Letsile Tebogo Pecah Rekod Dunia B-20 Dengan Larian Angkuh dan Penuh Bergaya

Pelari pecut 100 meter Botswana, Letsile Tebogo telah memecahkan rekod dunia acara 100m lelaki bawah 20 tahun dengan satu larian sempurna disulam dengan keangkuhan yang penuh bergaya.

Letsile Tebogo hadir ke kejohanan Olahraga Dunia B-20 yang berlangsung di Cali, Colombia dengan reputasi yang besar sebagai pelari pecut remaja kerana dikenali dengan kualitinya.

Namun Letsile Tebogo mengejutkan ramai kerana kualitinya kini sudah melebihi tahap seorang pelari pecut remaja dan sudah mampu menyaingi pelari terhebat dunia.

Tebogo sebelum ini merekodkan 9.94 saat di peringkat separuh akhir untuk mencipta rekod kejohanan baharu dan memecahkan rekod dunia dengan catatan 9.91 saat dalam saingan akhir jauh meninggalkan lawan.

Selepas permulaan bak peluru, Tebogo meninggalkan pesaingnya di belakang, langkahnya yang panjang dan lancar menelan litar biru ketika dia memecut sangat laju bagi seorang atlet U20 di mana Usain Bolt sendiri tidak pernah berlari seperti itu diusia remaja.

Dengan 30 meter lagi, sudah tiba masa melakukan keraian dan Tebogo mengangkat tangan kanannya dan mula mengibas-ngibaskan jari ke arah saingan terdekatnya, Bouwahjgie Nkrumie dari Jamaica, memandang ke arahnya – tersenyum – sehingga ke penamat.

Letsile Tebogo mencatatkan masa 9.91 saat rekod baharu dunia B-20. Rekod dunia sebelum ini 9.94 saat juga merupakan milik Letsile Tebogo yang diciptanya di kejohanan dunia yang berlangsung di Oregon.

Ketika ditanya selepas perlumbaan kenapa melakukan keraian itu, Letsile Tebogo menyifatkan itu bukan satu penghinaan kepada pelumba lain dan meminta maaf jika ada yang terasa mungkin tiada cermin sisi maka Tebogo terpaksa menoleh.

“Keraian hadir secara natural untuk menikmati perlumbaan,” katanya.

“Jika seseorang menganggapnya sebagai tidak hormat, saya benar-benar minta maaf.”

“Saya melihat peminat dan (memang) semua orang yang menonton di rumah boleh menikmati perlumbaan – untuk mengingatkan mereka sedikit tentang apa yang dilakukan Usain Bolt pada zaman dahulu. Dia idola saya – orang yang saya hormati.”

Sudah pastilah Usain Bolt adalah idola Tebogo dan pelari pecut yang lain. Tebogo tidak pernah bertemu dengan Usain Bolt tetapi pemegang rekod dunia itu pastinya kini menyedari kehadiran pelari pecut muda Botswana itu, setelah menulis tweet mengenai perlumbaann itu.

“Saya amat gembira jika dapat bertemu dengannya.”kata Tebogo, yang merupakan pelari terbaru dalam kalangan pelari pecut bertaraf dunia yang muncul dari Botswana sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata kebangkitan mereka adalah “kerana disiplin, dedikasi” di kalangan atlet mereka.

Dia telah menyertai perlumbaan kerana mengetahui dia boleh berlari pada tahap yang berbeza dengan pesaingnya.

“Saya nampak mereka takut dengan saya, tetapi saya juga takut dengan mereka,” katanya.

“Apabila pistol itu ditembak, saya perlu memastikan saya membuat permulaan terbaik dalam hidup saya dan ia adalah permulaan terbaik dalam hidup saya.”

“Saya tidak merancang (keraian) tetapi sebaik langkah pertama saya tahu gelaran itu adalah milik saya. Saya tidak bimbang tentang catatan masa. Saya tak tengok.”

Ditanya apa yang dia boleh lari jika dia keluar sepenuhnya, Tebogo berkata: “9.80”, yang menimbulkan persoalan: mengapa dia tidak all out?

“Kami mempunyai lebih banyak perlumbaan yang akan datang, kami tidak mahu pergi sejauh itu,” kata Tebogo, yang akan mendaftar di Universiti Oregon dalam beberapa bulan akan datang.

“Tetapi ini adalah tahun saya sebagai junior, kami perlu meninggalkan (rekod) di sini untuk generasi akan datang untuk datang dan memecahkannya.”

Jika Tebogo tidak memperlahankan larian untuk keraian penuh bergaya itu pasti rekod yang diciptakan lebih sukar dipecahkan pelari akan datang.

BACA:  Azeem Fahmi Sendiri Tidak Percaya Pecahkan Rekod 100m Kebangsaan