Memalukan- Diego Simeone Dihentam Teruk Kerana Paksa Pemain Cedera Untuk Terus Bermain

Penandatanganan terbaru Atletico Madrid, Daniel Wass terpaksa berdepan dengan rehat yang lebih panjang selepas beliau dipaksa oleh Diego Simeone untuk terus bermain walau sedang bergelut dengan kecederaan lutut ketika aksi bertemu Barcelona.

Beliau ketika aksi kekalahan memalukan bertemu Barcelona itu terpaksa terus bermain walau sedang menderita kecederaan lutut.

Wass menyertai Atletico dari Valencia pada penghujung jendela perpindahan Januari selepas Kieran Trippier menyertai Newcastle United.

Pemain kebangsaan Denmark itu melakukan debutnya bersama Atletico ketika aksi bertemu Barcelona di Nou Camp dalam saingan La Liga.

Beliau dimasukkan pada aksi babak kedua permainan selepas dimasukkan sebagai pemain gantian yang masuk menggantikan Sime Vrsaljko.

Wass mula merasa sakit selepas beliau terlibat dengan insiden pelanggaran bertemu bekas bintang Manchester City, Ferran Torres pada minit ke-90 permainan.

Perlawanan pada ketika itu masih berbaki enam minit selepas pengadil memberikan tambahan enam minit masa kecederaan.

Barcelona mendahului perlawanan pada ketika itu dengan keputusan 4-2 namun mereka sedang bermain dengan kekurangan seorang pemain selepas Dani Alves dilayangkan kad merah pada minit ke-69 permainan.

Pasukan perubatan Atletico segera memeriksa keadaan Wass di tepi padang dengan pengurus pasukan, Simeone sudah menunjukkan reaksi tak puas hati melihat hal tersebut.

Simeone mungkin tak puas hati atau kecewa dengan keadaan itu kerana beliau sudah habis menggunakan kesemua pertukaran yang beliau ada.

Beliau menunjukkan isyarat kepada Wass supaya terus bermain, dengan beliau turut mengangkat pemain berusia 32 tahun itu sebelum menolaknya kembali masuk ke padang.

Wass berusaha untuk bermain walau sedang menderita kecederaan namun beliau dilihat lebih kerap berjalan kerana tidak tahan sakit.

Beliau rebah di atas padang sebaik wisel penamat dibunyikan dengan Barcelona berjaya mencatatkan kemenangan 4-2 menewaskan Atletico.

Atletico kemudiannya telah mengesahkan yang Wass menderita kecederaan agak teruk melibatkan ligament di lutut kanannya, dan berkemungkinan akan berehat panjang.

Beliau kini dijangka akan terpaksa diketepikan selama lapan minggu, dengan peminat di media sosial mula mempersoalkan keputusan Simeone untuk memaksa pemainnya itu terus bermain walau sedang bergelut dengan masalah kecederaan.

“Saya tak faham ada pengurus yang sekejam ini, kalau dia ada hati perut, dia tak akan suruh pemain dia yang sedang cedera teruk untuk kembali ke padang. Dia sebenarnya sekadar menambah teruk kecederaan yang dialami oleh Wass. Memalukan!”

“Saya faham dia sudah habis pertukaran, tapi apa yang dia harapkan dari pemain yang dah cedera? Berbaki enam minit, pasukan lawan sudah bermain dengan kekurangan seorang pemain selama hampir 30 minit. Memang keputusan yang memalukan.”

“Memang sangat memalukan untuk melihat seorang pengurus memaksa pemain dia yang sedang cedera untuk tetap bermain.”

“Keputusan bodoh dari Simeone, dia sendiri nampak pemain dia sudah berada dalam kesakitan dan dia masih sanggup menghantar pemainnya untuk kembali beraksi.”

Kemenangan itu berjaya membantu Barcelona untuk mendaki ke kedudukan keempat dalam carta saingan La Liga, dengan gergasi Catalan itu kini dua mata dihadapan Atletico Madrid.

Musim yang suram untuk Atletico Madrid pada musim ini dengan mereka kerap berdepan keputusan yang tidak memihak kepada mereka sepanjang musim ini.

Atletico Madrid selepas ini akan turun beraksi bertemu Manchester United dalam aksi saingan Champions League, dan memandangkan kedua-dua pasukan sedang bergelut dengan masalah prestasi, maka sukar untuk meramal siapa akan menang.

Sumber: SPORTbible

BACA:  "Tak Berakal" - Penyokong Setan Merah Dihentam Kerana Lempar Objek Ke Arah Diego Simeone