Arsenal Buru Individu Yang Membaling Botol Ke Kepala Alli

Arsenal sedang mencari individu yang membaling botol ke kepala Dele Alli ketika perlawanan suku akhir Piala Carabao di Emirates Stadium awal pagi tadi.

Dengan bantuan CCTV yang dipasang di merata tempat di dalam stadium, Arsenal berharap mereka akan dapat mengesan dalang di sebalik insiden memalukan tersebut.

Sakit la natang

Dalam pertemuan ‘North London Derby’ ke-2 musim ini, Arsenal terpaksa akur dengan ketajaman jentera serangan Spurs selain kerapuhan barisan pertahanan Arsenal. Arsenal tewas 2-0 di hadapan penyokong sendiri seterusnya tersingkir daripada saingan Piala Carabao.

Walau bagaimanapun, terdapat satu insiden yang memalukan bagi peminat Arsenal berlaku pada minit ke-73 ketika Spurs sedang mendahului perlawanan 2-0.

Ketika cuba mengejar bola di bahagian tepi padang, satu botol yang dilempar peminat Arsenal telah hinggap di kepala Alli.

Alli yang berang dengan balingan tersebut membuat simbol 2-0 menggunakan tangannya untuk membalas dendam terhadap peminat Arsenal. Kapten Spurs, Harry Kane cepat untuk meleraikan keadaan sebelum keadaan bertukar menjadi parah.

Kemenangan Spurs semalam berjaya mengubat sedikit luka tewas 4-2 kepada Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris beberapa minggu lalu di stadium yang sama walaupun pada satu ketika berjaya mendahului perlawanan.

Sentap ke ?

Dalam perlawanan derby sebelum ini, seorang penyokong Spurs telah digantung dan didenda kerana melempar kulit pisang ke arah Pierre Emerick-Aubameyang ketika penyerang Arsenal itu meraikan gol jaringannya.

Ketika bercakap kepada Sky Sports selepas tamat perlawanan, Alli tidak terkesan dengan insiden tersebut sambil menambah balingan botol tersebut menjadikan gol jaringannya bertambah ‘manis’.

Alli turut memuat naik gambar beliau menunjukkan simbol 2-0 kepada peminat Arsenal menerusi akaun Twitter beliau.

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino yang dikaitkan dengan kerusi panas Manchester United pada hujung musim nanti, menggesa Arsenal supaya mencari dalang di sebalik balingan botol tersebut.

“Kita agak bernasib baik kerana balingan botol tersebut tidak menjadi isu yang lebih besar. Bagi saya, segalanya baik sahaja kerana ia merupakan perlawanan derby dan kami dan Arsenal saling membenci antara satu sama lain.”

“Tetapi keadaan bertukar menjadi buruk apabila anda cuba mencederakan pihak lawan.”

“Saya tidak boleh bercakap secara umum kerana hanya seorang individu bodoh yang melakukan kesilapan tersebut. Saya hormat peminat Arsenal, saya suka tahap profesional yang ditunjukkan Arsenal, dan saya juga hormat pada peminat Spurs.”

“Disebabkan seorang, anda tidak boleh melabel semua peminat. Saya berharap Arsenal akan mengambil tanggungjawab ini dan mengesan individu tersebut menerusi kamera.”

Metropolitan Police mendedahkan mereka telah membuat 7 tangkapan pada hari perlawanan kerana melakukan kesalahan di tempat umum.

Tottenham akan bertemu Chelsea dalam aksi separuh akhir Piala Carabao manakala Manchester City menerima lawan yang mudah apabila diundi bertemu pasukan League One, Burton Albion.

BACA:  FA Cup Suku Akhir: Sheffield United 1-2 Arsenal