Penyokong Everton Teruja Melihat Aksi Mantap Dele Alli Bertemu Crystal Palace

Dele Alli teruk dihentam oleh pelbagai pihak sejak dari awal ketibaannya ke Goodison Park pada Januari lalu, dan kini beliau sepertinya telah berjaya mengubah segala persepsi negatif itu selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan bertemu Crystal Palace.

Aksi mantap yang beliau persembahkan berjaya membantu Everton untuk mengelak dari berada di zon penyingkiran.

Pemain midfield berusia 26 tahun itu menyertai The Toffees dari Tottenham Hotspur pada hari terakhir sebelum jendela perpindahan Januari ditutup.

Pemain yang ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £40 juta itu masuk pada aksi babak kedua dalam perlawanan bertemu Crystal Palace untuk menggantikan Andre Gomes.

Sebaik masuk ke padang, beliau sepertinya berjaya mengubah terus corak permainan Everton, seterusnya membantu skuadnya melakukan comeback.

Alli jelas sekali berjaya memberi ancaman merbahaya ke kubu Palace sepanjang perlawanan tersebut dan para peminat benar-benar berpuas hati melihat apa yang beliau persembahkan.

Para peminat bahkan menganggap yang beliau sebenarnya sudah berjaya mendapatkan tahap persembahan terbaiknya dalam perlawanan tersebut.

Ada juga yang percaya Dele Alli kembali mendapatkan tahap persembahan yang sama seperti aksinya pada musim 2016/17 ketika memainkan peranan penting untuk gol penyamaan yang dijaringkan oleh Richarlison.

Alli turut dihamburkan pujian menggunung dari para peminat di media sosial atas aksi hebat yang beliau persembahkan dalam perlawanan ini.

“Dele Alli ubah permainan. Jelas sekali sangat luar biasa. Dia tak terkesan walau kita sudah ketinggalan 2-0.”

“Dele ubah permainan. Saya tak peduli andai ada yang cakap dia pemalas ketika sesi latihan, tapi apa dia tunjukkan sudah cukup menggembirakan saya.”

“Dalam perlawanan besar, dia tampil hasilkan persembahan seperti ini, memang sesuatu yang sungguh luar biasa dasyat.”

“Kita kena bagi dia lebih banyak peluang, dia dah buktikan sesuatu yang kita semua tak jangka.”

“Dia bakal menjadi pemain penting kita musim depan, percayalah dia pemain yang kita cari.”

Pengurus Everton Frank Lampard juga turut berpuas hati dengan persembahan mantap yang ditunjukkan oleh Dele Alli dalam perlawanan ini.

Satu lagi hal yang mencuri perhatian ramai dari perlawanan ini adalah aksi bagaimana Patrick Vieira menendang seorang penyokong Everton yang mengganggu beliau.

Vieira tendang penyokong Everton yang menganjing beliau selepas tamat perlawanan

Pengurus Crystal Palace, Patrick Vieira terlibat dengan satu insiden panas di Goodison Park hingga menyebabkan salah seorang penyokong Everton makan penendang legenda Arsenal itu.

Tular satu rakaman di media sosial pada ketika ini yang mana Patrick Vieira dilihat menendang seorang penyokong Everton, yang menceroboh masuk ke padang dan mengganggu beliau.

Skuad kendalian Patrick Vieira itu tewas 3-2 di tangan Everton walau mereka pada awalnya sudah mendahului perlawanan dengan keputusan 2-0.

Untuk Everton sendiri, kemenangan itu jelas sekali sangat bermakna untuk mereka kerana ia telah menyelamatkan mereka dari berada di zon penyingkiran.

Kerana itulah para penyokong Everton terlalu teruja dan gembira hingga mereka menceroboh masuk ke padang selepas tamat perlawanan.

Walau bagaimanapun, dari ramai-ramai penyokong yang menceroboh masuk ke padang, ada seorang penyokong mereka yang telah menunjukkan sikap tidak bermoral.

Salah seorang penyokong Everton dilihat menganjing Vieira secara berlebih-lebihan dan hasilnya beliau makan penendang pengurus Crystal Palace itu.

Ketika Patrick Vieira sedang berjalan keluar meninggalkan padang, penyokong Everton itu menghampiri beliau dan menganjing beliau di depan muka.

Legenda Arsenal itu jelas sekali tidak gembira dengan hal tersebut dan beliau segera bertindak menghukum penyokong tak bermoral itu.

Jika dilihat pada rakaman yang sedang tular itu, jelas sekali penyokong Everton itu yang mencari pasal terlebih dahulu hingga menyebabkan beliau makan penendang.

Selepas Vieira menendang penyokong Everton itu, datang lagi beberapa orang penceroboh padang lain yang turut mahu bergaduh dengannya.

Pengurus Crystal Palace itu langsung tidak berundur dengan beliau tetap tenang berdiri di sana berdepan dengan ramai penyokong Everton.

Pegawai-pegawai bertugas kemudiannya menghampiri dan meleraikan kekecohan di antara kedua-dua pihak itu.

Ketika ditanya tentang insiden itu selepas tamat perlawanan, legenda Perancis itu menyatakan bahawa:

“Saya tak ada apa yang mahu dikatakan tentang itu.”

Pengurus Everton, Frank Lampard turut bercakap tentang isu penceroboh padang itu ketika sesi sidang media beliau selepas tamat perlawanan.

“Saya dapat rasa apa Patrick rasa.”

Jelas Frank Lampard.

“Saya tak jumpa dia lepas perlawanan. Saya akan kata, ‘mari masuk sini dengan kami’, walaupun beliau mungkin tidak mahu itu. Sudah tentu memenatkan untuk dia berjalan 80 ela sekitar padang dan situasi seperti itu bukan mudah.”

“Itu betul-betul satu cara menunjukkan kelegaan oleh peminat selepas berjaya mengelak dari penyingkiran. Jika mereka buat dengan cara betul, saya rasa biarkan saja mereka di atas padang, biarkan mereka dapat detik yang mereka mahu. Asalkan saja mereka behave tiada masalah.”

Menurut sumber laporan dari The Daily Mail, Vieira kini mungkin akan disiasat oleh Persatuan Bola Sepak berkait insiden tersebut.

Malang sekali ini bukanlah kali pertama insiden melibatkan penyokong tak bermoral berlaku pada minggu ini yang menjejaskan keindahan dalam dunia bola sepak.

Salah seorang penyokong Nottingham Forest telah ditangkap selepas beliau berlari masuk ke padang dan menganjing bintang Sheffield United, Billy Sharp ketika meraikan kejayaan mereka di peringkat separuh akhir play-off untuk ke Premier League.

Dalam saingan League 2 juga turut berlaku insiden sama dengan penyokong Northampton dilihat melempar flares ke arah pemain Mansfield.

Hal-hal seperti ini sebenarnya tak sepatutnya berlaku dengan mereka seharusnya tidak mengganggu pemain atau pengurus pasukan lawan andai mahu menceroboh masuk ke padang.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Dele Alli Percaya Tottenham Bertambah Kuat Setiap Tahun