Kenapa Lumba Basikal di Velodrome dan Acara Balapan Mengikut Arah Lawan Jam?

Sukan Olimpik semakin hampir ke penghujungnya dan acara yang paling dinanti-nanti oleh peminat sukan di seluruh dunia – trek dan balapan – sudah pun dilangsungkan dengan beberapa rekod dunia dan Olimpik yang baru telah dicipta.

Bagi rakyat Malaysia pula, pastinya tertunggu-tunggu aksi dua jagoan berbasikal trek negara – Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom beraksi. Tambahan pula, acara ini boleh dikatakan sebagai acara yang memberikan peluang besar kepada kontinjen negara untuk membawa pulang pingat, terutamanya pingat emas pertama dalam sejarah Olimpik Malaysia.

Tapi, dalam kita menonton aksi para atlet di balapan dan trek velodrome, pernahkah kita terfikir kenapa perlumbaan ini dilangsungkan secara lawan arah jam? Kenapa tidak dilangsungkan ikut arah jam?

Pernah tak terfikir benda ni sampai tak boleh tidur?

Ada beberapa jawapan untuk persoalan berat sebegini. Mengikut seorang saudar yang menggunakan katanama @isotofit di dalam video yang dimuat naik di saluran ML Studio, sejarahnya arah pusingan perlumbaan ini bermula sejak zaman Rom lagi.

Pada waktu tersebut, perlumbaan chariot pada awalnya dijalankan mengikut arah jam, tetapi pada suatu hari, seorang pengendali chariot terlibas tali belati terkena maharaja Rom yang sedang menonton di tepi gelanggang ketika itu.

Sejak itu, sebarang perlumbaan dijalankan mengikut lawan arah jam dan tradisi ini dikekalkan sampai ke hari ini. Selain tradisi, ada beberapa sebab lain dan lebih saintifik kenapa perlumbaan dijalankan mengikut lawan arah jam.

Laman Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) telah berkongsi faktor dan sebab saintifik kenapa perlumbaan trek dijalankan dengan kaedah putaran ini.

Bahagian Kanan Yang Dominan

Kajian menunjukkan bahawa sekitar 90 peratus daripada populasi dunia adalah dominan di bahagian kanan badan – tangan, kaki dan sebagainya, dan ini mungkin menjadi asbab kepada pelumba basikal yang lebih selesa melencongkan jentera ke sebelah kiri, berbanding kanan.

Dalam acara olahraga pula, tujahan daripada kaki kanan (dominan) lebih kuat berbanding kari yang kurang dominan, sekaligus mampu memberikan momentum dan kestabilan ketika melakukan pusingan.

Fisiologi

Secara saintifiknya, ada teori yang mengatakan bahawa kaedah pusingan lawan arah jam ini bertepatan dengan posisi jantung di dalam dada dan bagaimana darah dipam.

Teori tersebut mengatakan bahawa saluran vena-cava membawa darah deoksigen ke jantung menerusi sedutan organ tersebut. Vena ini membawa darah dari kiri ke bahagian kanan di dalam badan. Daya emparan yang terhasil daripada pergerakan lawan arah jam membantu sedutan ini.

Jika kita berlari atau mengayuh basikal mengikut arah jam, daya emparan menghalang sedutan tersebut, maka kita akan lebih cepat berasa penat.

Pergerakan Kiri ke Kanan

Majoriti bahasa di dunia ini ditulis dan dibaca dari kiri ke kanan, jadi agak masuk akal lah kalau kita fikir yang penonton lebih selesa melihat aksi yang bergerak dari kiri ke kanan. Pun begitu, ada juga bahasa yang ditulis dan dibaca dari kanan ke kiri dan dari atas ke bawah.

Tapi sebab dah biasa tengok aksi kiri ke kanan, kan? Jadi, dah terbiasa la kot.

Putaran Bumi

Arah bumi berputar. Sebenarnya gambar ni salah sebab bumi sebenarnya rata.

Disebabkan bumi berputar, Coriolis Effect di Hemisfera Utara berlaku (yang menyebabkan ribut berpusing mengikut arah lawan jam), dikatakan mampu memberikan pelumba yang mengikut arah putaran ini sedikit kelebihan di mana mereka akan beraksi dengan lebih pantas. Tapi kalau mereka beraksi di hemisfera selatan, maka kesan ini menjadi halangan.

Jika perlumbaan dilangsungkan mengikut arah jam, pelumba dan atlet akan memerlukan tenaga yang lebih bagi melawan arah putaran bumi dan menyebabkan mereka akan menjadi cepat penat.

Korang setuju tak ni?

Sumber : UCI

BACA:  Terjunan Stephan Feck Dianggap Yang Paling Teruk Dalam Sejarah Sukan Olimpik