Maguire Digugurkan Rangnick Sebagai Kapten VS Young Boys, Penyokong Bersorak Gembira

Pengurus Manchester United Ralf Rangnick telah mengesahkan pemain mana yang akan memakai lilitan sebagai ketua pasukan dalam perlawanan Liga Juara-Juara UEFA menentang Young Boys di Old Trafford.

Pasukan The Reds telah mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan F sekaligus mendapat slot sebagai satu pasukan pilihan dalam undian pusingan kalah mati yang akan dilangsungkan pada hari Isnin depan.

Meskipun Young Boys bakal turun untuk mendapatkan keputusan positif demi kedudukan di tempat ketiga kumpulan dan layak ke Liga Europa, Rangnick pula mendapat ketenangan yang jarang boleh didapatkan di mana dia mampu merehatkan pasukan utama dalam perlawanan di pentas Eopah pertamanya bersama kelab baru.

Pada sidang media pada hari Selasa, pengurus berbangsa Jerman tersebut bakal menurunkan Dean Henderson dan Donny van de Beek di dalam kesebelasan utama.

Harry Maguire juga turut diberikan hari cuti, dan Rangnick telah menamakan Nemanja Matic sebagai kaptennya dalam perlawanan tersebut.

Ini juga bermaksud bahawa Bruno Fernandes juga akan turut direhatkan oleh Rangnick, memandangkan pemain tengah perancang Portugis itu seringkali menjadi pemangku kapten pasukan ketika ketiadaan Maguire.

Matic yang duduk di sebelah Rangnick dalam sidang media tersebut mengatakan bahawa dia cukup berbangga dan faham betapa beratnya tanggungjawab yang bakal dipikul.

“Tak pernah mimpi pun sebab, bila kau bermula dari sebuah kampung yang kecil di Serbia, kau bermain untuk pasukan yang hanya mempunyai sebiji bola setahun dan kau hanya bermain dengan sebiji bola!” ujar pemain berusia 33 tahun tersebut.

“Memang rasa macam bermimpi. Aku rasa sangat bangga dan semestinya aku akan bawa balik ke rumah lilitan kapten tu dan letak di dalam bingkai,” tambahnya lagi.

Ketika ditanya tentang taktikal dan sistem permainan yang baru dibawa oleh Rangnick, Matic mempunyai jawapan tersendiri.

“Setiap pengurus mempunyai idea tersendiri dan kami cuba beradaptasi dan cuba memahami idea tu secepat mungkin,” ujarnya.

“Aku rasa semua orang dah nampak sikit-sikit tentang idea dia dalam perlawanan tempoh hari menentang Crystal Palace, pressing di kawasan tinggi dan susunan yang kemas ketika bertahan dan juga ketika menyerang.

“Selepas beberapa hari memang agak susah, tapi aku yakin secara perlahan-lahan kesemua orang akan nampak dan hadam ideanya di atas padang sebab kami semua memang perlu faham apa yang dia mahukan daripada kami.”

Dalam perkembangan lain, dua pemain utama, Edinson Cavani dan Raphael Varane dikhabarkan sudah sembuh daripada kecederaan dan sudah mampu untuk kembali berlatih pada hari Selasa, tetapi tidak akan diturunkan bagi memberikan tumpuan untuk kesembuhan segera dan membina kecergasan selepas kecederaan.

Meskipun mungkin hanya direhatkan untuk perlawanan ini, para penyokong Manchester United di atas talian ternyata cukup gembira dengan khabar ini dan ada di kalangan mereka telah menggesa agar Harry Maguire direhatkan untuk tempoh yang lama – sekurang-kurangnya sehingga jendela perpindahan Januari nanti.

Menghantar komen di hantaran pengumuman kapten baharu United di laman Facebook rasmi kelab, Colin Ross berkata;

“Keputusan yang baik. Harry patut direhatkan sehingga jendela perpindahan tahun depan.”

Seorang pengguna lain, Tuan Huy Nguyen, telah menghantar komen yang mahukan Maguire diletakkan di bangku simpanan dan digugurkan daripada jawatan kapten kelab buat selamanya.

Tuan Huy Nguyen;

“Rangnick, tolong buang Harry Maguire daripada jadi kapten secara tetap dan letakkan dia di bangku simpanan.”

Komen ini disokong oleh seorang lagi pengguna Facebook, Elvischester Muzori.

“Tan Hen akan buat benda tu tak lama lagi. Maguire dah meninggal.”

Tidak dapat dipastikan siapakan Tan Hen yang dimaksudkan.

Dalam tinjauan kami di Twitter pula, kami mendapati bahawa Maguire menjadi sasaran kebencian daripada kalangan penyokong Manchester United, dan menjadi bahan ejekan para penyokong lawan.

Seorang penyokong Liverpool mengatakan bahawa pemain muda kelabnya, Nat Phillips adalah lebih bagus daripada Maguire.

Kenyataan ini turut dilaungkan oleh seorang lagi penyokong Liverpool yang mendakwa Maguire tidak akan dapat melakukan skill seperti mana yang dilakukan Phillips.

Seorang peminat United pula menyatakan bahawa Maguire adalah pembelian yang lebih teruk daripada Jack Grealish yang dibeli pada harga 100 juta GBP.

BACA:  Terpaksa Seri Bermaruah, Harry Maguire Salahkan Pengadil, VAR Dan Liverpool