TERKINI: Al Nassr Digantung Daftar Pemain Baharu Oleh FIFA

Badan bola sepak dunia FIFA telah mengambil tindakan tidak membenarkan kelab yang diwakili Cristiano Ronaldo, Al Nassr untuk mendaftarkan pemain baharu menhelang bermulanya musim baharu Saudi Pro League.

Tindakan oleh FIFA itu dilakukan setelah kelab itu gagal membayar tunggakan bayaran kepada Leicester City berkaitan pembayaran yuran perpindahan bekas pemain, Ahmed Musa.

Musa menyertai Al Nassr dari Leicester City pada 2018 dengan nilai perpindahan €16.50 juta, sebaik sahaja Piala Dunia di Rusia berakhir.

Al Nassr yang turut mendapat jolokan Knights of Naja sememangnya sidah menjelaskan jumlah €16.50 juta yang dipersetujui, namun Leicester sehingga kini masih belum menerima bayaran bonus tambahan yang dijanjikan – walaupun telah diarahkan oleh Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa (CAS) untuk berbuat demikian.

Menurut wartawan British, Ben Jacobs Al Nassr sepatutnya melangsaikan baki bayaran tambahan berkaitan pencapaian Musa sebanyak €460,000 kepada Leicester – perjanjian yang dipersetujui kedua-dua pihak pada 2018.

Kegagalan Al Nassr menjelaskan tunggakan tersebut memaksa FIFA bertindak melarang pendaftaran pemain baharu oleh kelab itu untuk saingan musim hadapan.

Al Nassr bagaimanapun dijangka akan menjelaskan jumlah tersebut sebelum bermulanya musim baharu dan hukuman tersebut turut akan dibatalkan oleh FIFA selepas itu.

Musa menyertai Al Nassr pada 2018 dan melakukan 60 penampilan untuk kelab Arab Saudi itu.

Kapten skuad kebangsaan The Super Eagles itu menjaringkan 11 gol dan menyumbang 14 bantuan gol sepanjang bersama kelab itu.

Musa turut membantu Al Nassr muncul juara Saudi Pro League pada musim pertamanya, dan Piala Super pada musim keduanya.

Perpindahan Musa ke Al Nassr adalah sebelum kelab itu diambil alih oleh Public Investment Fund (PIF) yang pada hari ini mengawal pemilikan kelab-kelab utama di liga bola sepak negara itu.

Musa kini beraksi di Super Lig Turki bersama Sivasspor dan kontraknya akan tamat pada musim panas akan datang.

Sekiranya Al Nassr masih berdegil untuk menjelaskan tunggakan kepada Leicester, maka kelab itu akan dilarang untuk mendaftarkan Marceli Brozovic yang didatangkan dari Inter Milan pada jendela perpindahan musim panas ini.

BACA:  Lebih Setengah Juta Orang Teruja Tengok Ronaldo Mandi Secara Langsung