Thiago Bergurau Persoal Mengapa Robertson Dapat Anugerah Pemain Terbaik

Thiago Alcantara sambil bergurau mempersoalkan mengapa Andy Robertson dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, sedangkan beliau mencatatkan ‘dua’ assists dalam perlawanan tersebut.

Thiago Alcantara dan Andy Robertson masing-masing muncul sebagai nadi penting Liverpool ketika kejayaan anak-anak buah Jurgen Klopp itu menewaskan Arsenal 2-0 awal pagi tadi.

Kemenangan itu secara tak langsung membantu Liverpool untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu saingan Premier League, Manchester City.

Pada aksi babak kedua, pemain midfield Liverpool itu memainkan peranan penting dalam membantu Liverpool untuk memperoleh gol pendahuluan.

Beliau cemerlang mencatatkan assists untuk gol jaringan Diogo Jota, dengan Thiago Alcantara bijak melorongkan bola cantik ke arah kotak penalti Arsenal untuk mencari bintang Portugal itu.

Andy Robertson sementara itu berjaya mencatatkan assists untuk gol kedua Liverpool yang dijaringkan oleh Roberto Firmino.

Liverpool walau bagaimanapun sangat bernasib baik kerana tidak dibolosi terlebih dahulu dengan Thiago Alcantara melakukan kesilapan dungu yang hampir menyebabkan gawang golnya dibolosi.

Kesilapan beliau telah membenarkan Arsenal untuk membuka tirai jaringan dengan beliau tersilap memberi bola kepada Alexandre Lacazette ketika mahu menghantar bola kepada Alisson Becker.

Mujur saja penjaga gol Liverpool itu beraksi sangat cemerlang dan mampu menafikan percubaan merbahaya dari bintang Perancis itu.

Mujur juga Liverpool berjaya menjaringkan dua gol pada aksi babak kedua permainan, untuk mengesahkan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Pemain kebangsaan Scotland itu telah dinamakan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan ini dengan Thiago sempat bergurau merasakan beliau lebih berhak untuk memenangi anugerah tersebut.

Beliau juga bergurau kononnya beliau mencatatkan dua assists satu assists untuk gol jaringan Diogo Jota dan satu lagi assist kepada Alexandre Lacazette.

Bercakap tentang perebutan kejuaraan liga musim ini, Robertson memilih untuk ada di posisi Man City, namun tetap menegaskan yang mereka perlu lebih beri perhatian kepada diri sendiri pada ketika ini.

“Saya tak suka baki perlawanan di tangan, saya lebih memilih ada kelebihan mata. Saya lebih mahu berada di posisi Man City sekarang.”

Jelas Robertson.

“Mereka satu mata di hadapan. Mereka merupakan pasukan yang hebat, antara pasukan terhebat dunia. Sekarang masa untuk pecut ke garisan penamat.”

“Kita sekarang dalam perlumbaan jadi kita perlu beri perhatian atas apa yang sedang kita lakukan. Kita masih perlu pergi ke tempat mereka.”

“Kita masih ada perlawanan penting hujung minggu ini, kesempatan untuk pergi ke Wembley. Tapi jika kita terus menang, kita akan sampai di sana, waktu itu akan tiba.”

Thiago kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Kami sangat berharap Manchester City akan keciciran mata dan mereka buat. Jarak sekarang satu mata tapi kami mahu lihat ke depan, kami akan bertemu Nottingham Forest dan itu saja.”

“Kami hanya mahu cuba untuk menang baki perlawanan yang kita ada. Kita perlu analisis perlawanan ini untuk kenal pasti segala kesilapan kami dan kemudian terus maju ke depan. Itulah kunci dia. Kekal merendah diri dan dahagakan kejayaan.”

Liverpool pada ketika ini hanya satu mata sahaja dibelakang Man City dengan kini hanya ada baki sembilan perlawanan sahaja untuk dimainkan.

Perlawanan tumpuan musim ini sudah tentu aksi Liverpool bertemu Man City di Etihad nanti kerana ia bakal jadi penentu siapa yang bakal menjuarai saingan Premier League musim ini.

Selain Premier League, Liverpool pada musim ini dalam usaha mereka untuk mencipta sejarah baru dengan mereka mahu memenangi semua Piala yang boleh dimenangi.

Mereka sudah menjulang gelaran Carabao Cup, dan Liverpool kini sedang dalam usaha untuk menjulang gelaran Champions League serta Piala FA.

Sudah tentu mereka juga turut menyasarkan gelaran Premier League dan aksi bertemu Manchester City nanti bakal jadi penentu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Pemain Liverpool Sendiri Terpukau Melihat Kehebatan Gol Jaringan Thiago Alcantara