Reaksi Menakjubkan Van Der Vaart Ketika Werner Disamakan Dengan RVP

Rafael Van der Vaart jelas tak gembira ketika mendengar Timo Werner disamakan dengan bekas rakan sepasukannya, Robin Van Persie.

Beliau bahkan turut mahu pulang sahaja seandainya hal seperti itu dibahaskan sekali lagi dan ia menunjukkan yang Van der Vaart sangat menghormati rakan senegaranya itu.

Timo Werner meledak dua gol dan turut mencatat satu assists ketika membantu Chelsea mengikat Zenit Saint Petersburg 3-3 awal pagi tadi.

Gol pertama beliau dalam perlawanan ini terhasil hanya selepas dua minit sahaja aksi terakhir dalam saingan peringkat kumpulan H itu dimulakan.

Beliau kemudiannya mencatatkan assists untuk gol yang dijaringkan oleh Romelu Lukaku pada aksi babak kedua permainan, untuk mengikat kedudukan menjadi 2-2.

Beliau mengatur larian dengan sangat sempurna untuk masuk ke dalam kotak penalti, dan turut menunjukkan kualiti penyudah yang sungguh menakjubkan untuk gol kedua peribadinya dalam perlawanan ini.

Di studio Ziggo Sport, ada individu yang menyamakan gol itu sama persis seperti gaya ala Van Persie.

Walau bagaimanapun, bekas bintang Tottenham Hotspur, Van der Vaart yang pernah bertahun-tahun menjadi rakan sepasukan Van Persie di pentas bola sepak antarabangsa, tidak gembira mendengar kenyataan itu.

Beliau benar-benar mengugut rakan penyampainya yang beliau akan pulang saja ke rumah seandainya ada yang berani menyamakan Timo Werner dengan bekas rakan sepasukannya itu.

Hal ini kerana beliau tidak mahu rakan senegaranya itu disamakan dengan Timo Werner yang sering mempamerkan aksi dungu sejak dari awal ditandatangani oleh Chelsea.

Van der Vaart sememangnya seorang yang agak lantang dan sering mengeluarkan kritikan luar biasa pedas ketika mengulas sesebuah perlawanan.

Beliau pernah teruk memaki hamun dan menghina Harry Maguire sebelum ini, tidak kira ketika bekas bintang Leicester City itu beraksi bersama Man United mahupun skuad kebangsaan England.

Boleh dikatakan hampir setiap perlawanan yang melibatkan Harry Maguire, Van der Vaart sudah menyediakan ucapan memaki yang panjang lebar untuk diluahkan.

Beliau turut pernah menganggap yang pemain liga kampung di Belanda lebih hebat jika hendak dibandingkan dengan Harry Maguire yang ditandatangani dengan nilai £80 juta.

Beliau bahkan turut pernah menghentam teruk Lionel Messi sebelum ini atas aksi hambar yang dipamerkan ketika beraksi bersama skuad Paris Saint Germain.

Hanya Van der Vaart sahaja yang konsisten membantai Messi sejak dari awal bintang Argentina itu beraksi bersama Paris Saint Germain sehingga ke hari ini.

Jadi tidak akan mengejutkan untuk melihat reaksi beliau seperti itu ketika Werner di samakan dengan Van Persie.

Werner pada musim ini sekali lagi bergelut untuk menemui sentuhan jaringannya, namun beliau dilihat begitu tajam ketika beraksi di Saint Petersburg.

Beliau berjaya mencipta gandingan yang sungguh luar biasa menakjubkan bersama Romelu Lukaku untuk terus memberi ancaman kepada gawang gol lawan.

The Blues walau bagaimanapun gagal untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan ini selepas Magomed Ozodyevs meledak gol penyamaan pada minit ke-94 permainan.

Chelsea akan layak ke pusingan 16 terbaik sebagai naib juara, selepas Juventus mengesahkan kedudukan mereka sebagai juara kumpulan dengan menewaskan Malmo 1-0.

Mara sebagai runners up, juara bertahan saingan Champions League musim lalu itu bakal berdepan laluan sukar dengan mereka berpotensi untuk bertemu Real Madrid, Ajax, Bayern Munich atau Lille di pusingan 16 terbaik nanti.

Tidak kira siapa lawan mereka selepas ini, skuad The Blues optimis mereka mampu pergi lebih jauh dalam saingan Champions League pada musim ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Isu Perpindahan Timo Werner Yang Merumitkan