David de Gea Tolak Pinangan £500,000 Seminggu Al Nassr

David De Gea dilaporkan telah menolak peluang untuk menyertai bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Cristiano Ronaldo di Arab Saudi.

De Gea tidak terikat dengan mana-mana kelab sejak meninggalkan United pada musim panas lalu, selepas Erik ten Hag membawa masuk penjaga gol antarabangsa Cameroon, Andre Onana dari Inter Milan.

Walaupun dihujani pelbagai spekulasi yang mengaitkannya dengan beberapa kelab utama dari seluruh pelusuk benua, penjaga gol Sepanyol itu kini masih belum terikat dengan mana-mana kelab.

Laporan terkini daripada The Sun bagaimanapun mendedahkan penjaga gol itu baru-baru ini menolak tawaran lumayan daripada kelab Saudi Pro League, Al Nassr.

Laporan itu mendedahkan De Gea ditawarkan pendapatan £500,000 seminggu – jumlah yang lebih lumayan berbanding apa yang diterimanya di Old Trafford sebelum ini.

Penjaga gol itu bagaimanapun menolak tawaran tersebut dipercayai kerana isterinya tidak berminat untuk berhijrah ke negara Timur Tengah.

Sehingga kini penjaga gol antarabangsa Arab Saudi Nawaf Al-Aidi beraksi dalam semua 11 perlawanan Al Nassr pada musim ini, tetapi hanya mampu memastikan tiga clean sheet setakat ini.

Selain daripada ke Arab Saudi, De Gea turut dikatakan mendapat tawaran daripada kelab Amerika Syarikat, Inter Miami.

Pemilik bersama Inter Miami, David Beckham dilaporkan amat berminat untuk membawa De Gea ke Stadium DRV PNK untuk beraksi bersama Lionel Messi, Sergio Busquets dan Jordi Alba.

De Gea turut mempunyai pilihan kembali beraksi di Sepanyol buat kali pertama sejak meninggalkan Atletico Madrid pada 2011.

Valencia dan Real Betis antara dua kelab La Liga yang menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat De gea setakat ini.

Penjaga gol itu baru-baru ini turut dikatakan berminat membeli pemilikan kelab divisyen dua Sepanyol, Eldense.

BACA:  Roy Keane Pecah Karakter Hanya Kerana Mahu Pertahankan Pemain United