‘Messi Thailand’ Cipta Gerakan Ala ‘Tiki-Taka’ Hasilkan Gol Yang Menakjubkan Bertemu Vietnam

Chanatip Songkrasin membuktikan mengapa beliau dianggap ‘Messi Thailand’ selepas mempamerkan aksi persembahan yang sungguh menakjubkan bertemu Vietnam malam semalam.

Beliau berjaya menjaringkan dua gol untuk membantu Thailand menewaskan Vietnam dengan keputusan 2-0 dalam aksi peringkat separuh akhir pertama saingan AFF Suzuki Cup.

Kedua-dua pasukan ini merupakan calon kegemaran untuk memenangi kejohanan pada tahun ini, namun mereka telah dipertemukan di peringkat separuh akhir.

Akai separuh akhir ini dianggap final sebenar oleh para peminat kerana ia menemukan dua gergasi di rantau Asia Tenggara ini.

Vietnam layak ke peringkat separuh akhir sebagai naib juara kumpulan B, sementara Thailand pula mara sebagai juara dari saingan kumpulan A.

Apa yang menariknya, kedua-dua pasukan layak ke peringkat separuh akhir dengan mereka tidak mencatatkan sebarang kekalahan ketika aksi peringkat kumpulan.

Thailand memiliki rekod 100% di peringkat kumpulan dengan mereka mencatatkan empat kemenangan dari empat perlawanan.

Mereka juga hanya mencatatkan satu sahaja bolos dari kesemua empat perlawanan tersebut dan turut merekodkan 10 gol.

Vietnam pula dari empat perlawanan peringkat kumpulan, mereka berjaya merekodkan tiga kemenangan dan hanya mencatatkan satu sahaja keputusan seri.

Lebih menakjubkan lagi, skuad kendalian Park Hang-seo itu berjaya merekodkan clean sheet dari kesemua aksi peringkat kumpulan, dan turut cemerlang merekodkan sembilan gol.

Kedua-dua pasukan ini sudah sememangnya dianggap calon kegemaran sejak dari awal lagi dan selepas melihat aksi persembahan mereka di peringkat kumpulan, ia makin mengukuhkan dakwaan yang menganggap merekalah dua pasukan terhebat di rantau ini.

Messi Thailand jaringkan gol yang menakjubkan

Perlawanan yang menemukan kedua-dua pasukan ini sangat menarik untuk ditonton dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi saling berbalas serangan.

Thailand terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-14 permainan menerusi Chanatip Songkrasin yang memanfaatkan kesilapan dari pemain Vietnam sendiri.

Hasil dari satu serangan balas yang dilakukan oleh Thailand dan kesilapan pemain pertahanan yang membuka ruang kepada Chanatip, ditambah pula penjaga gol yang keluar terlalu awal, mudah untuk ‘Messi Thailand’ itu meledak gol pembukaan dalam perlawanan ini.

Walau bagaimanapun, bukan gol pertama ini yang menarik untuk disaksikan, sebaliknya gol kedua Thailand lah yang sangat menarik untuk dibincangkan.

Vietnam terkenal dengan gaya permainan bertahan yang luar biasa dan tidak keterlaluan untuk menganggap kualiti bertahan mereka adalah antara yang terbaik di benua Asia ini.

Kerana kehebatan barisan pertahanan mereka inilah Vietnam mampu layak hingga ke aksi separuh akhir tanpa dibolosi sebarang gol dari pasukan lawan.

Walau bagaimanapun, kebijaksanaan Chanatip Songkrasin tidak boleh dipertikaikan lagi dengan beliau mampu merencana serangan yang mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Vietnam.

Beliau bermula dengan melakukan satu sentuhan mencari Teerasil Dangda yang kemudiannya segera menolak semula bola mencari Chanatip yang sedang berlari menuju ke dalam kotak penalti.

Chanatip kemudiannya menolak bola mencari Sarach Yooyen yang kemudiannya tenang menolak semula bola ke arah ‘Messi Thailand’ yang sudah masuk ke kotak penalti Vietnam itu.

Pemain Hokkaido Consadole itu kemudiannya melepaskan rembatan padu untuk menewaskan penjaga gol Vietnam, seterusnya menghasilkan gol kedua Thailand dalam perlawanan ini.

Ia jelas sekali gol yang sungguh cantik dan menakjubkan dan tidal keterlaluan untuk mengatakan gol itu persis gerakan tiki-taka yang pernah dipopularkan oleh generasi emas Barcelona suatu ketika dahulu.

Chanatip Songkrasin hampir mencatatkan hat-trick dalam perlawanan ini, selepas Thailand dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan pada minit ke-85 permainan.

Sayang sekali beliau sekadar menyepak perlahan di bahagian tengah dan mudah diselamatkan oleh penjaga gol Vietnam, Nguyen Manh Tran.

Perlawanan tamat dengan Thailand berjaya menewaskan Vietnam 2-0 dan kedua-dua pasukan akan sekali lagi bertemu pada 26 Disember nanti untuk aksi leg kedua.

Sumber: AFF Suzuki

BACA:  Piala AFF 2022 Separuh Akhir 2: Thailand 3-0 Malaysia (Agg. 3-1)