Kisah Kebangkitan Robertson Pemain Buangan Dan Pokai Jadi Wira Kebanggaan Scotland

Bintang handalan Scotland dan Liverpool, Andy Robertson sedang menikmati karier yang sungguh luar biasa menakjubkan pada ketika ini.

Beliau merupakan adiwira yang membantu Liverpool memenangi gelaran liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun pada musim 2019/20.

Beliau juga merupakan nadi penting dalam membantu Liverpool memenangi pelbagai kejuaraan sebelum ini seperti Champions League, Super Cup dan FIFA Club World Cup.

Di pentas antarabangsa pula, Robbo telah dilantik menjadi ketua pasukan Scotland, dan beliau berjaya membawa skuad kebangsaannya untuk beraksi dalam saingan Euro 2020.

Bintang berusia 27 tahun itu memulakan karier awalnya bersama Queen’s Park di Scotland, dan beliau pada ketika itu menganggap kehidupannya sampah.

Robbo mengeluh dengan keadaan beliau sendiri ketika itu dengan menganggap dirinya tidak berguna dan hidup miskin, pokai kerana susah mencari makan di tanah kelahiran sendiri.

Awal perubahan karier Robertson

Pada Julai 2013, beliau telah menyertai Dundee United menerusi perjanjian perpindahan secara percuma.

Beliau pada ketika itu berjaya memenangi anugerah SPFA Young Player of The Year dan berjaya diserap masuk untuk sertai skuad kebangsaan Scotland.

Musim pertamanya bersama Dundee United, Robbo telah menunjukkan keinginan dan semangat yang dahagakan kejayaan.

Beliau kemudiannya ditandatangani oleh Hull City dengan nilai £3 juta dan turut mempamerkan aksi cemerlang di sana hingga berjaya menarik minat Liverpool untuk menandatanganinya.

Kini, beliau merupakan salah seorang pemain terpenting dalam skuad Liverpool, beliau juga sudah bergelar ketua pasukan Scotland yang paling disegani.

Beliau dikenali sebagai seorang pemain full-back terhebat dunia dengan larian pantasnya, tenaga kuda padinya yang tak pernah kenal erti penat, hantaran silang beliau, corak permainannya dan kehebatan beliau yang cemerlang bermain di sebelah sayap padang.

Ketika ketibaan beliau di Anfield pada Julai 2017, tiada siapa yang menyangka Robertson akan menjadi salah seorang pemain full-back terhebat dunia ketika ini.

Kehidupan awal yang sampah

Robbo dilahirkan di Glasgow dan beliau merupakan salah seorang peminat tegar pasukan Celtic, ayahnya, Brian adalah individu yang memperkenalkan dunia bola sepak kepadanya.

Ayah beliau merupakan salah seorang pemain bola sepak di peringkat amatur, namun terpaksa bersara kerana mengalami masalah kecederaan tulang belakang.

Bekas pemain bola sepak seperti Charlie Nicholas dan Jim Duffy merupakan saudara Robbo dan beliau sering didedahkan tentang legasi bola sepak dari mereka, lalu menyebabkan beliau bertekad untuk mencipta legasinya sendiri.

Walau bagaimanapun, ia sepertinya tidak akan jadi kenyataan memandangkan beliau yang ketika itu menyertai skuad akademi Celtic telah dilepaskan oleh pihak kelab.

Celtic melepaskan Robertson ketika beliau masih berusia 15 tahun kerana menganggap tubuhnya terlalu kecil untuk bermain bola sepak.

Beliau kemudian menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap pelajaran dan menghabiskan persekolahan di St Ninian High School di Giffnock, Timur Renfrewshire.

Robbo pada ketika itu menamatkan persekolahannya dengan gred yang sangat baik dan melayakan beliau untuk melanjutkan pelajarannya ke peringkat Ijazah di Universiti.

Robertson ketika itu terpilih untuk bermain bersama Queen’s Park dan di masa beliau mula memikirkan untuk memberi tumpuan pada pelajarannya, pihak kelab memanggil beliau untuk melakukan aksi debutnya.

Dalam musim pertama beliau bersama pasukan yang bermain di division ketiga liga Scotland itu, Robbo telah membuat 43 penampilan dalam semua pertandingan.

Namun begitu, kehidupan beliau tidak seindah yang disangka dengan Robbo telah memilih jalan bola sepak berbanding pelajarannya.

Perlukan pekerjaan

Walaupun beliau ketika itu sudah mendapat tempat dalam karier bola sepaknya, Robertson masih meluahkan keinginan beliau untuk mencari pekerjaan.

Kalau dilihat sekarang beliau mampu memperoleh pendapatan bernilai £2.6 juta setahun, kembali ke tahun 2012, beliau hidup miskin dan pokai.

Ketika beliau berusia 18 tahun, yang mana ketika itu darahnya masih panas, Robbo berminat untuk mencuba segalanya, namun begitu masalah kewangan sering mengganggu dan melemahkan semangatnya.

Beliau sempat memuat naik status di laman twitter miliknya, dengan menyatakan:

“Hidup di usia ini sangat sampah tanpa duit. #perlukanpekerjaan.”

Robbo pada ketika itu hanya menerima upah yang cukup untuk beliau gunakan sebagai tambang setiap hari, yang dibayar oleh pihak Queen’s Park.

Beliau pada ketika itu juga turut membuat keje sambilan dengan bekerja di kilang Marks and Spencer di Glasgow, dan turut bekerja di Hampden Park untuk Scottish FA.

Robertson bahkan ketika bekerja di bawah Scottish FA beliau pernah jadi pemandu pelancong kepada legenda Man City, Vincent Kompany.

“Saya pernah sekali menunjukkan pada Vincent Kompany di mana tempat duduk dia.”

Jelas Robertson kepada The Guardian.

“Scotland ketika itu beraksi bertemu Belgium dan saya ketika itu diarahkan untuk menunjukkan kepada Kompany yang pada ketika itu sedang cedera, di mana tempat untuk beliau duduk.”

Robertson bahkan sempat bekerja sebagai promoter pakaian dalam wanita di M&S pada ketika itu untuk mencari duit tambahan.

“Saya sedang bekerja di M&S. Kawan-kawan saya semua dapat potongan harga, dan mereka semua sangat gembira. Saya ketika itu berusia sekitar 17 ke 18 tahun.”

“Saya sebenarnya turut pernah beberapa kali diarahkan untuk menjaga bahagian pakaian dalam wanita. Mereka kekurangan pekerja pada ketika itu, dan saya terpaksa mengisi kekosongan yang ada. Saya bercakap entah apa-apa sambil berharap mereka akan beli.”

Selepas mempamerkan kecemerlangan bersama Queen’s Park pada ketika itu dalam saingan division ketiga liga Scotland, Robertson telah ditandatangani oleh pasukan dari Scottish Premiership, Dundee United.

Dek kerana itu, Robbo tidak perlu mencari kerja tambahan lagi untuk mendapatkan duit poket kerana beliau sudah bergaji ketika beraksi bersama Dundee United.

Musim yang gemilang

Robbo pada ketika itu beraksi di bawah kendalian Jackie McNamara, seorang pemain full-back legenda yang pernah beraksi bersama kelab kanak-kanak Robertson, Celtic.

Andy Robertson jelas gembira beraksi di bawah kendalian Mcnamara dan beliau pada ketika itu mula menunjukkan peningkatan dalam aksinya.

Beliau dengan segera telah mendapat kepercayaan dan terus diserap masuk beraksi bersama skuad utama oleh pengurus yang percaya dengan kemampuannya itu.

Dan beliau memanfaatkan kepercayaan itu dengan menjaringkan gol yang sungguh cantik ketika bertemu Motherwell, kurang sebulan selepas diserap masuk menyertai skuad utama.

Robbo ketika menjaringkan gol itu, beliau membawa bola dari kawasannya sendiri, berlari pantas masuk ke kawasan lawan, dan melepaskan rembatan kaki kiri yang padu untuk menewaskan penjaga gol.

Bersama skuad utama, Robertson beraksi sebanyak 44 perlawanan dalam semua pertandingan, dengan beliau turut berjaya menjaringkan lima gol dan menjadi pemain kesayangan peminat.

Beliau ketika itu telah dianugerahkan dengan anugerah SPFA Young Player Of The Year pada tahun 2014 dan turut tercalon dalam senarai PFA Scotland Team Of The Year.

Robertson pada ketika itu juga telah dipanggil oleh pengurus, Gordon Strachan, untuk melakukan debutnya bersama skuad kebangsaan Scotland dalam aksi perlawanan persahabatan bertemu Poland.

Selepas perlawanan, Strachan telah memberikan pujian yang menggunung ke atas Robertson dengan menyatakan:

“Andy tidak henti berlari dan pertama kali dia menyerang, dia membawa lari bola dari jarak 30 ela.”

“Saya fikir itu sangat menakjubkan. Sungguh sukar untuk dipercayai, saya bangga kerana pilih dia. Saya sangat suka dengan sentuhan pertama dia.”

Langkah awal ke england

Pada musim panas 2014, Dundee United telah menerima tawaran bernilai £2.85 juta dari Hulls City yang beraksi dalam saingan premier league untuk mendapatkan Robertson.

Ironinya, takdir sememangnya mengarahkan beliau untuk ke England, ia kerana Robbo bukanlah pilihan utama skuad yang sebenarnya pada ketika itu.

Ketua scouting team Hulls, Stan Ternent sebenarnya sudah berminat untuk menandatangani pemain lain sebelum beliau terpegun dengan kehebatan Robertson.

“Saya sedang melihat perkembangan Stuart Armstrong (kini beraksi bersama Southampton) tapi saya nampak Robertson sungguh gila.. Dia ada sejarah dengan Celtic dan dia mempunyai semangat yang luar biasa tentang bagaimana dia bangkit dari kejatuhan dia sebelum ini.”

Jelas Ternent.

“Kamu boleh nampak dengan jelas kemampuan dan kebolehan dia yang sentiasa bertambah baik.”

Robertson ketika itu berjaya memenangi anugerah pemain terbaik bulanan kelab pada bulan pertamanya bersama Hulls City.

Beliau berjaya membuat 24 penampilan pada musim pertamanya, namun gagal untuk membantu Hulls dari tersingkir ke saingan Championship.

Kebanyakan pemain pada ketika itu pergi meninggalkan kelab, namun Robbo menunjukkan kesetiaan beliau dengan kekal bersama Hulls dalam saingan Championship.

Beliau berjaya membantu kelab untuk kembali semula ke saingan Premier League pada tahun 2016 selepas beraksi cemerlang dalam saingan Championship.

Pemain picisan yang tak dipandang tinggi

Robbo kemudiannya telah ditandatangani oleh Liverpool pada tahun 2017 dengan yuran perpindahan bernilai £8 juta selepas skuadnya kembali tersingkir ke saingan Championship.

Beliau ditandatangani oleh Liverpool dengan tujuan sebagai pemain back up kepada Alberto Moreno.

Menyertai pasukan besar dan ternama seperti Liverpool tentunya memberi tekanan kepada Robertson, dan beliau tentunya akan tidak dipandang kerana datang dari pasukan yang tersingkir.

Ramai peminat pada ketika itu menganggap Liverpool menandatangani Robertson kerana terdesak dan sekadar cukup syarat.

Peminat turut mengkritik nilai £8 juta yang Liverpool bayar kepada Hull City untuk mendapatkan pemain yang bermain bersama kelab yang baru sahaja tersingkir ke saingan Championship.

Ketika Moreno dibelenggu masalah kecederaan, Robertson telah diberikan peluang untuk bermain, dan beliau telah membuktikan kemampuan sebenarnya bermain di posisi full-back Liverpool.

Hari demi hari Robertson terus diberi kepercayaan untuk beraksi sebagai kesebelasan utama dan menyebabkan Moreno hilang tempat.

Robbo berjaya merampas tempat tersebut dari Moreno bahkan beliau telah mempamerkan tahap persembahan yang jauh lebih baik berbanding bintang Sepanyol itu.

Beliau sememangnya jenis pemain yang dicari oleh Jurgen Klopp dan hasilnya Robbo menjadi salah seorang pemain terpenting dalam sistem kendalian pengurus dari Jerman itu.

Beliau berjaya membantu Liverpool memenangi pelbagai kejuaraan seperti Champions League, Super Cup, FIFA Club World Cup dan terbaru gelaran Premier League.

Robbo ketika ini dianggap sebagai salah seorang full-back terhebat dunia dan menjadi pemain terbaik untuk kelab, mahupun skuad kebangsaannya, Scotland.

Beliau boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi yang sempurna dengan melihat kepada perjalanan kariernya, dari seorang yang miskin, pokai, kini sudah bergelar jutawan dan bintang terhandal dunia.

Keazaman dan usahanya yang tidak pernah mengalah, berjaya membawa Robertson berada di mana beliau berada sekarang.

Dari seorang pekerja dalam stadium, Robertson ketika ini merupakan ketua pasukan untuk skuad kebangsaan Scotland. Beliau adalah pemain kebanggaan negaranya atas kejayaan yang telah dicapai.

Begitulah kisah Robertson dari seorang remaja sampah yang pokai, menjadi jutawan dan bintang terhebat dunia.

BACA:  Robertson Harap Isu Kontrak Salah Diselesaikan Dengan Segera