Miliki Jiwa Fighter: Robertson Tak Goyang Berdepan Dengan Siapa Pun

Pemain kesayangan Liverpool, Andy Robertson telah lama memenangi hati para penyokong atas segala sumbangan beliau sejak ditandatangani oleh kelab.

Komitmen, semangat cintakan kelab, kesungguhan, peningkatan atas aksi, dan segala yang beliau lakukan meletakkan Robertson sebagai antara calon legenda yang akan terus dikenang oleh peminat.

Pemain left-back itu menyertai Liverpool dari Hull City dengan yuran perpindahan bernilai £8 juta sahaja pada tahun 2017 yang lalu.

Beliau kemudiannya berjaya menjadi antara pemain terpenting dalam sistem kendalian Jurgen Klopp, dan mengukuhkan kedudukan beliau sebagai antara full-back terhebat dalam saingan Premier League.

Beliau juga memainkan peranan yang cukup penting sebalik kejayaan Liverpool beberapa musim kebelakangan ini.

Ketika beraksi di atas padang, tidak kira Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi, beliau langsung tak pernah peduli dan langsung tak goyang.

Robbo antara pemain Liverpool yang paling lantang dan memiliki reputasi sebagai abang long Anfield memandangkan beliau akan sentiasa ke depan andai ada insiden panas di padang.

Tak kira siapa pemain lawan yang mencari pasal, Robertson akan terus ke depan dan berdepan dengan mereka tanpa melihat betapa tinggi darjat mereka dalam dunia bola sepak.

Ketika Liverpool membelasah Manchester United 5-0 kemarin, telah berlaku satu insiden yang mana Cristiano Ronaldo koyak lalu menyepak perut Curtis Jones sebanyak tiga kali.

Robertson merupakan individu pertama yang sampai untuk mempertahankan rakan sepasukannya, dengan beliau terus memaki hamun Cristiano Ronaldo, sambil Van Dijk menolak bintang Portugal itu dengan bahunya.

Fernandes yang dianggap pemain paling bekeng juga kena tempeleng dan dihumban oleh Robertson sebelum pemain-pemain lain sampai untuk meleraikan keadaan.

Robbo kemudiannya meninggalkan Bruno dan Fred kepada Ibrahima Konate yang turut menunjukkan kehebatan fizikalnya.

Fred cuba menolak Konate namun usaha beliau hanya sia-sia kerana pertahanan Liverpool itu tidak bergerak sama sekali, bahkan beliau yang terpelanting kena hayun.

Andy Robertson yang kini berusia 27 tahun turut pernah menunjal kepala Lionel Messi ketika aksi comeback paling epik Liverpool menewaskan Barcelona pada tahun 2019.

Liverpool ketinggalan 3-0 ketika aksi di Nou Camp dan mereka berjaya comeback mencatatkan kemenangan 4-0 ketika beraksi di Anfield.

Liverpool pada ketika itu berjaya mara ke perlawanan akhir, seterusnya menewaskan Tottenham di final untuk mengesahkan kemenangan Champions League keenam mereka.

Ketika aksi peringkat separuh akhir, Robbo mengawal bintang Argentina itu sepanjang perlawanan, dan telah berlaku satu insiden di hadapan kotak penalti Liverpool, beliau tempeleng kepala Messi.

Lionel Messi telah dijatuhkan oleh pemain midfield Liverpool, Fabinho dan sebelum beliau sempat bangun, Robbo terlebih dahulu menunjal kepalanya lalu pergi.

Tidak lama selepas itu kedua-dua mereka terlibat dalam satu perdebatan panas, dengan ketua pasukan Liverpool, Jordan Henderson meleraikan keadaan.

Namun selepas itu, Divock Origi berjaya meledak gol, dan Liverpool berjaya merobek gawang Barca sebanyak empat kali untuk mengesahkan tempat ke aksi perlawanan akhir.

Walau bagaimanapun, Robertson sebenarnya rasa berdosa dengan perbuatan beliau itu, dan menegaskan yang perlawanan itu satu-satunya yang beliau tak gembira menontonnya.

“Saya ada kenang semula detik bersama Messi dan saya menyesal. Saya tak suka tonton babak itu. Saya ada cuba tengok, kemudian saya rasa bersalah.”

“Kami semua pada ketika itu ada matlamat yang tiada apa yang boleh menghalang laluan kami untuk ke perlawanan akhir dan kami cipta atmosphere itu di stadium. Saya dan Fabinho tackle dia dan kami semua jatuh. Dan melakukan hal itu kepada salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman…”

“Saya tak ada rasa lain selain menghormati dia dan Barcelona, tapi memang kami turun dalam perlawanan itu dengan kami ketinggalan 3-0, jadi kami perlukan keajaiban, kami perlukan sesuatu yang istimewa termasuk melakukan hal sekecil itu yang boleh menghentikan pemain terhebat sepanjang zaman untuk bermain di tahap terbaiknya.”

“Tapi saya tetap menyesal. Itu bukan saya sebagai individu. Itu bukan peribadi saya. Tapi malam itu, macam-macam perkara berlaku dan sukar untuk diingati.”

Namun begitu, beliau mungkin tidak akan meminta maaf atas apa yang berlaku antara beliau dengan Ronaldo kerana sikap koyak bintang Portugal itu memang layak dimaki.

BACA:  Kali Terakhir Lionel Messi Menjejakkan Kaki Di Old Trafford