Thiago Alcantara Pamer Aksi Masterclass Bantu Liverpool ‘Ganyang’ Man Utd

Aksi bertemu Manchester United awal pagi tadi merupakan persembahan terbaik Thiago Alcantara sepanjang kariernya bersama Liverpool.

Beliau turut dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam perlawanan yang dilangsungkan di Anfield itu dengan Thiago cemerlang membantu Liverpool membelasah setan merah 4-0.

Gandingan beliau bersama Fabinho di bahagian midfield jelas sekali terlalu sukar untuk ditandingi oleh para pemain Manchester United dengan Thiago benar-benar dominan dalam perlawanan pada hari ini.

Beliau turut mencatatkan statistik yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan ini dan melihat kepada statistik tersebut, jelas sekali beliau layak dinobatkan sebagai pemain terbaik.

Thiago Alcantara berjaya melakukan 129 sentuhan, 105/110 (96%) hantaran tepat, 3 key passes, memenangi 7 perebutan bola, 6 hantaran jauh sempurna, 3 gelecekan sempurna, mencipta 3 peluang, 3 tackle sempurna dan 2 pintasan.

Sejak musim 2003/04, hanya empat pemain yang mampu melengkapkan lebih 100 hantaran dalam satu perlawanan di EPL ketika bertemu Manchester United.

Dari empat pemain itu, dua darinya berjaya mencipta rekod itu dalam perlawanan hari ini dengan Thiago Alcantara (105 hantaran) dan Virgil Van Dijk (106 hantaran).

Ketika Thiago Alcantara diturunkan dalam kesebelasan utama Liverpool dalam saingan Premier League musim ini, skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih belum mencatatkan sebarang kekalahan.

Dari 14 perlawanan, Liverpool berjaya memenangi 13 perlawanan, mencatatkan satu keputusan seri dengan mereka turut berjaya menjaringkan 41 gol dan hanya bolos empat gol sahaja.

Bercakap selepas tamat aksi kemenangan 4-0 menewaskan Man Utd, Jurgen Klopp telah menghamburkan pujian menggunung kepada Thiago Alcantara atas aksi hebat yang beliau persembahkan.

“Boleh tahan kan? Dia seorang pemain berkelas dunia. Dia boleh beri ancaman cukup bahaya tidak kira ketika memegang bola atau tidak.”

Jelas Jurgen Klopp.

“Thiago bermain perlawanan yang bagus. Jadi dari sudut pandangan kami, tak ada hal yang boleh dikeluhkan.”

“Dia tak mahu keluar, dia mahu kekal di atas padang, saya suka keinginan yang dia tunjukkan. Dia bermain dengan sangat bagus. Counter pressing dia mainkan benar-benar gila. Dia ada pakej lengkap. Saya benar-benar kagumi dia.”

“Dia jelas sekali seorang pemain yang sungguh luar biasa menakjubkan. Kami perlu pastikan dia boleh kekalkan rythm dan dia boleh lebih kerap bermain selepas ini.”

Liverpool 4-0 Manchester United

Liverpool berjaya membuka tirai jaringan mereka seawal minit ke-5 permainan menerusi Luis Diaz hasil umpanan dari Mohamed Salah.

Hasil dari satu serangan pantas, Mohamed Salah tenang melorongkan bola cantik mencari Luis Diaz dari sudut sebelah sayap.

Diaz cemerlang memastikan bola hantaran Mo Salah itu berakhir dalam jaring gawang gol lawan untuk Liverpool mendahului Man Utd 1-0.

Pada minit ke-22, Liverpool berjaya menggandakan kedudukan menerusi Mohamed Salah yang cemerlang memanfaatkan bola umpanan Sadio Mane.

Bintang Senegal itu menghantar bola cantik ke dalam kotak penalti mencari Salah yang kemudiannya cemerlang menewaskan David De Gea untuk Liverpool mendahului 2-0.

Pada minit ke-68 Liverpool berjaya memperoleh gol ketiga mereka dalam perlawanan ini menerusi Sadio Mane yang menyempurnakan hantaran dari Luis Diaz.

Hasil satu serangan pantas yang mengejut, Robertson menghantar bola kepada Diaz yang kemudiannya melorongkan bola ke tengah mencari Sadio Mane.

Mane memanfaatkan bola umpanan Luis Diaz dengan memastikan bola menerjah jaring gawang gol De Gea, seterusnya membantu Liverpool mendahului 3-0.

Minit ke-84 Liverpool berjaya memperoleh gol keempat mereka sekali lagi menerusi Mohamed Salah yang menyempurnakan hantaran dari Diogo Jota.

Sebaik mengesan ada ruang untuk Mo Salah masuk, Jota segera menghantar bola ke dalam kotak penalti untuk mencari pemain kebangsaan Mesir itu.

Salah berjaya mendapatkan bola tersebut sebelum memastikan bola berakhir dalam gawang gol De Gea untuk memastikan Liverpool mendahului 4-0.

Kemenangan 4-0 ini membantu Liverpool untuk berada di puncak saingan Premier League mengatasi Man City dengan kelebihan dua mata.

Kedudukan tersebut walau bagaimanapun bakal berubah andai Man City berjaya menewaskan Brighton dalam pertembungan mereka selepas ini.

Manchester United sementara itu semakin jauh dipisahkan dari kelompok empat teratas dan mereka berpotensi untuk terlepas slot ke kejohanan Eropah pada musim hadapan.

BACA:  Premier League 2019/20: Crystal Palace 0-2 Manchester United