Dele Alli Pemain Berharga £90 Juta Kini Sekadar Dipinggiran Lembah Kehinaan

Dele Alli prospek masa depan bola sepak terutamanya England yang pernah dinilai pada harga £90 juta kini jatuh merudum dan sekadar berada dipinggiran lembah kehinaan.

Bamidele Jermaine Alli kini hanya berusia 26 tahun usia puncak atau menuju puncak bagi seorang pemain bola sepak dalam memenuhi potensi yang ada pada diri.

Dilahirkan pada 11 April 1996 di Milton Keynes, Buckinghamshire, England, kepada seorang bapa warga Nigeria, Kehinde Kenny dan seorang ibu warga Inggeris, Denise.

Bagaimanapun, ibu bapanya membesarkannya secara berasingan kerana mereka kemudiannya bercerai beberapa bulan selepas kelahirannya. Selepas perceraian ibu bapanya pada tahun 1996, ayahnya mengembara ke Amerika Syarikat, dan ibunya berkahwin semula dan mendapat tiga anak lain.

Pada usia 13 tahun, ibunya mengalami ketagihan alkohol yang mengakibatkan dia berpindah bersama keluarga Alan dan Sally Hickford. Alli belajar di Kampus Stantonbury di utara Milton Keynes dan Sekolah Radcliffe di Wolverton.

Mk Dons Ke Spurs

Dele Alli memulakan kerjayanya dalam kancah bola sepak apabila dia menyertai pasukan remaja MK Dons pada usia 11 tahun. Pada masa dia berumur 16 tahun, dia telah bermain dengan pasukan utama dan menjaringkan gol pertamanya menentang Cambridge.

Selepas gol itu, dia mendapat momentum kerana ia lebih kepada satu permulaan. Dia kemudian membuat beberapa penampilan untuk pasukan England Bawah 17/18/19/21 tahun.

Selepas beberapa musim, Alli menjadi pemain tetap MK Dons pada musim 2013/14. Dia menghabiskan dua musim di Milton Keynes Dons sebelum dia bersetuju untuk menandatangani kontrak dengan Tottenham Hotspur pada 2 Februari 2015 dengan perjanjian lima setengah tahun dengan yuran permulaan $5 juta.

Kemunculan Dele Alli adalah sesuatu yang sensasi ketika disambar oleh Spurs yang beraksi di Premier League, debutnya ketika menentang Manchester United pada Ogos 2015.

Di usia 19 tahun Alli telah menjaringkan 10 gol di liga utama dan memberikan sembilan bantuan gol dalam kempen yang luar biasa dan meletakkan dalam peta bola sepak dunia.

Musim terbaiknya adalah pada 2016-17, apabila dia menjaringkan 22 gol dalam 50 penampilan di semua pertandingan bersama Spurs dengan purata gol setiap 182 minit.

Dia terus cemerlang dengan konsisten apabila mencatat nama dalam 29 penglibatan gol secara langsung (14 gol, 15 bantuan) untuk kempen 2017-18.

Kecermelangan itu membolehkan Alli menjadi pemain utama Gareth Southgate dan memacu England mara ke separuh akhir Piala Dunia di Rusia 2018. Namun lenyap di Piala Dunia 2022.

Dele Alli memainkan peranan bebas di belakang Harry Kane dalam pasukan Mauricio Pochettino, membolehkan Eriksen mampu untuk berkembang maju, Alli berlari melangkaui penyerang untuk mengejar hantaran Christian Eriksen yang tepat atau mencari ruang di tepi kotak untuk menunjukkan kehebatannya dengan rembatan jarak dekat.

Sebagai seorang pemain bola sepak Dele Alli benar-benar kelihatan memiliki semua faktor untuk menjadi pemain bola sepak terhebat.

Kemerosotan Dele Alli

Tottenham Hotspur berjaya mara ke final Champions League, Alli gagal membantu Spurs menjulang trofi yang menyaksikan Liverpool telah muncul juara buat kali keenam dalam sejarah kejohanan.

Sejak itu impak yang ada pada Dele Alli mula menurun dengan ketara dan sentuhan terbaiknya mula menghilang. Kecederaan nyata tidak membantu di mana pada musim itu Alli hanya terlibat secara terus dalam penghasilan 8 gol sahaja di Premier League dan gagal menjaringkan gol di Eropah.

Pada penghujung November 2019, Mauricio Pochettino yang mengembangkan bakat Alli telah dipecat dan pada ketika itu Alli hanya menjaringkan dua gol.

Jose Mourinho tiba dan pada awalnya Alli kelihatan sangat tajam pada minggu-minggu pertama beraksi untuk pengurus Portugal itu dengan menjaringkan 3 gol dalam tiga perlawanan pertama di bawah Mouirnho.

“Saya 56 sekarang dan semalam saya 20. Masa cepat berlalu. Satu hari nanti saya rasa anda akan menyesal jika anda tidak mencapai apa yang anda boleh capai,” kata Mourinho.

“Saya tidak mengharapkan anda menjadi pemain terbaik setiap perlawanan. Saya tidak mengharapkan anda menjaringkan gol setiap perlawanan. Saya hanya ingin memberitahu anda bahawa anda akan menyesalinya.

“Awak patut menuntut lebih daripada diri sendiri. Bukan saya yang menuntut lebih daripada awak. Tiada orang lain. Awak. Awak patut menuntut lebih daripada diri sendiri.”

Kata-kata Mourinho itu ternyata berjaya mengembalikan semula kemampuan Dele Alli yang dunia kenali namun hanya untuk 3 perlawanan awal itu sahaja.

Tetapi tanda-tanda yang menjanjikan Alli kembali ke prestasi terbaik itu tidak kekal dan sebelum penggantungan liga pada Mac 2020 kerana wabak, kedudukan Alli sebagai pemain kesebelasan utama tidak terjamin.

Alli menamatkan kempen Liga Perdana yang berpanjangan dengan lapan gol dalam 25 penampilan tetapi pada musim penuh pertama Mourinho sebagai pengurus, dia diturunkan ke pemain bangku simpanan, membuat hanya dua permulaan di peringkat teratas sebelum bekas pengurus Manchester United dan Chelsea itu dipecat pada April 2021.

Nuno Espirito Santo cuba memainkan Alli jauh di bahagian tengah dalam tempoh singkatnya di Spurs dan gol terakhirnya untuk kelab itu datang di bawah bekas bos Wolves itu, dari titik penalti dalam kemenangan 1-0 di Molineux.

Namun kehadiran Antonio Conte adalah penamat buat Alli di Spurs yang memulakannya hanya dua kali dan Alli terus tersisih daripada skuad Tottenham sama sekali untuk pertemuan dengan Chelsea pada Januari.

Mencari Sinar Di Goodison hingga ke Istanbul

Frank Lampard menaruh kepercayaan kepada Dele Alli lalu telah menandatangani pemain tersebut pada Januari 2022 dengan kontrak selama dua tahun setengah dan menjadi antara pemain pertama diikat Lampard bersama Everton.

Dele Alli telah membuat 11 penampilan dan hanya satu perlawanan dari permulaan bersama Everton musim lalu yang menyaksikan mereka berjaya keluar dari zon penyingkiran untuk terus kekal di Premier League.

Musim ini, Alli hnaya membuat penampilan bersama Everton dan itupun masuk dari bangku simpanan memberi tanda prestasi Alli masih jauh dari potensi sebenarnya dan mencari kelab baru untuk memulihkan kariernya iaitu Besiktas.

Everton telah mendapatkan Alli pada dasarnya secara percuma dan Everton perlu membayar Spurs sebanyak £10 juta apabila menurunkan Alli dalam 20 perlawanan dan yuran itu akan meningkat menjadi £40 juta jika mencapai sasaran seperti termaktub dalam kontrak.

Dengan tujuh perlawanan lagi untuk Alli mencapai 20 perlawanan, Everton tidak mahu menanggung risiko dan tidak percaya Alli akan mampu kembali memberikan impak lalu dipinjamkan ke Besiktas.

Everton sanggup membayar bahagian gaji Alli bersama Besiktas dalam tempoh pinjamannya dan kelab Istanbul itu mempunyai pilihan untuk membeli secara tetap pada harga £8 juta sahaja.

Angka itu menunjukkan sejauh mana sahamnya telah jatuh; pada 2018, Transfermarkt telah menyenaraikan nilainya pada harga £90 juta ($153 juta). Itu adalah penurunan sebanyak 91% dalam masa empat tahun sahaja.

Nampaknya karier Alli tidak begitu baik dan terus merudum bersama Besiktas dan menjadi perhatian dunia apabila telah dikeluarkan selepas 28 minit di padang dalam perlawanan Turkish Cup menentang kelab divisyen ketiga, Sanliurfaspor.

Selepas ketinggalan 2-0, pengurus Besiktas, Senol Gunes mengambil tindakan pantas menggantikan Alli dengan Gedson Fernandes. Pemain berusia 26 tahun itu kemudian diejek oleh sebahagian penyokong di dalam stadium Vodafone Park ketika dia berlari keluar padang.

Besiktas bangkit dan memenangi perlawanan itu 4-2 hasil jaringan Cenk Tosun [2], Georges-Kevin N’Koudou dan Wout Weghorst yang kini dipinjamkan dari Burnley.

Pada awal bulan lalu, pengarah sukan Besiktas, Ceyhun Kazanci telah mengakui bahawa Dele Alli adalah pemain yang berada di bawah piawaian sejak hadir ke Besiktas.

Dia menyatakan bahawa mereka tiada idea atau jalan untuk membolehkan Alli kembali kepada prestasi terbaiknya dan meragui samada perkara itu boleh terjadi atau tidak:

“Tiada siapa boleh menjawab sama ada Dele Alli boleh melakukannya sekarang,” kata Kazanci kepada TRT Spor.

“Dia bekerja sangat keras. Dia adalah pemain yang mencapai harga €100 juta [nilai] tiga tahun lalu. Dia jatuh.”

“Kini saya boleh menyentuh mereka dengan mudah tetapi kami belum menyentuh Dele Alli lagi. Jangan bincangkan Dele Alli sebagai pemain tetapi dia berada di bawah jangkaan dari segi kecekapan.”

Kini masa depan Alli di Besiktas juga kelihatan semakin kelam apabila dikeluarkan pada kurang 30 minit permainan ketika hanya menentang pasukan divisyen tiga.

Berdasarkan penilaian dari Ceyhun Kazanci itu juga kini tiada siapa yang mampu menyelamatkan karier Dele Alli dari lembah kehinaan melainkan dirinya sendiri.

BACA:  Krisis Kecederaan Spurs Makin Meruncing Selepas Alli Diusung Keluar