Duo Terhebat Dunia: Thiago Alcantara Dan Fabinho Nadi Sebalik Kejayaan Liverpool

Mungkin ramai penyokong Liverpool menganggap The Reds semakin tajam pada musim ini kerana pemain seperti Mo Salah, Sadio Mane dan Diogo Jota sedang dalam prestasi terbaik mereka.

Tidak dinafikan sememangnya gandingan mereka bertiga banyak membantu Liverpool dari segi jaringan gol, dengan gabungan trio itu berjaya mencipta 28 gol untuk Liverpool sepanjang musim ini.

Ketiga-tiga mereka sedang berada dalam senarai pemain yang sedang merebut gelaran kasut emas pada ketika ini dengan Salah berada di kedudukan pertama selepas meledak 13 gol.

Jota pada ketika ini sudah berjaya menjaringkan lapan gol, sementara Sadio Mane pada musim ini sudah berjaya menjaringkan tujuh gol untuk Liverpool dalam saingan Premier League.

Mo Salah jelas sekali sedang dalam rentak persembahan terbaiknya pada ketika ini, dengan beliau sentiasa menyumbang gol atau assists dalam hampir 90% perlawanan Liverpool musim ini.

Walau bagaimanapun, para peminat tidak boleh terlepas pandang gandingan Thiago Alcantara dan Fabinho di posisi midfield, dengan kedua-dua mereka merupakan nadi utama The Reds pada ketika ini.

Liverpool mencatatkan rekod bersih tanpa kalah ketika kedua-dua mereka digandingkan di posisi midfield, dan The Reds juga akan lebih dominan seandainya dua pemain ini bermain bersama.

Thiago dan Fabinho sudah bergandingan sebanyak 15 kali, dengan mereka berjaya membantu Liverpool mencatatkan 14 kemenangan serta satu keputusan seri.

Gandingan mereka berdua juga berjaya membantu Liverpool menjaringkan 40 gol dari 15 perlawanan itu, dan The Reds hanya mencatatkan lima bolos sahaja ketika kedua-dua mereka berada di atas padang.

Thiago dan Fabinho mudah bina keserasian

Bukan kerana sama-sama botak jadi mereka mudah untuk bergandingan, namun sebenarnya corak permainan yang diamalkan yang menyebabkan mereka berjaya membentuk gandingan yang sempurna.

Antara tujuan utama mengapa Liverpool menandatangani Thiago Alcantara adalah kerana taktikal yang digunakan oleh mereka memerlukan pemain seperti Thiago untuk digandingkan bersama Fabinho dan Henderson.

Hal ini ternyata sangat berkesan dan ia jelas terbukti mereka sememangnya gandingan yang sangat sempurna dan tidak keterlaluan untuk menganggap Thiago dan Fabinho merupakan duo midfield terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Ketika awal-awal Thiago ditandatangani, beliau sering diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan, dan Fabinho pula pada ketika itu kerap bermain sebagai pemain centre-back kerana ramai pemain utama terpaksa diketepikan.

Pada hujung-hujung musim lalu, Liverpool berjaya mencatatkan rekod bersih tanpa kalah yang membantu mereka untuk layak ke saingan Champions League pada musim ini.

Mereka pada ketika itu turut bergantung kepada gandingan Fabinho dan Thiago memandangkan posisi centre-back dimainkan oleh Nat Phillips dan Ozan Kabak.

Corak permainan Thiago dan Fabinho

Kedua-dua mereka sememangnya gandingan yang sempurna kerana memiliki corak permainan yang hampir sama dan saling melengkapi.

Kedua-dua mereka dominan di bahagian tengah dan mereka memiliki kualiti yang sangat tinggi dalam mematahkan serangan dari pasukan lawan.

Tackle kemas, pintasan, hadangan, memenangi duels, membuat hantaran, build up dan membantu menjaringkan gol merupakan kelebihan untuk kedua-dua pemain ini.

Mereka mungkin tidak terlibat secara langsung dengan gol-gol yang berjaya Liverpool jaringkan, namun boleh dikatakan 85% gol jaringan The Reds pada musim ini adalah hasil build up dan hantaran cantik dari kedua-dua mereka.

Memiliki Fabinho di tengah padang seumpama Liverpool sudah ada dua centre-back di hadapan Virgil Van Dijk dan Matip dengan pemain pasukan lawan terlalu sukar untuk melepasi bintang Brazil itu.

Beliau sememangnya masalah besar untuk jentera serangan lawan hadapi, dan seandainya berjaya dilepasi, Van Dijk serta Matip/Konate sudah menanti di belakang.

Jadi ia jelas membuktikan yang Fabinho sangat membantu barisan pertahanan Liverpool, sementara Thiago pula kerap memulakan gerakan dalam membantu jentera serangan.

Tiada sesiapa mampu menafikan fakta yang bintang Sepanyol itu memiliki kualiti hantaran yang sungguh luar biasa menakjubkan, dan beliau juga memiliki kualiti penyudah yang perlu di beri perhatian oleh pemain pertahanan lawan.

Beliau juga sering mengasak pemain lawan ketika mereka melancarkan serangan, dengan Thiago akan terlebih dahulu membuat pintasan, sebelum pemain lawan berdepan dengan Fabinho.

Sering berlaku juga, ketika Thiago berada jauh dari bola, beliau akan melepaskan Fabinho untuk masuk dahulu, dan beliau akan membantu dari belakang.

Keserasian antara Thiago dan Fabinho

Keserasian antara kedua-dua pemain ini sudah tidak boleh dipertikaikan lagi, dengan mereka dilihat benar-benar selesa dapat beraksi bersama.

Agak merugikan jika Liverpool gagal untuk memenangi piala selepas memiliki duo midfield yang dianggap terhebat dalam dunia bola sepak hari ini.

Gandingan mereka perlu diberi perhatian dan tidak akan mengejutkan sama sekali seandainya kedua-dua mereka terus fit, Liverpool menjadi pencabar utama City untuk merebut kejuaraan Premier League.

Sumber: Liverpool Data Analyst

BACA:  Trio Brazilian Liverpool Tak Gembira Dengan Keputusan Brazil Menggantung Pemain