“Kami Dirompak”- Penyokong City Anggap Thiago Dan Fabinho Sepatutnya Dilayangkan Kad Merah

Para peminat jelas sekali tidak percaya melihat pengadil perlawanan tidak melayangkan kad merah kepada Fabinho dan Thiago Alcantara ketika aksi terikat 2-2 Liverpool bertemu Man City awal pagi tadi.

Rata-rata penyokong Man City merasakan mereka telah dizalimi oleh pengadil perlawanan dan percaya Liverpool sepatutnya bermain dengan 9 orang pemain sahaja dalam perlawanan ini.

Terdapat terlalu banyak perdebatan dan kisah menarik yang dikongsikan menjelang aksi perlawanan yang dianggap terbesar dalam saingan Premier League musim ini.

Jamie Carragher bahkan turut menganggap perlawanan yang menemukan Manchester City dan Liverpool ini sebagai aksi perseteruan terhebat dalam sejarah bola sepak Inggeris.

Penyokong Liverpool juga tidak gembira melihat Anthony Taylor dipilih menjadi pengadil dalam perlawanan tersebut apa lagi memikirkan beliau berasal dari Manchester.

Anthony Taylor sepertinya berjaya mengendalikan perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri 2-2 itu dengan sangat baik.

Walau bagaimanapun, ada dua isu yang paling hangat diperdebatkan dari perlawanan ini dengan penyokong Man City percaya Fabinho dan Thiago Alcantara sepatutnya dilayangkan kad merah.

Pada minit ke-82 permainan, Fabinho telah melakukan terjahan keras ke atas Bernardo Silva dan beliau hanya dilayangkan kad kuning sahaja untuk kekasaran itu.

Tidak lama selepas itu, Thiago Silva pula berjaya terselamat dari menerima layangan kad kuning kedua selepas beliau dilihat melakukan kekasaran melampau ke atas Kevin De Bruyne.

Lebih parah lagi, penyokong Man City bengang kerana Anthony Taylor bukan hanya tak melayangkan kad kuning kedua, beliau bahkan langsung tak memberikan foul untuk kesalahan itu.

“Fabinho dan Thiago Alcantara sepatutnya sudah dilayangkan kad merah dan mereka tak patut bermain hingga tamat 90 minit.”

“Man City dirompak, Liverpool sepatutnya menerima dua kad merah, mereka selalu mengeluh jika keputusan tak berpihak kepada mereka, tapi dalam situasi seperti ini, mereka diam tanpa berbicara apa-apa.”

“Apa logiknya Fabinho dan Thiago tak dilayangkan kad merah? Adakah kekasaran mereka itu biasa-biasa sahaja?”

“Mereka kata Taylor akan berat sebelah kerana dia berasal dari Manchester, tapi apa saya nampak sebaliknya yang berlaku. Kalau bukan kerana Taylor mereka sudah tewas.”

“Saya speechless, macam mana boleh tak ada kad merah untuk kedua-dua mereka? Memang tak masuk akal. FA harus siasat Anthony Taylor.”

Penyokong Manchester City turut mengimbau semula aksi pertemuan mereka di Anfield sebelum ini dengan perlawanan tersebut turut berkesudahan dengan keputusan 2-2.

Mereka percaya Liverpool dalam perlawanan itu selayaknya dihukum dengan kad merah dan mereka bernasib baik masih mampu kekalkan semua 11 pemain sehingga tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu, James Milner sudah memiliki kad kuning dan beliau kemudiannya melakukan satu lagi kekasaran yang mana kekasaran itu boleh menyebabkan beliau dilayangkan kad kuning kedua.

Pengadil perlawanan walau bagaimanapun tidak melayangkan kad kuning kedua kepada James Milner dan membenarkan pemain veteran itu untuk beraksi hingga tamat 90 minit.

Liverpool dan Man City pamer aksi yang sungguh menghiburkan

Manchester City dan Liverpool telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan di Etihad awal pagi tadi, dengan kedua-dua pasukan mencatatkan keputusan seri 2-2.

Kedua-dua pasukan menyajikan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menghiburkan dan jelas sekali para peminat berpuas hati menonton perlawanan tersebut.

Anak-anak buah Pep Guardiola dan Jurgen Klopp sekali lagi mempamerkan aksi serang menyerang sepanjang 90 minit perlawanan dan turut sekali lagi mencatatkan keputusan seri pada musim ini.

Kevin De Bruyne membuka tirai jaringan untuk Man City pada minit ke-5 permainan selepas bola rembatan beliau terbias terkena Matip sebelum menerjah jaring gawang gol The Reds.

Pasukan pelawat walau bagaimanapun tidak menunggu lama dengan mereka kemudiannya berjaya memadam gol pendahuluan tersebut menerusi Diogo Jota.

Jota cemerlang menyempurnakan hantaran dari Trent Alexander Arnold untuk mengubah kedudukan menjadi 1-1.

Gabriel Jesus kemudiannya meletakkan Manchester City kembali di hadapan selepas beliau bijak melepaskan diri dari perangkap offside seterusnya menewaskan Alisson Becker untuk City mendahului 2-1.

Sebaik bermula aksi babak kedua, Liverpool kembali menyamakan kedudukan selepas Sadio Mane cemerlang menyempurnakan hantaran dari Mohamed Salah untuk Liverpool mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Raheem Sterling kemudiannya berpesta selepas kejayaan beliau menjaringkan gol ketiga untuk Man City, namun malangnya gol jaringan beliau itu dibatalkan oleh pengadil perlawanan kerana beliau berada di kedudukan offside.

Keputusan seri secara tak langsung memberi kelebihan kepada Man City untuk lebih berpotensi muncul sebagai Juara kerana mereka kini memiliki kelebihan satu mata berbanding Liverpool.

Berbaki tujuh perlawanan, laluan Liverpool sepertinya lebih sukar berbanding Man City dengan anak-anak buah Jurgen Klopp itu selepas ini perlu berdepan Man Utd dan Tottenham Hotspur.

Man City sementara itu memiliki laluan yang lebih mudah dengan kesemua baki tujuh perlawanan mereka merupakan pasukan di luar ‘Big Six’.

Walau bagaimanapun juga, mengikut rekod, Man City sebelum ini kerap keciciran mata ketika bertemu pasukan pertengahan dan bawahan liga, dan kerana itulah Liverpool sebenarnya masih ada harapan untuk memintas mereka.

Jurgen Klopp masih lagi berpotensi untuk membantu Liverpool memenangi gelaran quadruple musim ini dengan beliau masih berada di landasan terbaik untuk melakukan hal itu.

Mereka selepas ini akan turun beraksi bertemu Benfica dalam saingan Champions League dengan The Reds akan turun beraksi di Anfield dengan memiliki kelebihan dua gol.

Mereka sepertinya tidak akan berdepan masalah untuk menyingkirkan Benfica seterusnya melayakan diri beraksi di peringkat separuh akhir.

Selepas aksi bertemu Benfica, Liverpool akan kembali bertemu Manchester City dan kali ini kedua-dua pasukan akan bertemu di peringkat separuh akhir dalam saingan FA Cup.

Manchester City: Ederson, Walker, Stones, Laporte, Cancelo, Silva, Rodri, De Bruyne, Jesus (Grealish 83), Sterling (Mahrez 75), Foden

Pemain simpanan: Ake, Gundogan, Zinchenko, Steffen, Fernandinho, McAtee, Lavia

Penjaring: De Bruyne 5, Jesus 36

Kad kuning: Silva

Pengurus: Pep Guardiola

Liverpool: Alisson, Alexander-Arnold, Matip, van Dijk, Robertson, Henderson (Keita 78), Fabinho, Thiago, Salah, Jota (Diaz 70), Mane (Firmino 84)

Pemain simpanan: Konate, Milner, Gomez, Jones, Tsimikas, Kelleher

Penjaring: Jota 13, Mane 46

Kad kuning: Robertson, Thiago, Fabinho, van Dijk

Pengurus: Jurgen Klopp

Sumber: SPORTbible

BACA:  Rodri Pamer Aksi Hadangan Yang Sungguh Luar Biasa Menakjubkan