Lampard Mahukan Dua Pemain Ini Jika Beliau Dilantik Menjadi Pengurus Everton

Frank Lampard sudah memutuskan dua penandatanganan awal yang mahu beliau lakukan seandainya beliau benar-benar dilantik menjadi pengurus Everton.

Bekas pengurus Chelsea itu pada ketika ini dilihat sebagai calon kegemaran untuk menggantikan Rafa Benitez sebagai pengurus The Toffees.

Everton masih gigih mencari pengurus baru kelab selepas mereka memecat Rafa Benitez dua minggu yang lalu, selepas aksi kekalahan bertemu Norwich City.

Bekas pemenang anugerah Ballon D’or, Fabio Cannavaro bersama legenda kelab, Wayne Rooney dan juga Victor Pereira merupakan antara nama yang dikaitkan bakal menjadi pengurus baru Everton.

Walau bagaimanapun, keputusan pimpinan kelab mahu melantik Pereira sebagai pengurus baru kelab telah mendatangkan rasa tidak senang para penyokong.

Namun begitu, sepertinya kini Frank Lampard adalah individu yang berkemungkinan akan mengambil alih Everton dan akan membantu kelab dari Merseyside itu untuk keluar dari zon penyingkiran.

Rundingan antara Lampard bersama pimpinan kelab sedang berlangsung pada ketika ini, dan beliau sepertinya sudah hampir pasti untuk menerima jawatan tersebut.

Walaupun legenda Chelsea itu masih belum diumumkan secara rasmi sebagai pengurus baru Everton, namun beliau sudah ada dua nama yang mahu beliau bawa ke Goodison Park.

Beliau memastikan masalah di posisi midfield akan dapat diselesaikan dalam usahanya mahu menyelamatkan The Toffees dari masuk ke zon penyingkiran.

Menurut laporan dari media UK, pengurus berusia 43 tahun itu mahu membawa Dele Alli ke Goodison Park dengan Fabrizio Romano turut mengesahkan yang Everton juga mahu berusaha mendapatkan Donny Van de Beek dari Man Utd.

Alli berdepan dengan kesukaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan beliau juga gagal untuk mendapat tempat dalam skuad utama Spurs.

Bermula dari era Jose Mourinho, hinggalah ke era Antonio Conte, Dele Alli sepertinya masih bergelut untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Spurs.

Musim ini, beliau hanya lapan kali sahaja diturunkan dalam kesebelasan utama dalam saingan Premier League dengan beliau turut dikaitkan bakal meninggalkan kelab bulan ini.

Newcastle United merupakan antara calon kegemaran yang dilaporkan bakal menandatangani Alli dengan Eddie Howe sangat berminat mahu mendapatkan khidmatnya bersama Jesse Lingard.

Walau bagaimanapun, Everton mungkin boleh sailang Alli dari seteru mereka di zon penyingkiran itu, terutama jika bintang Spurs itu ada keyakinan yang Lampard bakal membantu beliau untuk mendapatkan rentak persembahan terbaiknya.

Van de Beek seperti semua sedia maklum beliau masih lagi bergelut untuk mendapatkan minit permainan di Old Trafford.

Dari era Ole Gunnar Solskjaer hinggalah ke era Ralf Rangnick, Van de Beek masih lagi tidak diberi peluang untuk beraksi dan kerana itulah bintang Belanda itu memutuskan untuk pergi sahaja menyertai pasukan lain.

Tidak pasti dekat mana masalah sebenarnya, satu hal yang pasti, walau ramai pihak mengkritik, pengurus United tetap dengan pendirian mereka untuk menyimpan sahaja bekas bintang Ajax itu.

Selain Everton, Crystal Palace juga dilaporkan sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Donny Van de Beek, dan ia disokong kuat oleh bapa mertuanya, Dennis Bergkamp.

Melihat kepada situasi sekarang, Donny Van de Beek sepertinya akan memilih untuk ke Selhurst Park berbanding ke Goodison Park.

Lampard sementara itu sememangnya menjanjikan tempat dalam kesebelasan utama untuk Van de Beek seandainya beliau bersetuju untuk ke Everton.

Satu hal yang pasti, Van de Beek hanya akan dapat minit permainan yang diharapkan seandainya beliau memilih untuk meninggalkan Old Trafford.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Doucoure Diharamkan Selepas Bergaduh Dengan Lampard Di Bilik Persalinan