Presiden FIFA Beri Jemputan Kepada ‘Budak Gua Thailand’ Untuk Hadiri Perlawanan Akhir Piala Dunia

Presiden FIFA, Gianni Infantino mengundang pasukan bola sepak remaja Thailand yang kini terperangkap di dalam gua untuk menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang bakal berlangsung hujung minggu depan.

Undangan tersebut merupakan simbol sokongan daripada FIFA untuk kumpulan remaja terbabit untuk terus mengekalkan tahap motivasi mereka sebelum diselamatkan keluar.

Presiden FIFA, Gianni Infantino menghantar jemputan ke final Piala Dunia sebagai dorongan kepada pasukan penyelamat untuk terus gigih berusaha

Infantino berharap seluruh ahli pasukan ‘Wild Boars’ yang kini sedang terperangkap kerana banjir kilat di dalam gua hampir dua minggu lalu, mampu diselamatkan sebelum berlangsungnya perlawanan akhir Piala Dunia 2018 yang dijadualkan pada 15 Julai ini.

“Jika mereka mampu kembali bersama dengan ahli keluarga dan keadaan kesihatan  membenarkan mereka berkunjung ke sini, FIFA sangat berbesar hati untuk mengundang mereka untuk menghadiri perlawanan akhir Piala Dunia 2018 sebagai tetamu kehormat kami.”

“Saya sangat berharap kumpulan remaja ini mampu menyertai kami di perlawanan akhir nanti, yang mana ia akan menjadi detik yang menakjubkan dan akan diraikan di seluruh dunia.”

Kumpulan remaja seramai 12 orang berusia dari 11 hingga 16 tahun terperangkap di dalam gua bersama seorang jurulatih mereka yang berusia 25 tahun. Pada mulanya kumpulan ini melakukan aktiviti menjelajah gua selepas berakhirnya sesi latihan pada 23 Jun lalu.

Walaupun 9 hari tanpa bekalan makanan dan minuman yang mencukupi, kumpulan remaja tersebut masih lagi mampu bertahan menunggu bantuan

Walau bagaimanapun, hujan lebat menyebabkan berlakunya banjir kilat di dalam gua tersebut dan kumpulan remaja terbabit tidak sempat keluar. Mereka terpaksa masuk ke dalam gua lebih dalam bagi mencari tempat yang kering untuk menyelamatkan diri.

Selepas menunggu hampir 9 hari di dalam gua, mereka akhirnya ditemui selamat oleh dua diver yang didatangkan khas dari United Kingdon untuk membantu usaha menyelamat.

Kejadian malang ini juga menarik perhatian pemain pertahanan England, John Stones yang kini sedang melakukan persiapan untuk menghadapi perlawanan suku akhir menentang Sweden.

“Saya ada bercakap dengan beberapa pemain yang lain mengenai perkara ini. Saya berasa sedih melihat keadaan mereka dan kami berharap kumpulan remaja ini akan keluar dengan selamat.”

Adakah kita akan melihat kelibat budak-budak Thailand di tempat duduk VIP pada 15 Julai nanti ?

Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp juga menghantar sokongan moral kepada kumpulan remaja terbabit dan menggesa mereka supaya terus kuat.

“Kami mengikuti semua berita dan berdoa pada setiap masa supaya anda semua akan melihat cahaya matahari lagi selepas ini. Kami sangat optimis kamu akan diselamatkan tidak lama lagi, mungkin dalam beberapa jam atau beberapa hari lagi. ” Ujar Klopp dalam satu video yang dimuat naik oleh CNN.

BACA:  Platini Sahkan Wujud 'Tangan Ajaib' Ketika Undian Piala Dunia 1998 Di Perancis