Laura Kenny Dianggap Atlet Olimpik Terhebat Sepanjang Zaman Great Britain

Atlet lumba basikal Great Britain, Laura Kenny dengan cemerlangnya telah memenangi pingat emas Olimpik kelima beliau dalam acara berbasikal.

Beliau bersama rakan sepasukannya, Katie Archibald dengan cemerlang memastikan pingat emas menjadi milik Britain, seterusnya menjadikan beliau antara atlet Olimpik terbaik GB.

Hari ini bermulanya perlumbaan ‘women madison’ di temasya Olimpik Tokyo 2020, dengan acara ini pernah dipertandingkan pada tahun 2000 hingga 2008, namun tidak dipertandingkan pada 2012.

Pelumba Britain, Kenny dan Archibald terlalu mendominasi perlumbaan tersebut dengan mereka berjaya mengumpul 78 mata yang cukup menakjubkan.

Denmark menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua dengan mengumpul 35 mata, sementara Russian Olympic Committee memperoleh gangsa dengan mengumpul 26 mata.

Kemenangan itu secara tidak langsung merupakan emas kelima Kenny di temasya Sukan Olimpik dan pingat keenam beliau secara keseluruhannya dalam pertandingan paling berprestij ini.

Atlet berusia 29 tahun itu menyertai bintang equestrian, Charlotte Dujardin sebagai atlet wanita British paling banyak memenangi pingat.

Kenny turut menjadi Atlet Olimpik wanita paling berjaya dalam sejarah Britain, menjadi atlet wanita British pertama memenangi tiga pingat emas di tiga temasya Olimpik berbeza dan atlet basikal wanita terhebat dalam sejarah.

Laura Kenny berkemungkinan untuk menambah koleksi pingatnya di temasya Olimpik Tokyo ini, dengan beliau akan turun beraksi di omnium untuk mempertahankan pingat emasnya esok.

Beliau jelas sememangnya antara atlet Olimpik terhebat dalam sejarah Britain dan tidak keterlaluan untuk menganggap beliau sebagai antara atlet paling berjaya di dunia.

Lima pingat emas Olimpik

Kenny mula mencipta nama ketika di temasya Olimpik London 2012, dengan beliau telah mempamerkan aksi cukup menakjubkan di hadapan penyokong sendiri di velodrome di Queen Elizabeth Olympic Park.

Beliau berjaya memenangi pingat emas dalam acara team persuit dan omnium, dan Kenny semakin bersinar ketika beraksi di temasya Olimpik Rio 2016.

Beliau ketika beraksi di temasya Olimpik Rio pada lima tahun lalu, dengan cemerlangnya mempertahankan kedua-dua pingat emas yang beliau menangi sebelum itu.

Walaupun berdepan dengan kesukaran menjelang bermulanya temasya Olimpik Tokyo 2020, Kenny sepertinya sudah bersedia untuk mencipta sejarah baru di bumi Japun ini.

Beliau berjaya menyamai kutipan pingat yang pernah dimiliki oleh Katherine Grainger selepas menamatkan acara team persuit di kedudukan kedua, sebelum memenangi emas dalam acara madison.

“Saya tak pernah mengimpikan untuk memenangi pingat yang banyak dalam hidup saya.”

Jelas Kenny selepas tamat acara madison.

“Saya mesej suami dan rakan sepasukan saya, Jason dan saya kata saya rasa Olimpik saya berakhir hari ini. Saya sayangkan pasukan persuit, tapi saya rasa lega kalau semuanya dah berakhir, kerana ini adalah perlumbaan yang paling saya impikan untuk menang. Saya betul-betul rasa lega.”

Atlet dan seorang ibu yang penyayang

Kenny bukan hanya menjadi inspirasi atas persembahan beliau di atas trek basikal. Beliau turut menjadi salah seorang Olympians yang berjaya menyeimbangi tugas sebagai atlet dan ibu dengan sangat sempurna.

Selepas berkahwin dengan rakan sepasukannya, Jason Kenny pada tahun 2016, Laura Kenny melahirkan anak pertama mereka, Albie pada tahun 2017 yang lalu.

Beliau pernah mendedahkan yang dirinya sering dipandang rendah walau beliau sangat sukar untuk menyeimbangkan tugasnya sebagai atlet dan ibu pada masa yang sama.

Kenny turut meluahkan yang beliau merasa semakin sukar ketika UK teruk dilanda wabak pandemik dan terpaksa menguruskan tugasnya sebagai atlet dan ibu pada masa sama, perlu berdepan dengan pandemik.

Kenny juga mendedahkan yang beliau mendapat sokongan dari rakan dan Juara Olimpik, Jess Ennis-Hill, yang selalu memberi nasihat padanya supaya sentiasa berlatih dan dekat dengan Albie berbanding melakukan hal lain.

Laura bersama suaminya antara atlet paling banyak hadiahkan pingat untuk Britain

Beliau secara tidak langsung telah membuktikan yang dirinya mampu menjadi seorang ibu, dan seorang atlet yang memenangi pingat emas.

Ia tentunya bakal memberi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda yang mungkin takut memiliki anak kerana bimbang kariernya akan segera berakhir.

“Sepanjang minggu saya selalu minta tolong jangan tanya pada saya tentang Albie, saya tak pernah tak merindui dia.”

Jelasnya selepas kejayaan memenangi pingat emas.

“Tapi saya tak mungkin boleh lalui tanpa mereka semua ini. Dengan Katie, saya rasa seolah saya beraksi bersama kakak saya. Saya sangat gembira untuk ada bersama dia di sini dan menerima sokongan dari dia. Saya tak mungkin boleh lalui semua ini tanpa dia.”

Sumber: GMS

BACA:  Atlet Decathlon Belgium Ini Mengalami Kecederaan Yang Cukup Mengerikan