Marcelo Bielsa Melatih Pemain U-11 Bermain ‘Murderball’

Sesiapa yang merasakan Marcelo Bielsa hanya akan berehat santai selepas melalui satu musim yang panjang sebagai pengurus, beliau jelas silap besar.

Marcelo Bielsa tidak berminat untuk berehat walau sudah mengharungi musim yang sangat cemerlang bersama Leeds United dalam aksi saingan Premier League.

Ketika segelintir pengurus lain sudah terbang untuk bercuti bersama keluarga pada musim panas ini, Bielsa tenang masih berada di Leeds dan dilihat melatih skuad U-11 pada petang kemarin.

Ya, beliau pergi ke pusat latihan untuk melatih skuad bawah 11 tahun Leeds United ketika rehat akhir musim ini.

“El Loco’ dilihat memakai pakaian sukan rasmi Leeds untuk bersama dengan skuad kanak-kanak dan beliau juga dilihat memberi nasihat berguna kepada para pemain muda itu.

Seorang pengurus terkenal datang melatih para pemain berusia 11 tahun bukanlah satu hal yang biasa untuk dilihat oleh para peminat.

Ia jelas merupakan satu kebanggaan kepada kanak-kanak tersebut yang berpeluang untuk menimba ilmu dari seorang pengurus yang sungguh bijak dan hebat seperti Marcelo Bielsa.

Lebih luar biasa lagi, skuad kanak-kanak tersebut bakal berpeluang untuk belajar ilmu permainan ‘Murderball’ yang sering diterapkan oleh Marcelo Bielsa.

Ia merupakan latihan berat yang mana tiada pengadil, tiada rehat dengan bola harus terus dimainkan sehingga di arahkan untuk berhenti.

Penyokong Leeds United, Matthew Price berpeluang menonton Bielsa yang sentiasa berdiri dalam menyampaikan ilmu berguna kepada kanak-kanak tersebut sepanjang 90 minit sesi latihan.

“Dia tiba-tiba muncul dan beritahu semua orang yang mereka akan bermain ‘Murderball’, yang mana mereka semua tahu ia sangat luar biasa.”

Jelas Matthew pada Yorkshire Evening Post.

“Bielsa turut memberitahu semua kanak-kanak tersebut yang mereka akan terus bermain bola selama tiga jam.”

“Kanak-kanak itu semua sukakannya. Mereka semua seakan tidak percaya Bielsa boleh datang ke sesi latihan mereka.”

Bielsa turun ke padang latihan dengan membawa penterjemahnya supaya boleh membantu beliau dalam berkomunikasi dengan kanak-kanak tersebut.

“Menerusi penterjemahnya, dia memberitahu kanak-kanak semua yang dia akan melatih mereka pada hari ini.”

“Dia merupakan pahlawan kepada mereka. Dia juga pahlawan kepada kami semua. Tapi untuk semua kanak-kanak ini, dia lebih besar dari itu.”

Gambar Bielsa melatih kanak-kanak tersebut tular di media sosial ketika ini dengan ramai peminat yang memujinya.

Namun gambar dari pagar yang tular itu mengingatkan peminat kepada isu ‘Spygate’ yang berlaku pada Januari 2019.

Salah seorang barisan kejurulatihan Bielsa telah mengintai sesi latihan Derby County dengan menggunakan teropong dari luar pagar menjelang aksi perlawanan mereka dalam saingan Championship.

Selepas terkantoi, Leeds United telah berdepan dengan hukuman denda bernilai £200,000 atas kesalahan tersebut.

Memang tidak mengejutkan untuk melihat penyokong Leeds begitu teruja dan kagum dengan pengurus dari Argentina itu.

Selepas berjaya memimpin Leeds untuk kembali ke saingan Premier League, beliau juga cemerlang membantu skuadnya untuk menamatkan aksi musim ini di kedudukan kesembilan dalam carta liga.

Leeds juga merupakan salah sebuah pasukan underdog yang digeruni sepanjang musim ini dengan taktikal luar biasa hebat Bielsa.

Selain kehebatan di atas padang, Marcelo Bielsa juga berjaya memenangi hati para peminat dengan sikap mesranya terhadap masyarakat setempat.

Bielsa sering dilihat melakukan persediaan pra perlawanan di kedai kopi di sekitar bandar dan mudah untuk peminat mengajaknya bergambar.

Kontrak Bielsa di Elland Road juga sepertinya akan tamat tidak lama lagi, namun tidak ada yang perlu dirisaukan oleh para peminat kerana beliau tentunya akan menerima tawaran lanjutan kontrak.

Tindakan bekas pengurus Athletic Bilbao dan Marseille itu turun melatih skuad kanak-kanak membuktikan beliau benar-benar komited untuk membantu Leeds terus maju dalam dunia bola sepak.

BACA:  Marcelo Bielsa Bakal Kembali Ke Dunia Pengurusan Selepas Sebulan Bercerai Dengan Leeds United