Werner Bingung Mengapa Penyokong Masih Menyokong Beliau Walau Aksinya Hambar

Timo Werner berdepan kesukaran sepanjang 18 bulan beliau bersama Chelsea, dan jelas sekali penyerang skuad kebangsaan Jerman itu bergelut untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya.

Walau bagaimanapun, Werner mendedahkan yang beliau sebenarnya sangat tersentuh apabila melihat para penyokong masih memberi sokongan penuh kepadanya, walaupun beliau tidak berada di tahap terbaiknya.

Werner melengkapkan perpindahan menyertai Chelsea dengan yuran perpindahan bernilai £47.5 juta pada Jun 2020, selepas The Blues bersetuju untuk membayar klausa perlepasan beliau kepada RB Leipzig.

Beliau memiliki reputasi sebagai pemain penyerang yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika kariernya dalam saingan Bundesliga sebelum ini.

Ketika musim terakhir beliau beraksi dalam saingan Bundesliga, Timo Werner berjaya menjaringkan 24 gol dari 38 penampilan sepanjang kempen tersebut.

Walau bagaimanapun, semuanya tidak berjalan seperti yang diharapkan oleh beliau, kelab dan para peminat sejak dari awal beliau ditandatangani.

Timo Werner memiliki rekod terlalu kerap mensia-siakan peluang keemasan untuk menjaringkan gol dan kualiti penyudah beliau dilihat sangat tumpul sepanjang kariernya di Stamford Bridge.

Beliau hanya mampu menjaringkan enam gol sahaja sepanjang musim lalu, dan menyebabkan ada segelintir peminat yang meminta kepada pihak kelab supaya melepaskan saja beliau pada musim panas lalu.

Bahkan ada peminat pernah secara terang-terangan menyuruh kelab menjual Werner dengan bercakap di hadapan bintang Jerman itu sendiri ketika sesi latihan terbuka.

Walaupun ada peminat yang menghentam dan mengkritik beliau dengan teruk, tidak dinafikan masih ramai sebenarnya yang menyokong dan terus memberi semangat kepada beliau.

Bahkan pemain berusia 25 tahun itu sendiri turut terkejut memikirkan mengapa para peminat masih memberi sokongan penuh kepadanya, walau beliau tidak berada di tahap persembahan terbaiknya.

“Kadang kala saya tak tahu mengapa mereka terlalu menyokong saya.”

Jelas Werner kepada Lynsey Hooper.

“Saya seorang penyerang dan saya mahu jaringkan gol, tapi saya selalu lepaskan peluang.”

Werner sememangnya sering dikritik kerana tidak memiliki penyudah yang tajam ketika kariernya di England, dan beliau sendiri turut kecewa kerana banyak gol yang beliau jaringkan dinafikan oleh VAR.

Rafael Van der Vaart baru-baru ini dengan kejam dan tak berhati perut telah teruk menghentam Timo Werner dan menegaskan supaya tiada sesiapa yang berani-beraninya membandingkan bintang Jerman itu dengan Robin Van Persie.

Beliau merasakan yang Werner terlalu dungu untuk dibandingkan dengan legenda Manchester United yang dianggap sebagai antara penyerang terhebat sepanjang zaman.

Selain segala kritikan tersebut, Werner mendedahkan yang segala sokongan yang beliau terima dari penyokong Chelsea sebenarnya menjadikan beliau lebih kuat walau nasib kebiasaannya tidak memihak kepadanya.

“Ia menjadikan saya sangat seronok dapat bermain di hadapan penyokong Chelsea, terutama atas sokongan yang mereka berikan kepada saya.”

“Ia menjadikan saya lebih kuat ketika saya terlepas peluang atau melalui detik sukar.”

“Saya cuba untuk berikan yang terbaik, 100 peratus untuk memastikan skuad gembira.”

Werner bukanlah satu-satunya pemain penyerang yang sedang bergelut dengan masalah prestasi di Stamford Bridge pada ketika ini.

Romelu Lukaku juga turut sama sedang bergelut dengan masalah prestasi pada ketika ini, dan turut sedang menjadi antara pemain paling dibenci oleh peminat.

Pemain kebangsaan Belgium itu baru-baru ini telah mencetus sensasi di internet selepas beliau mengeluarkan kenyataan ultimate dungu dengan menghentam pengurus serta meluahkan keinginan beliau untuk kembali sertai bekas kelabnya.

Beliau teruk dihentam oleh para peminat kerana mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan hati dan perasaan para penyokong kelab.

Minggu lalu, beliau turut dihentam teruk oleh pengurus kelab, Thomas Tuchel selepas kekalahan 1-0 mereka di tangan Manchester City.

Hari ini, Chelsea sekali lagi keciciran mata selepas mereka hanya mampu terikat 1-1 bertemu Brighton dalam aksi saingan Premier League.

Keputusan seri itu menyebabkan mereka semakin keciciran mata dengan The Blues kini satu mata dibelakang Liverpool yang berada di kedudukan kedua, dengan skuad kendalian Jurgen Klopp itu masih memiliki kelebihan dua perlawanan yang belum dimainkan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Penyokong Chelsea Suruh Timo Werner Berambus Dari Kelab Ketika Sesi Latihan Terbuka