Klausa Aneh Dalam Kontrak Van der Vaart Ketika Kariernya Bersama Betis

Rafael van der Vaart pernah memiliki klausa paling aneh dalam kontraknya ketika beraksi bersama Real Betis sebelum ini.

Beliau akan menerima €114,429 seandainya beliau memilih untuk tak beraksi dengan menggunakan boots berwarna merah.

Van der Vaart sangat dikenali ketika kariernya bersama Real Madrid dan Tottenham Hotspur dengan beliau turut menjadi wira kelabnya walau hanya beraksi selama dua tahun di sana.

Selepas meninggalkan kelab dari London itu, beliau kemudiannya kembali ke Hamburg dan kemudian pada tahun 2015 beliau memilih untuk menyertai Real Betis yang ketika itu baru sahaja dapat promotion naik ke saingan La Liga.

Ia jelas sekali satu keputusan yang bijak dan mengagumkan dari Real Betis kerana berjaya mendapatkan pemain berkualiti seperti Van der Vaart secara percuma sahaja.

Pemain kebangsaan Belanda itu menandatangani kontrak yang sungguh luar biasa lumayan namun ada klausa aneh dalam kontraknya itu.

Menurut sumber laporan theversed.com, pemain midfield itu diharamkan dari memakai boots berwarna merah dan telah menerima 14 pembayaran secara berasingan kerana mengikuti peraturan tersebut.

Beliau dikatakan menerima €1,602,006 hanya kerana bersetuju untuk tidak beraksi dengan memakai boots berwarna merah.

Laporan tersebut turut mendakwa yang alasan mengapa Real Betis meletakkan klausa tersebut dalam kontraknya adalah kerana perseteruan Betis dengan Sevilla.

Warna merah lebih sinonim dengan Sevilla dan kerana Van der Vaart sememangnya kerap menukar bootsnya, maka pihak kelab rasa mereka patut meletakkan klausa tersebut.

Kontrak aneh pemain midfield itu bukanlah pertama kali berlaku dalam dunia bola sepak, dengan Ronaldinho pernah menandatangani kontrak bersama Flamengo pada tahun 2011 kerana ada klausa kelab malam dalam kontraknya.

Ya klausa kelab malam, yang mana beliau akan dibenarkan untuk pergi ke kelab malam sebanyak 2 kali seminggu ketika kariernya bersama Flamengo.

Kepulangan semula Van der Vaart ke bumi Sepanyol berjalan tak seperti yang diharapkan dengan beliau akhirnya hanya membuat tujuh penampilan sahaja untuk Betis.

Beliau kemudiannya berpindah ke Denmark pada tahun 2016 untuk beraksi bersama FC Midtjylland.

Selepas dua musim beraksi bersama gergasi Denmark itu, yang mana beliau hanya membuat 20 penampilan sahaja, Van der Vaart memutuskan untuk beraksi bersama seteru utama Midtjylland, Esbjerb FB pada tahun 2018.

Beliau menikmati kehidupan selesa di sana memandangkan isterinya, Estavana Polman bermain bola baling bersama skuad Esbjerg di kawasan yang sama dengannya.

Beliau walau bagaimanapun hanya beraksi beberapa perlawanan sahaja di sana sebelum bersara terus dari dunia bola sepak.

Beliau kini lebih kerap bertugas sebagai pundit, dan tidak boleh dinafikan yang Van der Vaart sememangnya gemar untuk mengkritik.

Bekas pemain yang kini berusia 39 tahun itu merupakan antara pundit paling kejam dalam dunia bola sepak, dan lihat sahaja bagaimana beliau memaki hamun Harry Maguire seandainya bintang England itu melakukan kesilapan.

Bukan sekadar mengkritik, tapi Van der Vaart lebih kepada memaki hamun tanpa belas dan menghentam Maguire tanpa sedikit pun rasa kasihan.

Beliau pernah menggelar Maguire sampah, beliau juga pernah menegaskan yang pemain seteruk Maguire sebenarnya terlalu mudah untuk ditemui di liga kecil di Belanda.

Kerana itulah setiap kali Maguire melakukan kesilapan, para peminat sudah tentu menunggu ulasan dari Van der Vaart untuk tahu apa lagi yang mahu beliau katakan.

Van der Vaart turut mengkritik Lionel Messi pada awal musim lalu, dengan menganggap pemenang tujuh kali anugerah Ballon D’or itu sepatutnya malu sendiri dengan persembahan yang dipersembahkan bersama PSG.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ramalan Angkuh Van der Vaart, Belanda Menang Mudah 3-0 vs Argentina