Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong merupakan legenda beregu emas badminton Malaysia.
Gandingan Koo dan Tan pernah memenangi pelbagai kejuaraan sepanjang karier mereka beraksi bersama.
Selain memenangi kejohanan peringkat Asia, gandingan Koo dan Tan juga pernah menjadi regu no.1 dunia BWF satu ketika dahulu.
Pasangan regu ini mula digandingkan pada tahun 2006 oleh jurulatih dari Indonesia, Rexy Manaiki.
Mereka berdua asalnya bukan gandingan regu tetapi digandingkan kerana Rexy yakin bahawa kedua-dua pemain itu mempunyai potensi untuk menjadi gandingan yang hebat.
Gandingan Koo dan Tan sememangnya regu yang sempurna. Mereka saling melengkapi antara satu sama lain ketika beraksi.
Koo memiliki kehebatan dan ketangkasan dalam bertahan yang sangat hebat. Beliau mempunyai refleks yang sangat baik.
Manakala Tan Boon Heong pula pemain yang lebih kepada menyerang. Beliau memiliki smash yang sangat hebat.
Kehebatan smash milik Tan Boon Heong diiktiraf oleh Guinness World Record sebagai pemain yang memiliki smash terpantas dengan catatan 421 km/j.
Tiada siapa menduga Koo dan Tan bakal memenangi pingat emas di Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar dalam acara regu badminton.
Mereka ketika itu baru sahaja digandingkan dan sudah berjaya membawa pulang pingat emas. Sebelum itu, gandingan Koo dan Tan juga berjaya muncul Juara dalam kejohanan Terbuka Jepun.Gandingan Koo dan Tan berjaya menewaskan regu dari Korea Selatan, Jae Jin dan Hwang Ji Man di peringkat suku akhir.
Masuk peringkat separuh akhir, mereka ketika itu terpaksa berhadapan dengan gandingan regu pilihan utama kejohanan Cai Yun dan Fu Haifeng.
Gandingan regu legenda China itu dikejutkan oleh gandingan muda Malaysia, Koo dan Tan dengan straight set 21-9 dan 21-19.
Gandingan Koo dan Tan meneruskan kecemerlangan mereka ketika itu dengan menewaskan regu handalan Indonesia, Markis Kido dan Hendra Setiawan di peringkat akhir juga dengan keputusan straight set.
Dengan kemenangan itu, gandingan Koo dan Tan mula menjadi perhatian dan menerima liputan meluas dari media seluruh dunia.
Rakyat Malaysia juga berasa bangga dan kagum dengan kehebatan dan kejayaan regu muda negara itu.
Setahun kemudian, mereka membuka tirai tahun 2007 dengan memenangi kejohanan terbuka Denmark. Tahun tersebut juga merupakan tahun terbaik untuk gandingan regu itu.
Mereka ketika itu berjaya mencuri tumpuan sekali lagi, namun bukanlah kerana menjuarai Terbuka Denmark, tetapi kerana aksi mereka kelihatan lebih matang dari sebelumnya.
Gandingan Koo dan Tan ketika itu menewaskan semua lawan mereka dengan cara cukup luar biasa. Mereka menyerang dengan pantas dan bertahan dengan cukup kental.
Kehebatan mereka terbukti ketika itu dengan memenangi banyak perlawanan dengan mudah dan boleh dikatakan setiap perlawanan gandingan Koo dan Tan akan memenanginya dengan straight set.
Antara kejayaan terbaik mereka pada ketika itu adalah, gandingan Koo dan Tan berjaya menjuarai kejohanan All England 2007.
Mereka digandingkan tidak sampai setahun tetapi sudah memenangi dua kejohanan besar dalam dunia badminton seperti All England dan Sukan Asia.
Lawan mereka ketika itu bukanlah lawan biasa-biasa atau gandingan baru seperti mereka, sebaliknya mereka mengalahkan legenda regu yang hebat seperti Cai Yun dan Fu Haifeng.
Kali terakhir gandingan regu Malaysia memenangi kejohanan All England adalah pada 25 tahun sebelum itu menerusi gandingan dua beradik Razif dan Jalani sidek pada tahun 1982.
Mereka berdua masih berusia remaja ketika menjuarai kejohanan All England dengan Koo baru berusia 22 tahun dan Tan Boon Heong pula berusia 20 tahun.
Selain menjuarai All England, gandingan Koo dan Tan juga berjaya menjuarai beberapa siri super lain termasuk Terbuka Filipina, Terbuka Swiss dan banyak lagi.
Dengan kejayaan mereka mudah menewaskan Fu Haifeng dan Cai Yun, kebanyakkan peminat badminton tempatan memasang impian untuk melihat gandingan Koo dan Tan menamatkan kemarau pingat emas Malaysia dalam temasya Olimpik.
Namun sayangnya gandingan Koo dan Tan gagal untuk memenangi pingat emas sukan Olimpik Beijing pada tahun 2008.
Hal itu mungkin kerana di Malaysia, media cetak dan media elektronik memberikan perhatian yang sangat kuat kepada mereka. Jadi mereka agak tertekan dengan pengharapan yang diberikan.
Selepas tewas kepada regu Indonesia dalam temasya Olimpik, Koo dan Tan tidak berputus asa dan berjanji akan bangkit. Semangat mereka mendapat pujian dan sokongan dari peminat di Malaysia.
Menurut Koo dan Tan, mereka ketika itu masih muda dan mempunyai lebih banyak peluang untuk menebus kehampaan serta menjadikan kegagalan itu sebagai pengalaman untuk terus maju.
Tetapi, kenyataannya, kegagalan itu adalah titik awal kejatuhan karier mereka. Nama Koo dan Tan tidak lagi mendapat perhatian dari media dan peminat.
Gandingan Koo dan Tan mengalami kemarau kejuaraan yang berpanjangan. Mereka sepertinya tidak mampu untuk bangkit daripada kekalahan tersebut.
Mereka gagal memenangi sebarang kejuaraan bermula tahun 2007 hingga 2011.
Pencapaian terbaik yang mereka lakukan hanyalah berjaya untuk melepaskan dendam terhadap Markis dan Hendra dengan menewaskan regu Indonesia itu di peringkat suku akhir Terbuka Hong Kong 2008.
Rexy mula mendedahkan bahawa punca kegagalan regu Koo dan Tan adalah berpunca dari sikap mereka yang besar kepala.
Hubungan antara Koo Kien Keat dan Rexy Manaiki semakin rapuh. Ramai peminat badminton ketika itu masih mengharapkan mereka terus bersama dan kembali menyerlah di persada dunia badminton.
Rexy pula sepertinya tidak mahu bersama gandingan regu itu lagi kerana menurutnya, kedua-dua mereka mahu menjadi ketua dalam gelanggang dan tidak mahu mengalah antara satu sama lain.
Itulah yang membuatkan mereka bermasalah dan hilang keyakinan serta gagal untuk mendapatkan prestasi terbaik.
Walaupun gandingan Koo dan Tan gagal untuk mendapatkan semula rentak cemerlang bersama, apa yang mereka lakukan ketika prestasi kemuncak pada tahun 2006 dan 2007 dianggap satu fenomena.
Gandingan Koo dan Tan mempunyai mentaliti dan semangat yang luar biasa. Mereka mampu untuk mematahkan serangan lawan dan mengasak mereka bertubi-tubi hingga berjaya memenangi perlawanan.
Walaupun Koo dan Tan menikmati karier yang cemerlang dalam waktu yang singkat. Tiada siapa boleh menafikan bahawa mereka berdua antara legenda regu emas Malaysia.