Ketika Bolt Tinggal Kenangan De Grasse Muncul Merajai Lapangan

Andre De Grasse telah berjaya memenangi pingat emas acara 200m lelaki di temasya Olimpik Tokyo 2020, dengan mencatatkan catatan masa 19.62 saat.

Ia merupakan kali pertama atlet selain Usain Bolt yang berjaya memenangi acara tersebut sejak 13 tahun yang lalu.

Raja pecut dunia itu berjaya memenangi pingat emas acara ini sejak temasya Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan yang terakhir adalah Olimpik Rio 2016.

Lapan pelari telah berlumba dalam perlumbaan peringkat akhir acara 200m lelaki ini dengan membariskan pelari seperti De Grasse (Canada), Erriyon Knighton (USA), Noah Lyles (USA), Kenneth Bednarek (USA), Joseph Fahnbulleh (Liberia), Aaron Brown (Canada), Jareem Richards (Trinidad & Tobago) dan Rasheed Dwyer (Jamaica).

De Grasse mengakhiri acara 200m di kedudukan kedua dibelakang Bolt ketika temasya Olimpik Rio lima tahun lalu, dan kini beliau berjaya mengakhiri larian di kedudukan pingat emas.

De Grasse bersama Usain Bolt ketika acara 200m akhir di Rio 2016

Kesemua lapan-lapan pelumba mempamerkan larian yang sungguh kemas dan menakjubkan walau tiada rekod dunia yang berjaya dipecahkan.

Bednarek memenangi pingat perak, sementara Lyles yang diramalkan bakal memenangi pingat emas, sekadar memenangi pingat gangsa sahaja dalam acara ini.

Lima dari pelumba dalam perlumbaan ini berjaya mengakhiri larian mereka di bawah catatan masa kurang 20 saat, yang mana ia merupakan satu hal yang menarik untuk disaksikan.

Catatan masa yang dicatatkan oleh kesemua lapan-lapan pelumba dalam aksi perlumbaan peringkat akhir 200m lelaki:

1. De Grasse – 19.62

2. Bednarek – 19.68

3. Lyles – 19.74

4. Knighton – 19.93

5. Fahnbulleh – 19.98

6. Brown – 20.20

7. Dwyer – 20.21

8. Richards – 20.39

Maka tidak hairanlah ramai yang menganggap acara 200m tahun ini jauh lebih hebat berbanding acara akhir lima tahun lalu di Rio.

Peminat sangat teruja menonton perlumbaan tersebut dan ramai yang memuji peningkatan dari De Grasse.

Ketika aksi perlumbaan akhir di Rio, hanya Usain Bolt seorang sahaja yang mengakhiri perlumbaan dibawah catatan masa kurang 20 saat.

De Grasse yang ketika itu memenangi pingat perak juga hanya mencatatkan catatan masa 20.02 saat, berbanding edisi kali ini, atlet di kedudukan kelima masih mencatatkan catatan masa bawah 20 saat.

Peningkatan yang menarik dilakukan oleh De Grasse dari perak kini memenangi emas, dengan catatan masa beliau juga semakin baik.

Lebih menakjubkan lagi, De Grasse menjadi atlet Canada pertama yang memenangi pingat emas dalam acara 200m lelaki ini sejak kali terakhir mereka menangi pada tahun 1928.

Selepas mempamerkan aksi persembahan yang menakjubkan di Olimpik Stadium itu, De Grasse telah menyatakan bahawa:

“Saya sudah lalui macam-macam dalam tempoh lima tahun ini, di atas trek mahupun di luar trek.”

“Saya menjadi lelaki yang lebih dewasa. Pada tahun 2016 saya masih budak-budak, hanya mencuba dan menjadikannya kenyataan. Sekarang saya datang untuk pingat, dan saya pulang membawa pingat emas.”

Satu perlumbaan yang sangat menarik dan berbaloi untuk disaksikan, perlumbaan yang sangat sengit dan akhirnya dimenangi oleh Andre De Grasse.

Sumber: GMS

BACA:  Michael Phelps Antara Pemilik Baharu Leeds United