Isu Perpindahan Timo Werner Yang Merumitkan

Timo Werner sejak kebelakangan ini sering dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool dan rumours berkaitan beliau dengan the Reds menjadi perhatian ramai.

Timo Werner musim ini sudah berjaya menjaringkan 30 gol dan mencatatkan 12 assist untuk pasukan RB Leipzig. Beliau juga dilaporkan telah berhubung dengan pengurus pasukan Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini.

Klopp turut mendedahkan bahawa beliau sememangnya berminat untuk menandatangani pemain handalan Jerman itu.

Klopp perlu untuk mendapatkan seorang pemain yang beliau rasakan boleh menampung pemergian Mohamed Salah dan Sadio Mane apabila kedua-dua pemain itu akan beraksi di Piala Afrika tahun hadapan.

Setakat ini, Klopp merasakan hanya Timo Werner sahaja calon terbaik yang boleh memenuhi kehendak dan keperluannya untuk hadapi musim baharu nanti.

Sebelum ini juga, Timo Werner menyatakan beliau tidak terfikir tentang perpindahan ke Liverpool, ini kerana beliau tahu tidak ada jaminan untuk beliau mendapat minit permainan di sana.

Menurut Werner, Liverpool sudah memiliki gandingan trio yang luar biasa hebat jadi sukar untuk beliau mendapat tempat sebagai kesebelasan utama.

Namun, baru-baru ini, Timo Werner telah mendedahkan bahawa beliau berminat untuk sertai Liverpool dan bersedia untuk mencabar tempat sebagai pemain utama pasukan.

Liverpool juga dari awal sudah dikatakan menunjukkan minat untuk menandatangani pemain penyerang pasukan RB Leipzig itu.

Tetapi baru-baru ini Liverpool dilaporkan sudah mahu menarik diri daripada mendapatkan Timo Werner pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Hal ini kerana Liverpool sedang berdepan dengan impak kewangan yang agak teruk kerana penularan wabak Covid-19.

The Reds dilaporkan tidak dapat untuk komited kepada nilai klausa pelepasan Timo Werner yang bernilai €60 juta.

Situasi menjadi semakin menarik apabila Klopp sendiri sudah menghubungi pemilik kelab dan menyatakan beliau mahukan Timo Werner berada dalam pasukannya musim hadapan.

Werner sendiri juga mengakui bahawa beliau sangat mahu menyertai Liverpool dan berkerjasama dengan Jurgen Klopp.

Beliau juga menegaskan bahawa dirinya tidak berminat sama sekali untuk memikirkan tawaran dari mana-mana kelab selain dari Liverpool.

Keadaan menjadi lebih menarik apabila Pengarah Sukan Inter Milan, Piero Ausilio menyatakan beliau tidak akan membuang masa untuk memikirkan soal Timo Werner.

Inter Milan mula dikaitkan dengan Timo Werner selepas mendengar Liverpool telah menarik diri dari cuba untuk menandatangani pemain itu.

Ausilio sendiri sudah menggambarkan bahawa Timo Werner sudah menetapkan sasarannya untuk menyertai sebuah kelab sahaja.

Ramai yang yakin bahawa kelab yang dimaksudkan oleh Timo Werner itu adalah Liverpool.

“Tidak! Timo Werner tidak akan datang ke sini.”

Jelas Ausilio.

“Saya tahu apa yang berada di dalam fikirannya, saya tahu perancangan masa depannya. Dan kami tidak akan sama sekali menandatangani beliau.”

“Saya gemarkan beliau sebagai seorang pemain yang sangat berbakat. Tetapi kami tidak pernah langsung mengadakan apa-apa perbincangan untuk mendapatkan beliau.”

Liverpool sebenarnya masih berharap RB Leipzig akan mengurangkan harga pemain itu yang bakal memasuki tahun akhir kontraknya selepas ini.

Namun sehingga kini, RB Leipzig masih tetap tidak mahu melepaskan beliau dan hanya akan menjual pemain tersebut sekiranya Werner mengaktifkan sendiri klausa pelepasan yang ada dalam kontraknya.

BACA:  Gol Timo Werner Dalam Debut Berpunca Dari Hantaran Cantik Hakim Ziyech