Mengapa Tuchel Memasukkan Kepa Arrizabalaga Untuk Aksi Penentuan Sepakan Penalti?

Chelsea berjaya memenangi Piala kejuaraan kedua dari pertandingan Eropah di bawah kendalian Thomas Tuchel awal pagi tadi.

Chelsea sebelum ini berjaya menjulang Piala kejuaraan Champions League di bumi Porto dan mereka telah dipertemukan dengan Villarreal yang menjuarai saingan Europa League dalam aksi perlawanan merebut Super Cup.

The Blues sepertinya bakal berdepan nasib yang sama seperti Manchester United ketika Villarreal berjaya membawa mereka ke aksi penentuan sepakan penalti.

Hakim Ziyech membuka tirai jaringan untuk Chelsea pada aksi babak pertama permainan, sebelum Gerard Moreno menyamakan kedudukan pada minit ke-73 permainan.

Seperti yang berlaku pada Manchester United sebelum ini yang mana mereka ditewaskan oleh Villarreal menerusi penentuan sepakan penalti, Thomas Tuchel telah mengubah taktikalnya supaya mengelak berlakunya hal seperti itu.

Tuchel telah memasukkan Kepa Arrizabalaga di minit-minit akhir sebelum tamatnya aksi masa tambahan untuk penjaga gol Sepanyol itu beraksi di aksi penentuan sepakan penalti.

Ia seakan-akan mengingatkan peminat tentang insiden yang pernah berlaku dalam aksi perlawanan akhir Carabao Cup pada tahun 2019, yang mana Sarri ketika itu mahu menukarkan Kepa dengan Caballero.

Namun Kepa pada ketika itu tidak mahu keluar kerana beliau salah faham dengan maksud Sarri, dan menyebabkan dirinya dikritik teruk oleh peminat.

Dalam aksi perlawanan UEFA Super Cup ini, Kepa Arrizabalaga telah dibawa masuk untuk menggantikan Edouard Mendy untuk beraksi dalam aksi penentuan sepakan penalti.

Ia terbukti satu keputusan yang bijak dan berjaya membuahkan hasil selepas Kepa menjadi wira Chelsea dengan beliau berjaya menyelamatkan sepakan penalti dari Aissa Mandi dan Raul Albiol.

Tapi mengapa mesti Kepa dibawa masuk menggantikan Mendy?

Walau bagaimanapun, peminat di media sosial turut mempersoalkan tentang rekod Kepa dalam aksi penentuan sepakan penalti, dan pelbagai reaksi yang ditunjukkan oleh para peminat terhadap keputusan Thomas Tuchel itu.

Tidak hairanlah mengapa soalan tersebut menjadi soalan pertama yang perlu dijawab oleh Thomas Tuchel dalam temu bualnya selepas tamat perlawanan tersebut.

Sebenarnya, ia merupakan taktikal yang sememangnya sudah dirancang oleh Tuchel sejak awal beliau mengurus Chelsea dan ia diterapkan sehingga ke aksi di Windsor Park awal pagi tadi.

Tuchel mendedahkan tentang taktik perancangannya dengan menyatakan:

“Ia bukan sesuatu yang spontan.”

Jelas Tuchel kepada BT Sport.

“Kami sudah bercakap tentang itu kepada penjaga gol ketika kami mula sertai pertandingan Piala bertemu Barnsley (Februari lalu). Kami ada kajian statistik.”

“Kami sudah buat persiapan rapi yang Kepa ada peratusan lebih tinggi dalam menyelamatkan sepakan penalti.”

“Pakar analisis dan jurulatih penjaga gol menunjukkan pada saya dan mempersembahkan pada saya data-data tersebut dan kami bercakap kepada pemain yang ia akan berlaku dalam pertandingan kalah mati.”

“Kami bercakap dengan pemain dan Edou sangat menakjubkan. Kami lakukan apa yang perlu kami lakukan untuk pasukan. Memang ada bukti yang Kepa lebih bagus dari segi disiplin dan semua pemain ini memang betul-betul ada kesefahaman.”

“Saya sangat gembira untuk Kepa dan untuk Edou, dan mempunyai penjaga gol seperti ini yang tidak rasa sukar untuk dikeluarkan. Mereka gembira dengan perancangan saya untuk pasukan dan lakukan semua ini untuk pasukan.”

Mendy Dan Kepa Ada Kelebihan Masing-masing

Mendy turut beraksi cemerlang sepanjang perlawanan dan beliau harus diberi pujian untuk itu, dan beliau juga harus diberi penghargaan kerana tidak kisah dikeluarkan pada minit akhir permainan untuk membenarkan Kepa mengambil alih tugasnya.

Kebiasaannya penjaga gol akan merasa tercabar dan tidak menerima jika mereka perlu digantikan di minit-minit akhir seperti itu tanpa mereka ada masalah yang menyebabkan mereka harus meninggalkan padang.

Kedua-dua penjaga gol itu juga tenang ketika berdepan dengan pihak media, dan mereka turut memuji keberkesanan taktikal yang dilakukan oleh Thomas Tuchel.

Sangat menarik untuk melihat Kepa kembali mendapat kepercayaan dari pengurus dengan beliau sebenarnya berpotensi untuk menjadi salah seorang penjaga gol terhebat dunia.

Memegang status sebagai penjaga gol paling bernilai, agak sedih melihat Kepa sering diketepikan kerana kesilapan masa lalunya.

Dua penjaga gol terbaik Chelsea ketika ini

Beliau telah membuktikan kemampuan sebenarnya dan semoga saja beliau akan diberi lebih banyak minit permainan selepas ini.

Sumber: GMS

BACA:  Perbincangan Untuk Membawa Courtois Ke Real Madrid Terhenti Kerana Chelsea Mahu Cari Pengganti Terlebih Dahulu