Bielsa Mengaku Hantar ‘Spy’ Intip Sesi Latihan Derby County

Pengurus Leeds United, Marcelo Bielsa mengakui beliau ada menghantar seseorang untuk mengintip sesi latihan pasukan Derby County, tetapi enggan meminta maaf berhubung kejadian tersebut.

Sebelum ini, Derby mengeluarkan kenyataan yang mereka terpaksa meminta bantuan polis untuk mengusir seorang pekerja Leeds dari kawasan padang latihan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan yang berlangsung awal pagi tadi.

Tanpa berselindung, Bielsa mengaku menghantar pengintip untuk mengorek informasi mengenai pasukan Derby

Disebabkan insiden tersebut, pengurus Derby Frank Lampard terpaksa menggantung sesi latihan buat seketika dan insiden itu kini disiasat Persatuan Bola Sepak England.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Elland Road semalam, Leeds berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Derby untuk selesa berada di persada Liga Championship dengan kelebihan 5 mata di hadapan Norwich City.

Selepas tamat perlawanan, Bielsa telah ditanya sama ada beliau ada menghantar ‘spy’ untuk mengintip sesi latihan Derby. Tanpa segan silu, pengurus berasal dari Argentina itu mengaku beliau bertanggungjawab menghantar pengintip untuk mengorek informasi dari sesi latihan Derby.

“Memang betul orang itu adalah dari Leeds United. Saya yang bertanggungjawab menghantar orang tersebut. Saya tidak kisah sama ada ia dibenarkan atau tidak, bermoral atau tidak… Bagi saya, sudah cukup jika Frank Lampard dan Derby menganggap perkara tersebut sebagai perkara yang tidak boleh diterima. Saya percaya saya tidak berkelakuan dengan baik.”

Hasil intipan Bielsa membuahkan hasil. Leeds mudah tewaskan pasukan Lampard

“Semalam saya ada bercakap dengan Lampard dan beliau berkata saya tidak menghormati peraturan ‘Fair Play’. Saya mempunyai pendapat yang berbeza dalam isu ini, tetapi perkara paling penting adalah apa yang Lampard dan Derby rasa mengenai perkara ini.”

“Hanya saya yang bertanggungjawab dalam isu ini, kerana saya tidak meminta kebenaran daripada Leeds untuk berbuat demikian.”

“Tanpa mencari justifikasi, saya pernah memakai teknik ini sejak pusingan kelayakan bersama Argentina. Ia bukanlah perkara yang salah, kami melakukannya secara terbuka dan bercakap mengenainya dalam sidang media.”

“Untuk orang tertentu, ia merupakan perkara yang salah dan bagi sesetengah pihak, ia bukanlah perkara yang salah.”

Pengurus Derby, Frank Lampard jelas kecewa dengan insiden ini ketika bercakap dengan Sky Sports sebelum perlawanan itu berlangsung. Lampard turut menambah perkara yang sama juga berlaku sebelum ini ketika kedua-dua pasukan bertembung pada awal musim.

Lampard sakit hati dengan Bielsa kerana tidak mengamalkan fair play

“Kami ada menerima lawatan dari seseorang, sehari sebelum hari perlawanan menentang Leeds United yang mana kami tewas 4-1.”

“Leeds boleh menewaskan anda 4-1 kerana mereka mempunyai pasukan yang hebat. Tetapi sehari sebelum itu, mereka menghantar seseorang untuk berada dalam di dalam semak. Lelaki tersebut diminta untuk beredar tetapi Leeds tetap membuat perkara yang sama bagi perlawanan hari ini.”

BACA:  Penyokong United Anggap Fernandes Jauh Lebih Hebat Berbanding Lampard Ketika Kemuncak Kariernya