Khabib Dedah Pada Iron Mike Tentang Betapa Jahatnya McGregor

Khabib Nurmagomedov percaya yang seteru utamanya, Conor McGregor terlalu mabuk ketika memuat naik status yang menghina arwah ayahnya sebelum ini.

Abdulmanap Nurmagomedov merupakan ayah dan juga jurulatih Khabib, telah dimasukkan ke hospital pada Mei 2020 selepas keadaan jantungnya memburuk kesan dari wabak koronavirus.

Legenda jurulatih MMA itu kemudiannya telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana implikasi dari wabak C0V-19.

Khabib jelas terkesan dengan pemergian arwah ayahnya itu dengan beliau turut mengumumkan persaraannya selepas aksi perlawanan bertemu Justin Gaethje di acara UFC 254.

Khabib mengakui yang beliau tidak akan mampu meneruskan kariernya dalam dunia sukan MMA, tanpa ayahnya di tepi gelanggang.

McGregor yang pernah tewas kepada Khabib di acara UFC 229 pada tahun 2018 lalu, telah mencetuskan kontroversi dengan menghina arwah ayah petarung Rusia itu bulan lalu.

Khabib awalnya menulis di laman twitter miliknya:

“Kebaikan akan selalu menewaskan kejahatan”

Beliau menujukan status tersebut pada Dustin Poirier yang ketika itu baru sahaja menewaskan Conor McGregor di acara UFC 264 di Las Vegas.

McGregor ketika itu langsung tidak peduli dengan status tersebut, namun beberapa minggu kemudian, beliau telah memuat naik status yang mencetuskan kontroversi.

“Covid kebaikan dan ayah kejahatan.”

Beliau mungkin merasakan ia sekadar menganjing semula kenyataan dari Khabib, namun ketika beliau melibatkan individu yang sudah meninggal dunia, perbuatan itu dianggap sudah melampau.

Ramai yang mengecam McGregor pada ketika itu hingga beliau kemudiannya memadam semula muat naik tersebut dan terus mendiamkan diri berkait hal itu sehingga ke hari ini.

Bercakap ketika dalam temu bual bersama Mike Tyson di Hotboxin, Khabib mendedahkan yang hanya orang jahat sahaja yang akan menyasarkan ayah, isteri, anak atau agama seseorang.

Petarung Rusia yang kini berusia 32 tahun itu turut membahaskan tentang sikap McGregor yang sering memadam setiap status kontroversi yang beliau muat naik.

“Ketika dia bercakap tentang ini, hanya kejahatan sahaja yang akan bercakap tentang ayah kamu, seperti isteri, anak, agama.”

Jelas Khabib.

“Jika kamu manusia biasa, kamu tak akan pernah bercakap tentang hal seperti itu. Bagi saya, saya rasa dia memuat naik status itu ketika dia sedang terlalu mabuk atau ketika dia baru melakukan sesuatu. Dia juga selalu memadam status dia.”

“Ketika dia kembali menjadi normal, dia akan tengok semula telefon dia, ‘oh, apa saya sudah buat’. Lepas tu dia padam. Ini pendapat saya, apa yang selalu dia buat sebelum ini.”

Menurut MMA Fighting, Khabib sebelum ini pernah mendedahkan tentang insiden yang mana McGregor menumbuk seorang lelaki tua di sebuah pub di Dublin.

The Eagle menganggap hal tersebut menunjukan bagaimana hati McGregor sebenarnya.

“Ketika seseorang tidak bersama kita, dia bahkan sudah meninggal dunia, ini menunjukkan apa yang sebenarnya ada dalam diri kamu, ini menunjukkan betapa kotornya hati kamu.”

“Ketika kamu menjadi salah seorang yang terbaik di dunia, dan kamu datang, kamu tumbuk seseorang yang sudah berusia 70 tahun, ini menunjukkan bagaimana hati kamu. Ia menunjukkan siapa diri kamu yang sebenarnya.”

“Ketika kamu mempunyai orang tua dan kamu ada anak, bagaimana kamu nak tunjukan diri kamu yang seperti ini? Saya tak faham mengapa orang-orang terdekat dia tak beritahu dia apa yang dia buat salah.”

McGregor baru-baru ini turut mencetuskan kontroversi selepas beliau memuat naik video yang menunjukkan dirinya sedang menghisap curut.

Namun sayangnya, beliau ketika itu bercakap dalam bahasa yang tak ada siapa pun faham, jadi ramai yang percaya tembakau beliau hisap tu bukan tembakau cina atau tembakau jawa, tetapi ia adalah tembakau ketenangan.

McGregor sedang bertenang

Peminat turut berharap agar pihak UFC atau ‘Team Notorious’ tidak memandang mudah masalah tersebut dan segera memberi bantuan kepada McGregor sekiranya beliau perlu.

BACA:  UFC 264: McGregor Terkulai Ketika Rambut Poirier Masih Segak