksi pada tahap tertinggi.

Bercerita tentang suit, baju yang akan dikenakan oleh Jijoe dan Firdaus ini merupakan suit yang berteknologi tinggi ini dibuat daripada material yang terpilih, hasil gabungan 40,000 dengan mengambil kira faktor kelajuan dan regangan fabrik.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, suit Vorteq ini adalah sebahagian draripada kajian bernilai RM13 juta tersebut, hasil usahasama dengan antara ISN dan syarikat dari United Kingdom, TotalSim Limited.

Dia berkata, selain daripada basikal WX-R Vorteq, yang bernilai RM300,000 setiap satunya, Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus juga akan menggunakan suit yang akan memberikan impak tinggi buat prestasi keseluruhan dua penunggang negara ini.

Menurutnya juga, penggunaan suit yang diiktiraf oleh Kesatuan Berbasikal Dunia atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut International Cycling Union (UCI) ini direka khas mengikut saiz badan dan fisiologi atlet dalam membantu mereka mengekalkan posisi masing-masing ketika perlumbaan, sekaligus mengurangkan daya geseran dengan udara.

“Dia macam senjata rahsia. Kalau korang boleh tengok teknologi ni, memang mantap sebab dia akan kunci kedudukan penunggang.

“Nak pakai baju ni saja dah memerlukan tiga orang. Memang satu cabaran juga lah nak boleh ke pakai skinsuit tu dan lepas tu, kedudukan penunggang akan kekal ketika perlumbaan,” ujar Ahmad Faedzal kepada Bernama, seperti yang dipetik oleh MalayMail.

“Untuk membangunkan skinsuit ini, banyak material telah diuji dalam R&D untuk mendapatkan bahan yang sesuai, di mana kami juga perlu memastikan bahan yang dipilih adalah tepat untuk membantu atlet beraksi dengan lebih baik,” katanya lagi tambah memberitahu nilai harga suit tersebut.

Dia juga turut menyatakan bahawa suit tersebut telah melalui ujian terowong angin (wind tunnel testing).

Tambahnya lagi, usahasama antara ISN dan TotalSim ini, yang bermula sejak 2018, secara amnya menyasarkan untuk memfokuskan kepada kelebihan marginal.

Dia menerangkan bahawa setiap aspek yang boleh membantu potensi Azizulhasni dan Shah Firdaus untuk menggapai tahap tertinggi, termasuk pakaian perlumbaan, posisi berbasikal, rangka basikan dan juga handle – antara faktor yang diambil kira.

“Kesemua elemen ini akan membantu mengurangkan rintangan dengan peratusan yang kecil, tetapi ia masih mampu untuk memberikan impak yang besar dalam persembahan keseluruhan penunggang,” katanya lagi.

Dia juga turut berkata bahawa saintis dan pakar di ISN telah mempelajari banyak perkara yang berharga, hasil usahasama dan R&D selama tiga tahun ini.

“Sekarang ni bukan lagi bergantung kepada aspek psikologi dah. Dalam sesetengah sukan, kombinasi antara fisiologi dan tekonogi mesin jgua sangat penting,”tambah Faedzal.

Datuk Azizulhasni dan Shah Firdaus akan mula turun ke trek pada hari Rabu, 4 Ogos pada pukul 2.30 petang waktu Malaysia, dalam acara pecut individu.

Semoga kali ini pingat emas akan hadir ke bumi Malaysia.

Sumber : MalayMail

BACA:  Air Mata Aizulhasni Menitis di Tokyo, Hanya Tahu Isteri Mengandung Anak Ketiga Selepas Tamat Acara Keirin