Timo Werner Mengaku Lebih Gembira Bersama Skuad Jerman Berbanding Chelsea

Timo Werner mengakui yang beliau lebih selesa beraksi bersama skuad kebangsaan Jerman berbanding bersama Chelsea.

Beliau merasakan corak permainan yang diterapkan oleh Hansi Flick lebih sesuai dengannya berbanding apa yang diterapkan oleh Thomas Tuchel di Stamford Bridge.

Timo Werner dan rakan sepasukannya dari Chelsea, Kai Havertz muncul penjaring gol untuk bantu Jerman menewaskan jiran Palestin, 2-0 awal pagi kemarin.

Bekas pemain RB Leipzig itu ketika ini sudah berjaya menjaringkan 22 gol dari 48 penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman.

Dalam saingan Premier League pada musim ini pula, Werner hanya mampu menjaringkan satu gol sahaja dari 14 penampilan.

Beliau juga sebenarnya sangat bergelut untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama Chelsea dan lebih kerap memanaskan bangku simpanan sahaja.

Dengan masalah kecederaan dan pernah positif C0V-19, beliau hanya sempat membuat lapan penampilan sahaja dalam kesebelasan utama dan sebaik selepas menjaringkan gol untuk Jerman, Werner tampil memberi pandangan jujurnya terhadap situasi beliau pada ketika ini.

Dalam temu bual tersebut, Werner mendedahkan yang beliau lebih selesa beraksi di bawah kendalian Hansi Flick dan skuad kebangsaan Jerman berbanding Chelsea.

“Saya seorang penyerang dan saya sentiasa mahu menjaringkan gol.”

Jelas Werner dalam temu bual selepas tamat perlawanan.

“Semua tidak berjalan seperti yang saya harapkan di Chelsea, namun semua berjalan dengan sangat baik di sini di bawah Hansi Flick.”

“Saya sangat menikmati bermain bola sepak, tak kira di mana saya bermain. Ada perbezaan ketara dari segi corak permainan ketika di Chelsea dan di sini.”

“Mungkin mereka yang ada di skuad kebangsaan lebih serasi dengan saya. Di sini, saya selalu dapat kesempatan untuk menjaringkan gol, saya boleh jaringkan gol. Saya sangat selesa di sini.”

Timo Werner belajar dengan Lukaku ke membanding-bandingkan pasukan ni?

Walau bagaimanapun, pendedahan dan luahan Timo Werner tidaklah seteruk apa yang dilakukan oleh Romelu Lukaku, ketika beliau membuka aib Chelsea kepada Sky Italia pada Disember lalu.

Lukaku bukan hanya mendedahkan bahawa beliau tak gembira, beliau bahkan turut mengkritik corak permainan Thomas Tuchel.

Beliau menganggap yang Thomas Tuchel tak pandai menggunakan kelebihan fizikal dan kekuatan yang beliau miliki.

Lebih teruk lagi, Romelu Lukaku turut mendedahkan hasratnya yang mahu kembali ke Inter Milan, sedangkan beliau baru sahaja menandatangani kontrak mega bersama Chelsea.

Beliau teruk dihentam oleh para penyokong dan Chelsea sendiri jelas sekali tak gembira dengan apa yang beliau lakukan itu.

Lukaku ketika itu berdepan hukuman denda dan turut diketepikan dari skuad utama selama beberapa perlawanan.

Selepas meminta maaf, Lukaku akhirnya kembali mendapat tempat dan kerap diturunkan dalam kesebelasan utama The Blues.

Timo Werner menandatangani kontrak selama lima tahun bersama Chelsea pada tahun 2020 yang lalu, selepas The Blues mengaktifkan klausa perlepasan bernilai £47.5 juta dalam kontraknya.

Beliau berjaya menjaringkan 19 gol dari 80 penampilan dan beliau turut sempat menikmati pelbagai kejuaraan bersama Chelsea pada ketika ini.

Melihat kepada kemampuan dan kualiti yang beliau tunjukkan ketika kariernya dalam saingan Bundesliga, rekod tersebut sepertinya agak teruk untuk Timo Werner.

Chelsea berminat untuk mendapatkan khidmatnya kerana melihat kualiti dan ketajaman penyudah beliau dan The Blues jelas sekali mempunyai masalah di bahagian tersebut.

Kehadiran Timo Werner diharapkan akan mampu menyelesaikan masalah tersebut, namun malangnya bintang Jerman itu gagal untuk bersinar.

Dan atas alasan itulah Chelsea terpaksa mengeluarkan dana yang besar untuk kembali mendapatkan khidmat Romelu Lukaku dari Inter Milan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Werner Bingung Mengapa Penyokong Masih Menyokong Beliau Walau Aksinya Hambar