Akhirnya Romelu Lukaku Kembali Ke Chelsea Untuk Selesaikan Masalah Timo Werner

Penyerang Inter Milan, Romelu Lukaku dijadualkan menjalani pemeriksaan perubatan di Belgium pada hari ini (Ahad) menjelang pra-perpindahannya yang bernilai €115 juta ke Chelsea. Selepas itu Lukaku, 28 perlu tiba di London dalam tempoh 24 jam.

Pada hari Sabtu, menurut sumber dari the Athletic melaporkan Chelsea telah bersetuju dengan perjanjian bernilai £97.9 juta (€115 juta) untuk membawa semula Lukaku ke Stamford Brigde.

Pemain antarabangsa Belgium itu, pernah berada di Stamford Bridge pada tahun 2011-14. Lukaku dijangka menandatangani kontrak lima tahun yang bernilai sekitar £10 juta hingga £11 juta setahun.

Ia bermakna gaji mingguannya sekitar £195,000 seminggu. Bayaran tersebut adalah selepas cukai dan ini akan menjadikannya penerima gaji tertinggi di Stamford Bridge.

Pada Jumaat lepas Chelsea cuba memberi pemain mereka dalam perjanjian untuk mendapatkan Lukaku dengan harapan harga tunai tidak terlalu tinggi. Namun Inter hanya berminat meraih wang, sekurang-kurangnya £100 juta jika mereka memutuskan menjual Lukaku.

Chelsea bertekad untuk menyelesaikan rundingan pada hujung minggu ini bagi memastikan Lukaku mempunyai masa yang cukup sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula dan akhirnya kata putus berjaya dicapai.

Kedua-dua pihak gembira dengan bagaimana rundingan tersebut telah berjalan. Chelsea berjaya mengekalkan yuran di bawah £100 juta, sementara Inter Milan akan menerima jumlah wang tunai yang dimahukannya.

Difahamkan, Manchester United juga berhak mendapatkan sekitar £3.3 juta dari perjanjian itu kerana terdapat klausa ketika mereka menjual Lukaku ke Inter pada tahun 2019. Perjanjian itu berkaitan dengan peratusan (komisen) dari jumlah yuran penjualan.

Mengapa Lukaku tiba-tiba berminat untuk berpindah?

Sebelum ini Lukaku telah berulang kali mengatakan dirinya cukup gembira di Inter dan di Serie A, di mana dia merasa lebih dihargai berbanding di EPL. Malah pemergian Conte tidak pernah mengubah fikirannya.

Namun dia juga berkata sekiranya kembali ke EPL hanya ada 1 kelab yang mahu disertainya, iaitu Chelsea. Lukaku bermain hanya 15 kali untuk Chelsea antara 2011-14 selepas tiba dari Anderlecht dengan harga £18 juta.

Pada ketika itu impiannya adalah untuk mengikut jejak penyerang legenda kelab, Didier Drogba dan pemain ini merupakan idola terbesarnya.

Tidak akan ada keraguan tentang pantasnya Lukaku dapat menyesuaikan diri dengan EPL – dia merekod catatan 113 gol dalam 252 penampilan ketika bersama Chelsea, West Brom, Everton dan Man United.

Lukaku tidak akan menghadapi kesukaran seperti Timo Werner untuk menyesuaikan diri dengan EPL. Malah pemain ini sudah ‘masak’ dengan persekitaran di Chelsea.

Berkaitan Inter, walaupun sudah menjual Achraf Hakimi ke Paris Saint-Germain (PSG) dengan harga £50.9 juta, Inter masih mempunyai masalah dari segi kewangan.

Sehingga hari ini Oaktree Capital Management yang bersetuju untuk melabur £235 juta hanya memberikan sekitar satu perlima dari jumlah itu.

Peraturan gaji kekal menjadi masalah dan Inter perlu mengurangkan sebanyak 15-20% gaji pemain bagi memberi kestabilan kewangan kelab.

Inter mempunyai pilihan lain jika tidak mahu menjual Lukaku. Inter boleh melepaskan Lautaro Matinez, dimana pemain ini sedang menarik minat Arsenal. Bagaimanapun Inter tidak dapat melakukan penjimatkan besar kerana gaji Martinez tidak sebesar Lukaku.

Malahan Inter tidak akan mendapatkan banyak wang kerana harga Martinez kebih murah. Gaji Lukaku 3 kali lebih besar dari Martinez dan harga Lukaku 2 kali lebih mahal .

Pada ketika ini Lukaku sedang berada di puncak prestasi melalui persembahannya di Serie A musim lepas dan Belgium di EURO 2020, di mana dia tersenarai dalam pasukan terbaik kejohanan tersebut. Ia memberi isyarat potensi Lukaku sudah dipenuhi.

Sebelum ini Chelsea meletakkan Erling Haaland sebagai sasaran utamanya namun harga pemain itu terlalu mahal (lebih £200 juta) dan Chelsea kemudiannya beralih arah ke Lukaku.

Pada musim lepas Chelsea agak bergelut dengan pemain no.9 selepas Timo Werner gagal memenuhi jangkaan ramai.

BACA:  Premier League Siasat Chelsea Dakwaan Salur Dana Kepada Entiti Rahsia Rusia