Kepa Akhirnya Dedah Mengapa Beliau Ingkar Arahan Sarri Ketika Aksi Perlawanan Akhir League Cup

Kepa Arrizabalaga akhirnya telah menjelaskan tentang insiden ketika beliau dikritik kerana melawan pengurusnya, Maurizio Sarri ketika aksi perlawanan akhir Carabao Cup.

Chelsea ketika itu bertemu Manchester City di Wembley dalam aksi perlawanan akhir Carabao Cup 2019, dengan kedua-dua pasukan masih terikat tanpa jaringan selepas tamat masa tambahan permainan.

Tidak lama sebelum masuk ke aksi penentuan sepakan penalti, Kepa dilihat mengalami kecederaan dan Sarri memutuskan untuk mengeluarkan beliau dan memasukkan Willy Caballero.

Kepa ketika itu melihat nombor jersi beliau diangkat oleh pembantu pengadil, bermaksud beliau harus dikeluarkan, namun beliau tidak menghiraukan hal itu dan beliau mahu terus bermain.

Beliau menunjukkan isyarat memberitahu Sarri bahawa keadaannya baik-baik sahaja, namun bekas pengurus Juventus itu tetap menyuruh beliau keluar untuk menggunakan khidmat Caballero dalam aksi penentuan sepakan penalti.

Kepa tetap bertegas untuk tidak mahu keluar dan hal itu agak mengejutkan barisan kejurulatihan dan rakan sepasukannya yang lain.

Sarri jelas bengang dengan hal tersebut dengan beliau terus masuk ke terowong, sementara Kepa masih kekal di atas padang dan beraksi dalam penentuan sepakan penalti.

Manchester City berjaya menewaskan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti, dan Kepa menerima kritikan yang teruk dari kalangan para peminat kerana insiden tersebut.

Pemain kebangsaan Sepanyol telah menjelaskan segala kesalahfahaman yang berlaku pada ketika itu, dengan menyatakan:

“Itu semua merupakan satu salah faham yang besar.”

“Manchester City jelas mendominasi permainan ketika aksi di masa tambahan dan ketika itu sudah hampir untuk ke aksi penentuan sepakan penalti.”

“Selepas menyelamatkan bola, saya rasa sesuatu di kaki saya dan saya memanggil fisio untuk pastikan saya tidak ada apa-apa. Selain dari itu, saya cuma mahu memastikan rakan sepasukan yang lain boleh ambil nafas sekejap.”

“Dengan tiba-tiba, saya nampak jurulatih, Maurizio Sarri suruh Willy Caballero untuk panaskan badan.”

“Dia mungkin fikir saya tak boleh terus bermain. Niat saya ketika itu, walaupun salah, saya cuma mahu buang masa untuk bantu rakan sepasukan saya ambil nafas. Saya tak ada masalah apa-apa yang boleh menghalang saya dari terus bermain.”

“Saya cuba bagi isyarat untuk beritahu yang saya OK, saya nak dia tahu saya tak cedera. Tapi kami di Wembley, dihadapan lebih dari 80,000 orang, jadi sudah tentu Sarri tak faham apa saya cuba sampaikan.”

“Ketika pengadil keempat angkat papan, jelas sekali saya harus keluar, dan saya minta maaf kerana saya tak keluar.”

Ramai yang mengecam bintang berusia 26 tahun dan menganggap beliau bersikap biadap terhadap pengurusnya.

Namun apa yang pasti, beliau jelas menyesal dengan segala hal tersebut dan telah meminta maaf kepada semua pihak berkait insiden tersebut.

Beliau kemudiannya menyambung lagi kenyataannya dengan menyatakan:

“Saya salah, dan saya minta maaf kepada semua yang terlibat ketika itu: kepada Maurizio Sarri, yang rasa dipermalukan oleh saya di khalayak, untuk Willy, rakan sepasukan dan seorang yang sangat professional, dan kepada semua rakan sepasukan dan penyokong Chelsea yang telah memberikan segalanya kepada kelab. Semua bunyi bising itu sebenarnya membantu kami setiap kali beraksi.”

“Dalam kalangan kami saja, ia tidak menjadi masalah. Saya ada perjumpaan dengan boss, kami bercakap tentang bagaimana situasi kami masing-masing, dan kami jernihkan keadaan yang keruh. Selepas itu saya digugurkan dan diketepikan, tapi seminggu selepas itu saya kembali ke dalam skuad.”

“Saya masih ingat aksi hebat ketika bertemu Fulham, dan itu sungguh menarik. Beberapa bulan selepas itu kami tersingkir dari saingan Europa League di peringkat separuh akhir, dan saya selamatkan dua sepakan penalti ketika aksi penentuan sepakan penalti. Sejujurnya semuanya nampak sudah baik-baik sahaja.”

“Tapi luar dari kelab, ia bukan dalam kawalan saya.”

“Ketika saya lihat telefon saya di bilik persalinan selepas perlawanan akhir League Cup, saya sedar yang berita tentang saya tular seluruh dunia. Untuk tempoh tiga ke empat hari selepas itu, ia masih tidak berhenti. Ia sangat mengecewakan. Dan jelas sekali, kebanyakkan orang yang melihat insiden tersebut akan fikir saya biadap dengan Sarri.”

“Saya rasa semuanya salah faham, kerana ia tidak pernah terlintas di hati saya untuk biadap dengan pengurus. Saya cuma mahu beritahu dia yang saya OK. Saya cuba jelaskan hal ini pada media, tapi saya tak mampu.”

Chelsea kemudiannya telah menandatangani Edouard Mendy dan Kepa sejak dari itu sekadar menjadi penjaga gol simpanan sahaja.

Kepa ketika menolak untuk dikeluarkan

Sepertinya Kepa sendiri dah salah faham lebih awal lagi, beliau fikir Sarri mahu mengeluarkannya kerana beliau tercedera, namun sebenarnya bekas pengurus Chelsea itu mahu memasukkan Caballero kerana ia adalah taktikalnya.

Sarri lebih percaya pada Caballero untuk beraksi dalam penentuan sepakan penalti dan bukanlah Kepa, jadi siapa salah faham sekarang? Bincangkan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Sarri: Kepa Masih Lagi Jauh Untuk Capai Tahap Courtois